Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PERANANNYA DALAM MENYEJAHTERAKAN NEGARA

Najib Tun Razak ketika  berucap pada majlis perasmian Seminar
Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017-Fiqh Wala dan Taat: Peranannya Dalam Menyejahterakan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin. utusan/FAISOL MUSTAFA

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kelmarin.

ALhamdulillah, didahului segalanya, marilah kita mengangkat setinggi-tinggi puji-pujian dan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana atas keizinan serta limpahan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama dalam Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017, yang menumpukan kepada topik ‘Fiqh Wala' yakni peranannya dalam menyejahterakan negara.

Sebagaimana yang kita maklum, sama ada sedar atau tidak, kita baru sahaja meninggalkan bulan Rejab dan hari ini merupakan 6 Syaaban 1438 Hijrah. Kedua-dua bulan ini, terhitung sebagai bulan yang mulia, sementara menantikan Ramadan Al-Mubarak yang bakal tiba.

Ini pula kali yang ketiga, saya dapat menghadirkan diri dalam Seminar Antarabangsa Wasatiyyah, yang diadakan secara tahunan ini. Tentu sekali, maudhu-nya bersesuaian dengan topik yang dekat di hati saya sebagai seorang pemimpin dalam beberapa kapasiti sama ada Presiden parti mahupun selaku seorang Perdana Menteri.

Sememangnya, apabila kita mem­bicarakan tentang politik atau dalam istilah Arabnya siasah, ia amat menuntut kepada sa­tu prinsip yang menjadi tunjang utama kepada sesebuah orga­nisasi atau negara itu yakni, soal wala’. Justeru, saya berasa gembira dan mengucapkan syabas kepada Institut Wasatiyyah Malaysia kerana, mengambil inisiatif untuk mengetengahkan satu discourse atau mewacanakan prinsip yang amat mustahak ini dari sudut pandang Fikah Islami.

GABUNGAN PRINSIP TIGA SERANGKAI WALA’ WASATIYYAH TA­BAYYUN

Menyentuh tentang prinsip wala’ ini, seperti yang dibahaskan oleh sarjana Islam, salah satu matan hadis yang sahih, telah dijadikan rujukan. Sebagaimana saya difahamkan oleh rakan-rakan ilmuwan Islam dan pembacaan yang dibuat, betapa pentingnya soal wala’ dalam kepemimpinan adalah sepertimana yang diriwayatkan oleh Ahmad, bahawa sekuat-kuat tali pegangan kepada iman adalah mencintai sesuatu kerana Allah dan membenci sesuatu pula kerana Allah.

Apabila disemak kepada tafsiran al-Quranul Karim, sarjana Islam juga mengaitkan sanad hadis yang tersebut kepada satu detik peristiwa di atas perjalanan sirah Nabi apabila atau ketika mana hendak berlakunya Pembukaan Me­kah, seorang sahabat yang bernama Hatib bin Ani Balta’ah, telah mengkhianati para Muslimin waktu itu, di mana beliau telah membocorkan rahsia atau berkongsi maklumat dengan musuh Islam di Mekah.

Disebabkan pembocoran maklumat rahsia atau keterlanjuran perlakuan khianat ini telah merosakkan strategi pihak Islam yang disusun dengan baik. Sehinggalah turunnya sepotong ayat dalam surah Al-Mumtahanah ayat 1, yang mafhumnya menyebut dan mencela perbuatan mana-mana individu atau pihak dalam bab pengkhianatan dan bersekongkol dengan pihak musuh dalam konteks sesebuah organisasi.

Dalam peristiwa tersebut, sebagaimana saya nyatakan, ter­nyata salah seorang sahabat kepada Baginda sendiri yang terkhilaf dan terlanjur menyampaikan mak­lumat tentang gerakan para Muslimin untuk Fat-hul Mekah, yang juga digelar peristiwa Pembukaan Kota Mekah setelah se­kian lama.

Kalau kita hendak buat analogi atau perumpamaan dalam apa yang sedang berlaku ketika ini di negara kita, wujud segelintir ‘dalang’ atau ‘Si Kitul moden’ yang hanya menurut hawa nafsu dan agenda peribadi serta keluarga, tergamak mempertaruhkan hatta mahu menggadai tanah air tercinta dengan menjadi ‘musuh dalam selimut’ dengan bersekongkol ber­sama anti islam atau yang mahu mengehadkan pembinaan islam.

