Dalam Islam, kedudukan wanita amat jelas, bukan sebagai the second-class citizen seperti yang sering dipamerkan, hanya kerana ada beberapa negara Islam yang salah pengertiannya mengenai kedudukan dan peranan wanita dalam keluarga dan komuniti. Di negara-negara ini memang kedudukan wanita amat terpinggir.

Dalam komuniti Melayu di Malaysia, kedudukan wanita amat mulia, jauh sekali daripada dianggap rakyat kelas kedua. Justeru, dalam pengagihan kek ekonomi untuk wanita, atau dalam mewujudkan kesaksamaan gender di antara wanita dengan lelaki, takrifannya atau asasnya bukan berdasarkan konsep pengagihan, tetapi berpegang kepada keutamaan dan peruntukan. Maksudnya, apa juga yang hendak diperuntukkan kepada wanita ialah atas prinsip keutamaan dan penghormatan. Bukan banyak mana yang hendak diperuntukkan tetapi atas prinsip apa peruntukan itu kepada mereka.

Penggunaan prinsip keutamaan dan penghormatan ini ialah bagi menghormati rasa tanggungjawab wanita, lebih-lebih lagi mereka yang berkeluarga yang komited memikul tanggungjawab sebagai bread-winner kepada keluarga masing-masing, bersama-sama si suami sebagai ketua keluarga.

Sentimen berteraskan prinsip ini jugalah yang disuarakan oleh salah seorang lelaki yang menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah pada 24 November lepas semasa sesi perbincangan agenda wanita, yang menyarankan apa juga hasrat atau keinginan golongan wanita dalam agenda pemerkasaan ummah, hendaklah dijulang sedemikian caranya.

Itu belum lagi disentuh soal kemampuannya dan kepintaran golongan wanita dalam menjalankan bisnes atau bekerja makan gaji.

Jika prinsip keutamaan dan penghormatan ini diterima, peranan dan pembabitan wanita dalam agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera misalnya, hendaklah ditakrifkan sebagai komitmen mereka untuk terlibat sama. Justeru, apa jua kesediaan kerajaan untuk menerima saranan mereka hendaklah kerajaan takrifkan sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap komitmen mereka itu terhadap kemajuan agenda ekonomi Bumiputera.

Semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015 kali ini sayap Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO turut mengemukakan beberapa usul untuk pertimbangan parti, bagi diangkat kepada kerajaan dan dilaksanakan.

Janganlah hendaknya kepimpinan UMNO mentakrifkan apa jua usul yang dikemukakan itu sebagai ‘permintaan’ kaum hawa menagih simpati, meminta sedikit belas ihsan. Mohonlah sudi kiranya ‘permintaan’ mereka itu disambut oleh kepimpinan parti dengan nada ikhlas bahawasanya kepimpinan parti amat menyanjungi keinginan dan komitmen kaum hawa untuk turut sama menyumbang kepada kemajuan bangsanya. Lantas, apa juga peruntukan yang dipersetujui, nytakanlah sebagai tanda terima kasih dan penghormatan parti kepada mereka.

Dari sudut yang lain pula, sememangnya kerajaan sentiasa memberikan penghormatan yang amat tinggi kepada golongan wanita. Malah Perdana Menteri sendiri semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) baru-baru ini menyatakan dengan jelas pendirian Malaysia mengiktiraf peranan yang dimainkan wanita dan komited menjayakan agenda gender equality and women empowerment yang menjadi perkara kelima dalam 17 perkara yang diperakui dalam Sustainable Development Goals, iaitu satu inisiatif yang dibangunkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dari sudut kemampuan wanita itu sendiri dalam bisnes pun terbukti amat signifikan. Banyak bidang bisnes yang didominasi lelaki pun ramai kaum wanita mampu bersaing. Akan tetapi, tidak kurang juga banyak bidang yang sepatutnya didominasi wanita juga menjadi rebutan para lelaki dan mendominasinya. Antaranya bidang fesyen, kecantikan dan kulinari.

Terdapat beberapa bidang yang kini amat lemah dikuasai Bumiputera, terutamanya industri halal dan bisnes perdagangan eksport. Barangkali selama ini kedua-dua bidang ini didominasi kaum lelaki, yang jika diberikan kepada kaum wanita untuk mendominasinya, suasananya mungkin berbeza. Apa kata berikan laluan hijau kepada wanita yang komited menceburi kedua-dua bidang bisnes ini dan permudah cara bagaimana mereka mampu menjadi peneraju utama.

Tidak salahnya UMNO mencuba dan apa salahnya wanita menerajui kedua-dua bidang bisnes ini. Beri mereka masa lima tahun untuk menerajuinya dan kita saksikan hasilnya. Mana tahu, mungkin mereka lebih secocok dengan kedua-dua bidang bisnes ini yang sekian lamanya gagal Bumiputera tembusi. Bak kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Tidak terlambat rasanya mengucapkan, selamat bersidang kepada semua Perwakilan Wanita dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015.

DATUK FARIDAH A. JABBAR ialah Pengerusi Biro Gabungan NGO Wanita MPM yang merangkap Yang Dipertua Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita)