Walaupun pihak berkuasa di AS menyatakan bahawa kes di Virginia ini bukan jenayah kebencian tetapi cara remaja tersebut dibunuh cukup untuk menunjukkan tahap kebencian dan keganasan yang dimiliki oleh pembunuh tersebut, Martinez Torres, sehingga sanggup mengejar dan memukul mangsa sehingga mati.

Setiap kejadian keganasan dan radikal yang dilakukan kononnya atas nama Islam menyumbang kepada Islamofobia terutamanya dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Salah tanggapan mereka terhadap Islam boleh diatasi dengan cara umat Islam sendiri menunjukkan kebenaran tentang cara hidup menurut kaca mata Islam.

Sebagai contoh, tindakan Imam Muhammed Mahmoud dari Masjid Finsbury Park yang menenteramkan jemaah dan menghalang mereka dari terus memukul dan mencederakan Darren Osborne, pemandu van yang merempuh jemaah di sana perlu dilihat sebagai satu tindakan yang amat penting.

Ini bukannya menandakan bahawa beliau melindungi seorang penjenayah tetapi wajar dilihat sebagai tindakan yang mencerminkan bagaimana Islam amat mementingkan akhlak yang baik dan sifat peri kemanusiaan.

Kita seharusnya sedar bahawa perlakuan dan tindakan umat Islam adalah menjadi cerminan kepada Islam. Rata-rata masyarakat bukan Islam yang dimomokkan dengan imej negatif tentang Islam, tidak akan mencari kebenaran tentang keindahan Islam dari sumber sahih dalam Islam, buku-buku ilmiah atau individu Muslim, walaupun ada sebilangan kecil yang berbuat demikian. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk mempamerkan keindahan agama ini dalam setiap perbuatan dan pertuturan.

Ini adalah agenda penting bagi umat Islam ketika ini. Fitnah dan dugaan yang melanda umat Islam hari ini seharusnya dijadikan satu ruang bagi kita semua untuk bermuhasabah tentang apa yang telah kita lakukan dan peranca­ngan tentang tindakan yang perlu diambil untuk memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam.

Tindakan dan tindak balas oleh umat Islam terhadap fitnah ini adalah penting bagi memastikan imej Islam sebagai satu cara hidup yang syumul akan terus dipelihara dan diperteguhkan.

Bagaimanapun, umat Islam juga harus sedar bahawa provokasi yang berterusan akan dilakukan oleh pihak yang sememangnya mahu mengiakan bahawa Islam adalah agama yang membenarkan dan menggalakkan umatnya untuk bertindak secara agresif. Perlu ada usaha dalam kalangan umat Islam untuk menunjukkan kepada kelompok ini bahawa kita adalah umat yang jauh lebih bertamadun dari apa yang mereka sangkakan.

Protes terhadap usaha pihak-pihak yang ingin menjatuhkan Islam ini boleh dilakukan secara aman dan dalam keadaan di mana Islam tidak diletakkan di dalam neraca pertimbangan sebagai agama yang menggalakkan perlakuan ganas dan radikal.

Pada ketika masyarakat dunia sedang peka mengenai Islam, peluang perlu diambil dengan menyediakan penerangan dan maklumat yang benar tentang Islam.

Sehubungan itu, dalam usaha menzahirkan kecintaan kita kepada Islam dan memperbetulkan persepsi yang salah tentang Islam, penting untuk diteliti kembali akhlak dan peribadi Rasulullah SAW dalam menghadapi golongan penentang Islam yang sentiasa cuba untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan Islam dan maruah Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa pada suatu ketika datang seorang Yahudi menuntut hutang daripada Rasulullah SAW dengan berkata: “Kamu dari Bani Abu Manaf adalah bangsa yang suka melambatkan pembayaran hutang”.

Ketika itu Umar bin Al-Khattab ada bersama dan beliau hampir memenggal leher lelaki Yahudi itu. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Wahai Umar! Sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.

Perlakuan dan sifat pemaaf yang ditunjukkan Rasulullah SAW ini menyebabkan lelaki Yahudi itu memeluk Islam selepas melihat tanda kenabian pada wajah dan akhlak baginda apabila diuji sedemikian rupa. Sirah Rasulullah SAW adalah rujukan utama yang seharusnya diteliti dan diteladani oleh umat Islam dalam menghadapi provokasi musuh-musuh Islam yang sentiasa ingin meletakkan Islam di atas penilai­an negatif masyarakat dunia.

Islam adalah kehidupan bagi umatnya, justeru pembelaan ter­hadap Islam dan rasulnya ini adalah satu manifestasi kecintaan dan ibadat seorang hamba kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, umat Islam haruslah memastikan bahawa sebarang tindakan yang dilakukan dalam menghadapi provokasi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu, akan menjadikan Islam dipandang lebih mulia dan dihormati dan bukan sebaliknya.

Peranan umat Islam untuk menangani Islamofobia ini adalah amat penting dan harus menjadi usaha bersama agar keutuhan umat Islam sebagai satu jemaah menjadi satu simbol kekuatan dan kebenaran Islam.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).