Makanya, kenapa saya kongsikan kejadian ini, hadis yang sahih tersebut dan Firman Allah SWT dalam menganalisis satu prinsip yang bak kata bidalan Me­layu juga ‘bukanlah barang yang boleh dijual beli’, tidak lain dan tidak bukan adalah falsafah atau prinsip wala’. Apakah itu wala’? Kenapakah pula ia menjadi satu pillar atau pasak yang amat mendasari jatuh bangunnya sesebuah ketumbukan, pasukan, negara mahupun ummah secara keseluruhan.

Saya merujuk dapatan jumhur ulama bahawa wala’ membawa maksud nilai-nilai cinta ka­sih, kepatuhan, sumpah setia, memberi taat dan bai’ah, yang wajib diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemim­pinan yang dijunjung itu.

Malah, hukum terhadap peri mustahaknya prinsip ketaatan turut berulang kali disebut dalam al-Quran dan hadis-hadis lain, pastinya melalui surah An-Nisa’ ayat 59, yang sering kita dengar dan ulas, berkait tuntutan mentaati pimpinan atau Ulil Amri. Misalnya, saya pernah sebut di dalam ucapan Dasar Presiden semasa Perhimpunan Agung Parti UMNO, wala’ dalam konteks parti atau pertubuhan, tentulah kepada Presiden atau Pengerusinya manakala dalam konteks kerajaan pula kepada Perdana Menteri.

Maksudnya, dalam aspek ini, sebagaimana yang disyarahkan oleh alim ulama, wala’ yang diberikan itu bukanlah sekadar kepada jasad, tubuh atau individu semata-mata, akan tetapi, wala’ sebenarnya merangkumi Institusi Ke-Presidenan atau Ke-Pengerusian atau Ke-Perdana-Menterian, yang disandang oleh seseorang. Jika prinsip, sifat, sikap dan nilai utama wala’ serta taat ini wujud subur, menunjang dalam diri individu dan organisasi, barulah adanya disiplin, tanzim serta ke­tersusunan, yang mampu mendatangkan kestabilan kepada sesebuah negara.

Selanjutnya, biarlah kita faham dan sedar, bahawa, wala’ dan taat sesama manusia kepada pe­mimpin itu menjadi simbol atau perlambangan kepada jaluran ke­cil terhadap prinsip ketaatan dan penyerahan hamba-Nya yang mutlak dan hakiki kepada Sang Pencipta yakni Allah SWT.

Seperkara lagi, suka saya membuat perbandingan, antara prinsip wala’ dan amalan konsep wasatiyyah. Kita wajib berwala’ kepada pemimpin, dengan memberi sepenuh ketaatan, selagi mana ruang litup kepemimpinan itu masih kekal berada dalam parameter maslahah umum dan tidak wujudnya unsur-unsur ke­zaliman.

Dalam kata yang mudah, se­per­timana saya sering meminta pandangan cerdik pandai, wala’ wajib diberikan oleh ahli-ahli parti dalam sesuatu organisasi atau dalam perspektif lebih luas, rak­yat Malaysia keseluruhannya kepada pihak kerajaan kerana segala usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh pentadbiran negara, adalah demi kepentingan dan men­dahulukan rakyat. Ertinya jauh se­kali untuk kerajaan se­perti Malaysia bertindak zalim atau apa-apa yang memudaratkan rakyat teramai dan negara. Bahkan kerajaan yang ada hari ini, saban hari menyeru kepada yang maaruf, sekali gus berusaha mencegah yang mungkar.

Justeru para ulama berpendapat, dalam situasi Malaysia hari ini, wala’ adalah sampai kepada tahap wajib, diberikan kepada kerajaan sedia ada dan dipilih sejak dulu melalui jalan dan sistem demokrasi yang sah. Jika ingin disenaraikan, begitu banyak yang dilakukan oleh kerajaan, demi rakyat khususnya berhubung hal menangani isu kos sara hidup.

Antaranya, kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti BR1M, Projek Perumahan Rakyat Termiskin, Rumah Mampu Milik, PPA1M, PR1MA, Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, pengangkutan awam yang moden, kepada golongan pekerja terutamanya B40 dan M40. Sementara itu, tuntutan terhadap wala’ dan taat setia kepada ke­pimpinan kerajaan, dalam per­spektif Malaysia sejak lebih enam dekad telah diimbangi pula dengan amalan wasatiyyah.

