Secara khususnya kita ­mestilah mengkaji dan mengambil keputusan tentang sikap dan pendirian kita di dalam isu yang berikut :

l Kita mestilah menjelaskan kepada dunia bahawa sikap Islam terhadap dunia Barat adalah sikap perdamaian dan keamanan. Islam mempunyai ajaran yang mengatur masyarakat supaya dapat hidup bersama secara damai dan produktif. Kedua-dua belah pihak haruslah mempunyai semangat toleransi dan hormat menghormati terhadap pihak yang lain untuk kepenti­ngan bersama. Islam tidak menegah kita berbuat baik dan berlaku adil kepada orang lain yang tidak memusuhi kita.

Hal ini jelas dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Mumtahanah, ayat 8. Untuk mencapai tahap kehidupan yang harmoni dan saling bekerjasama ini, maka negara Barat dan masyarakat bukan Islam haruslah memahami konsep tolak ansur dan tolong menolong mengikut ajaran Islam.

Peristiwa 11 September memperlihatkan sikap prejudis Barat terhadap Islam dan orang Islam sendiri, sehingga peristiwa itu dijadikan alasan untuk menindas dan menganiaya umat Islam ­seperti yang berlaku di Afghanis­tan, Iraq dan Palestin. Maka dalam hal ini, di samping bersimpati dengan mang­sa serangan yang berlaku pada 11 September itu, maka kita juga berharap bahawa peristiwa ini tidaklah pula dijadikan lesen bagi orang bukan Islam untuk menyerang orang Islam yang tidak berdosa atas dasar war against terror.

l Umat Islam juga seharus­nya menentukan pendirian dan menjelaskan dasar ajaran Islam yang sebenarnya terhadap isu kekerasan dan keganasan. Perlu juga dijelaskan tentang ajaran Islam terhadap gerakan radikalisme, ekstremisme dan sebagainya yang membawa gejala keganasan dan konfrontasi bagi memperjuangkan sesuatu hak, atau menegakkan hujah dalam mengemukakan sesuatu panda­ngan dan gagasan kita.

Hal ini perlu difahami dalam konteks masyarakat Islam sesama Islam, dan antara masyarakat Islam dengan bukan Islam. Yang jelas dari ajaran Islam bahawa Islam menolak kekerasan dan keganasan, sikap radikal dan melampau, juga sikap kasar dan konfrontasi secara melulu. Islam telah menetapkan sempadan dan adab yang tertentu dalam berkonflik dan berselisih ­pandangan. Umat Islam sekarang ini terlalu banyak yang mengambil cara ini, sama ada dalam masyarakat Islam secara bersama atau dengan masyarakat lain yang bukan ­beragama Islam.

l Kita seolah-olah tidak mahu lagi menghormati hak kebebasan pemikiran orang lain, atau hak orang lain untuk mengemukakan pandangan dan hujah mereka. Kita kadang-kadang merasa rendah diri untuk duduk semeja bagi berdialog dengan orang lain.

Sikap ini mengakibatkan rasa sombong dan bongkak, dan ­sering menjadi pendorong untuk berkonfrontasi dan bertenta­ngan secara kasar dalam budaya ‘perang’ yang tidak berkesudahan. Sikap ganas inilah sering diperbesar-besarkan oleh Barat dan dilabelkan dengan Islam dan umatnya, sehingga Islam dihubungkan dengan kekerasan dan keganasan.

l Isu kontroversi yang timbul dalam proses perjuangan umat islam dalam mempertahankan diri adalah tindakan berani mati, iaitu satu cara serangan yang dilakukan terhadap musuh dengan cara mengikat dirinya dengan bahan letupan, kemudian meletupkan dirinya di-mana-mana sahaja yang dijadikan sasaran untuk membunuh musuh, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa.

Yang menjadi isu bagi kita adalah pandangan agama dalam hal ini, apakah Islam membenarkan pembunuhan diri untuk membunuh orang lain? Dan apakah kita boleh bertindak membunuh orang awam yang tidak berdosa atas nama perjua­ngan untuk membebaskan negara dari musuh? Apakah fatwa yang mengatakan bahawa perlakuan tersebut termasuk di dalam istilah Harakah al-Istisyhadiyyah (gerakan syahid) adalah satu perjuangan suci?

l Persoalan dan ketetapan yang seharusnya diambil oleh masyarakat Islam kini, apakah fatwa ini adalah fatwa yang mewakili majoriti ulama Islam?

Bagaimanakah pula ­pandangan kita tentang fatwa sesetengah ulama yang menyatakan bahawa dalam keadaan di mana musuh kita datang menyerang kita termasuk membunuh orang awam kita, maka kita tidak seharusnya mengambil tindakan yang sama, iaitu dengan menyerang dan membunuh orang awam mereka?

l Satu keputusan segera yang seharusnya diambil oleh umat Islam pada hari ini adalah menetapkan pendirian dan sikap terhadap kejahilan dan kemunduran. Ketetapan itu bakal membentuk sikap umat Islam dalam merangka strategi untuk mengatasi kejahilan dan kemunduran sesuai dengan semangat dan ajaran Islam.

Islam tidak mungkin membiarkan umatnya dalam keadaan jahil, buta huruf, bergelumang dengan kepercayaan karut dan khurafat, mengamalkan tradisi lama yang tidak produktif, penyelewengan dalam kehidupan akibat dari kejahilan terhadap ajaran agama , dan sebagainya.

Orang Islam, terutama pendakwah, haruslah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan budi pekerti yang baik untuk menarik orang lain supaya memahami dan merasa mesra dengan Islam. Di samping itu mereka haruslah mempunyai kelayakan untuk berbicara dengan orang ramai di segala pe­ringkat, iaitu kelayakan dari segi psikologi dan akal fikiran, tutur kata dan perbuatan.

Kita sering berbicara dengan sasaran yang salah ketika berdakwah atau menjelaskan tentang Islam, dan kita juga ­sering menembak sasaran yang salah dalam usaha kita ­menyerang musuh Islam. Hal ini perlulah disedari dan difahami dengan betul.

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).