Tidak syak lagi hari ini sekali lagi seluruh rakyat Malaysia ternanti-nanti pengumuman pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang bakal diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari akan datang.

Walaupun Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen tetapi hakikatnya kewujudan monarki dalam ruang lingkup sistem Raja Berperlembagaan membuatkan cabang Eksekutif (pentadbiran) kerajaan lazimnya akan seiring dalam mengurus pentadbiran negara.

Walaupun Malaysia bukan seperti Brunei atau Monaco di mana sistem pemerintahan adalah monarki mutlak, peranan yang disalurkan oleh monarki Malaysia terutama sekali melalui Agong adalah begitu bermakna sekali dan keprihatinan rakyat terhadap proses pemilihan baginda adalah manifestasi kepentingan peranan monarki Malaysia.

Ada juga yang berpendapat minat terhadap sistem monarki terbit kerana senario politik yang dianggap tidak menentu dan mahu tidak mahu penilaian sedemikian rupa ada kebenarannya. Ini adalah kerana lazimnya jika ada golongan yang berasa janggal dengan keadaan sistem pemerintahan demokrasi, maka secara semula jadi sistem monarki menjadi tempat mengadu.

Peranan yang dimainkan oleh monarki dalam membantu pentadbiran negara tidak boleh diperkecil atau diremehkan kerana telah terbukti keberkesanannya. Negara Scandinavia umpamanya seperti Norway, Sweden dan Denmark mempunyai sistem monarki berperlembagaan yang selari dengan Malaysia dan kewujudan monarki di ketiga-tiga negara tersebut tidak menghalang proses demokrasi berjalan dengan suburnya.

Lebih dekat dengan Malaysia, kewujudan monarki di Thailand dan Jepun juga membantu proses demokrasi kerana monarki dianggap salah satu proses semak dan imbang terutama sekali jika diambil kira peranan monarki di Thailand khususnya dalam era pemerintahan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan juga junta tentera.

Apabila salah satu wilayah di Sepanyol iaitu Catalonia menuntut kemerdekaan dari Madrid, Raja Sepanyol Felipe VI telah menyuarakan rasa tidak puas hati baginda terhadap permintaan tersebut yang bertentangan dengan perlembagaan Sepanyol.

Berbeza pula dengan tatacara Ratu Elizabeth yang tidak campur tangan dalam hal desakan kemerdekaan Scotland dan juga isu Brexit iaitu niat United Kingdom untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU). Sudah agak pasti jika baginda menyuarakan pendapat beliau, maka kemelut yang melanda isu Brexit akan berbeza.

Menarik juga dibuat andaian bagaimana Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berurusan dengan sistem monarki jika ia wujud di Amerika. Jika diperhatikan, Trump adalah seorang ketua negara yang enggan menerima nasihat dan pandangan walaupun sumber nasihat tersebut datang daripada golongan yang rapat atau sekutu beliau. Tetapi apa yang agak pasti adalah senario politik AS akan jauh berbeza jika wujud sistem monarki.

Seperti mana amalan demokrasi di Malaysia, Perdana Menteri di Sepanyol dan Norway umpamanya dikehendaki dalam jangka masa tertentu mengadap raja masing-masing bagi perbincangan secara formal tentang keadaan semasa negara.

Walaupun kaedah ini tidak memberi kuasa atau dalil campur tangan monarki dalam urusan pentadbiran, tetapi kaedah ini dianggap sebagai proses semak dan imbang yang begitu efektif.

Sebab itu dihujahkan sistem monarki terutama sekali yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kepentingan strategik kerana monarki lazimnya berada di luar ruang lingkup cengkaman politik iaitu berbeza dengan ahli politik yang dikekang oleh ideologi politik masing-masing. Secara asasnya kedudukan tertinggi dalam sistem monarki di Malaysia iaitu pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong tidak dipengaruhi oleh faktor kewangan, politik dan juga sensasi media.

Jika diandaikan Belgium yang mempunyai rakyat daripada pelbagai bangsa dan bahasa memerlukan sistem monarki sebagai asas perpaduan, malah Malaysia di mana kepelbagaian rakyatnya adalah jauh lebih hebat dari Belgium, sistem monarki sebenarnya adalah sebahagian daripada kemakmuran dan kestabilan yang di kecapi selama ini.