Maksud saya, di Malaysia ini, kita cukup berimbang, bersederhana, adil lagi saksama dan tidak bersifat diktator melampau sehingga mana timbul keterlaluan serta ketaksuban membuta tuli, yang boleh membawa kepada fahaman atau ideologi ekstrem serta melampau.

Sepertimana yang kita dengar dan saksikan, berlakunya di beberapa pelosok dunia yang men­jerumuskan orang Islam ke kancah salah tafsirnya konsep jihad, sebagaimana ancaman berbahaya IS dan Daesh, sehingga sanggup bertindak di luar kepompong syu­ra atau demokrasi yakni menggulingkan kerajaan yang sah lagi dipilih oleh rakyat.

Sebab itulah kita tidak mahu rak­yat tanpa dibimbing dengan pegangan wala’ dan prinsip wasatiyyah seperti yang digariskan oleh Islam, tersasar atau terpesong menjadi golongan yang terlalu longgar serta terlalu liberal, sampaikan sanggup mengamalkan budaya Machiavelli, the end justifies the means atau matlamat menghalalkan apa pun cara, hingga tergamak menjadi pengkhianat atau petualang negara dan bangsa, dengan sewenang-wenang, boleh berbuat sesuka hati untuk menjatuhkan negara dan kerajaan, kononnya atas nama kebebasan.

Sehubungan itu, saya bagi pi­hak kerajaan ingin tegaskan bahawa, kita tidak akan sesekali membiarkan mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan, tan­pa mengikut lunas undang-undang yang sewajarnya.

Satu perkara lagi, yang pada hemat saya perlu digandingkan dengan prinsip wala’ dan wasa­tiyyah adalah prinsip tabayyun. Dengan jelas dalam al-Quran me­lalui surah Al-Hujurat ayat 6, menyuruh kita supaya memahami konsep tabayyun, yakni menyelidiki dahulu sesuatu berita de­ngan teliti, sebelum mempercayai dan membuat keputusan untuk menyebarkannya.

Berkait konteks ini, sebagai pemimpin dan Ketua Kerajaan, saya terbuka kepada pandangan serta menerima teguran yang membina. Namun, sebarang kritikan atau teguran itu sama sekali tidak wajar disulami dengan fitnah, cacian atau tohmahan jahat yang boleh menjatuhkan aib dan bertujuan mero-sakkan nama baik pemimpin.

Bertolak dari situ, maka perlu difahami baik-baik oleh kita semua, wala’ bukan hanya sekadar teori atau konsep ilmiah yang berdiri dengan sendirinya semata-mata, sebaliknya adalah antara prinsip utama yang perlu mendasari pemerintahan dalam sesebuah negara. Pada masa sama, semestinya digabungkan atau dalam istilah undang-undangnya difahami, ditafsir, diamalkan, dilaksana dan berlaku secara harmoni melalui gabungan prinsip tiga serangkai yakni wala-wasatiyyah-tabayyun.

Barulah akan terjelmanya satu equilibrium atau kitaran yang sempurna antara pemimpin dan yang dipimpin, demi kelangsung-an sebuah negara bangsa yang mendambakan kemajuan serta kejayaan hakiki menurut tafsiran agama Islam yang suci yakni, Al-Falah di dunia dan di akhirat.

Selain itu, sebagai orang Mela­yu dan orang Malaysia, tidak sah jika kita tidak membelek-belek kembali sejarah bangsa dan negara kita. Saya ingin kongsikan juga cerita, diimbau dalam sejarah Melayu melalui kisah keagung-an Empayar Kesultanan Melayu Melaka, yang mana prinsip wala’ dan taat ini mendapat tempat istimewa dalam sistem pemerintahan kerajaan pada ketika itu. Misalnya, dalam kisah Bendahara tersohor Tun Perak, bagaimana sepanjang usianya, Tun Perak berkhidmat di bawah empat orang Sultan Melaka. Walaupun ada dalam kalangan sultan yang jauh lebih muda daripadanya, namun Tun Perak tetap menghormati, mencurahkan khidmat dan me­numpahkan kepercayaan, wala’, taat serta kesetiaan tidak berbelah-bagi kepada Kerajaan Melaka pada masa itu.

Ibrahnya yang boleh kita ambil daripada peristiwa lalu ini, kegemilangan mampu dicapai oleh sesuatu tamadun bangsa apabila prinsip taat setia atau wala’ menjadi tunjang pegangan kepada jati diri masing-masing.


MALAYSIA SEBAGAI NEGARA ISLAM ROLE MODEL, PROGRESIF, MAJU DAN DINAMIK

Justeru, dalam usaha murni kerajaan bersama sokongan rakyat ingin memacu Malaysia menjadi sebuah negara Islam progresif, maju lagi dinamik sebagai role model kepada dunia Islam sejagat, prinsip-prinsip yang telah saya jelaskan tadi, harus menjadi intisari kepada setiap gerak langkah kita.

Atas segalanya, kita bersyukur kerana Malaysia masih terus terpelihara dalam keadaan aman dan damai. Ini dek kerana, pihak kerajaan yang ada tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang anasir negatif atau membiarkan segala apa yang telah kita bina dengan susah payah sejak meraih kemerdekaan, punah da­lam sekelip mata.

Sehubungan itulah, antara agenda kerajaan, demi kepenting-an dan perpaduan ummah, telah berfikir dengan semasak-masak-nya dan matang bahawa hala tuju kerajaan yang ada berlandaskan undang-undang tertinggi, yakni Perlembagaan Negara, di mana termaktub Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3, ter­masuk mengambil kira kepen­tingan agama dan kaum lain, di dalam masyarakat majmuk, kita tidak seperti parti cauvinis lain, pendirian kita amat jelas dan well guided, serta penuh teliti.

Atas premis itu, kerajaan ini dalam kata mudahnya adalah kerajaan yang faham, bertanggungjawab dan melihat kepen­tingan rakyat keseluruhan, dalam perhitungan menerima usul oleh rakan kita daripada pihak Pas yang gigih mengusulkan gandingan hukum-hakam Islam dalam pentadbiran negara ini.

Satu lagi perkembangan ba­ru-baru ini, Kabinet telah me­lu­luskan Dasar Wasatiyyah Ne­­­ga­ra pada 21 Oktober 2016. Se­sungguhnya semua ini dilakukan oleh pihak kerajaan secara berhemah dan berperingkat kerana kita harus faham daripada sejumlah 31.7 juta penduduk Malaysia, komposisi kita diwakili oleh pelbagai kelompok, kaum, keturunan, agama dan pelbagai etnik.

Malah, inilah ajaran Islam sejati yang telah ditonjolkan oleh Rasul semasa mentadbir Madinah yang turut dituntut berlaku adil dan saksama hatta kepada orang-orang Yahudi. Barulah sebarang usaha kita akan dihormati.

Bahkan, berbalik kepada cerita sahabat Nabi di awal ucapan saya, yang telah terlanjur dalam berbuat khianat kepada umat Islam dan Rasul, akhirnya dengan sifat jiwa besar Baginda telah memaafkan sahabatnya itu atas kerana mengenangkan jasa dan pengorbanan sahabat Baginda itu yang turut berjuang di medan juang Perang Badar.

Dalam erti kata lain, pada hemat saya, wala’ dalam pengertian yang lebih besar, bukan sahaja memperincikan tentang soal taat setia tidak berbelah-bahagi, akan tetapi apabila diamalkan de­ngan prinsip tiga serangkai iaitu, wala’-wasatiyyah-tabayyun juga membawa maksud kita menyeru kepada mereka yang tersilap langkah untuk kembali ke pangkal jalan.

Orang tua-tua lama juga ada menyebut, janganlah sampai nasi menjadi bubur, sudah terhantuk baru tengadah. Saya kira, apabila setiap seorang daripada kita memahami sedalam-dalamnya prinsip tiga serangkai iaitu wala’-wasatiyyah-tabyayyun, biar apapun cabaran dan dugaan mendatang, sebagai ummah kita pasti akan terus teguh berdiri mencapai tahap ummah par excellence atau Khayra Ummah yang disegani oleh kawan dan lawan.

Akhirul kalam, saya berdoa semoga Allah melindungi negara ini daripada marabahaya dan ben­cana, lalu mendatangkan bahagia lagi sejahtera kepada Malaysia, negaraku tercinta serta umat seluruhnya. Amin, Ya Rabbal A’lamin!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain