Ini kerana Trump sebagai ca­lon Presiden AS begitu jelas mem­punyai perasaan syak wasangka dan prejudis terhadap apa jua berkaitan agama Islam. Malah setelah dilantik sebagai Presiden AS perasaan tersebut diterjemahkan kepada dasar yang secara spe­sifik menyasarkan mereka yang beragama Islam atau yang berasal dari negara majoriti penduduknya Islam yang dianggap sebagai dasar tidak adil. Trump dengan terus terang tanpa berselindung mengaitkan Islam de­ngan keganasan.

Tetapi seperti yang dijangka­kan dan direncanakan kan­du­ngan ucapan Trump di Riyadh amat jauh berbeza dengan retorik beliau semasa berkempen dan juga sebagai Presiden AS. Intipati ucapan Trump sebenarnya meng­ajak negara Islam bersama-sama dengan AS dalam usaha meme­rangi keganasan terutama sekali ancaman yang terbit daripada kumpulan militan Daesh.

Kenapa ucapan Trump sudah dijangkakan sedemikian rupa kerana sudah pasti beliau tidak mahu mengeruhkan hubungan Washington dan Riyadh lebih-lebih lagi apabila Arab Saudi bakal membuat perolehan senjata de­ngan kos sebanyak AS$110 bilion.

Lawatan Trump ke Arab Saudi disertai dengan ucapan di sidang kemuncak di hadapan pemimpin negara Arab dan Islam sebenarnya direncanakan sedemikian rupa oleh Riyadh demi memberi isyarat kepada Trump mengenai agama Islam yang tiada kaitan keganasan. Oleh kerana Trump mentadbir AS bagaikan Ketua Pegawai Eksekutif mengurus sebuah syarikat, maka sebab itu juga faktor perolehan senjata memainkan peranan.

Walaupun ucapan Trump dianggap sebagai ucapan semata-mata tetapi hakikatnya kandungan ucapan tersebut boleh dianggap sebagai dasar AS dalam memerangi keganasan dan radikalisme di mana peranan Washington dianggap begitu kritikal. Sebab itu, strategi Raja Salman dianggap begitu pintar kerana kerjasama Washington dalam berhadapan dengan masalah keganasan dapat diraih dalam suasana yang tidak menjadikan agama Islam sebagai kambing hitam.

Raja Salman juga dianggap begitu strategik apabila menjemput pemimpin negara Arab dan Islam untuk bersama-sama bersidang dengan Trump. Tetapi paling menarik adalah keputusan Raja Salman yang mengetengahkan lima pemimpin negara Arab dan Islam untuk berucap dalam siding tersebut. Tidak keterlaluan jika diandaikan ucapan lima pemimpin ini dianggap sebagai pemangkin yang lebih berat berbanding faktor perolehan senjata dalam mengimbangi ucapan Trump.

Mesir, Jordan dan Kuwait mewakili negara Arab sementara bagi negara Islam Raja Salman telah memilih Indonesia dan Malaysia. Kedua-dua negara Asia Tenggara yang memiliki penduduk majoriti Islam ini jugalah yang dilawati oleh Raja Salman pada Februari lalu dalam rangka lawatan baginda ke Asia yang turut merangkumi lawatan ke China dan Jepun.

Mengapa dihujahkan ucapan kelima-lima pemimpin ini sedikit sebanyak telah mewarnai ucapan Trump, paling mudah dikupas kandungan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau menegaskan Malaysia ti­dak akan mengalah berhadapan dengan sikap radikalisme dan me­nekankan konsep kesederha­naan dan secara formalnya adalah penubuhan Pergerakan Ke­se­derhanaan Global (GMM) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2010.

Konsep kesederhanaan ini sebenarnya menongkah arus cara AS berurusan dengan isu keganasan yang lebih banyak menjurus kepada kaedah ketenteraan. Najib juga menekankan konsep yang dipelopori oleh GMM ini terkandung dalam al-Quran dan itulah yang disarankan oleh agama Islam yang menempelak pandangan Trump bahawa Islam itu punca keganasan.

Melalui konsep ini juga Malaysia telah diberi kepercayaan oleh AS untuk bersama-sama menu­buhkan Bahagian Komunikasi Strategik Digital bagi memerangi naratif songsang mengenai ajar­an agama Islam terutama sekali yang telah disalahguna oleh Daesh. Tambah Perdana Menteri, bukan sahaja Malaysia bekerjasama dengan AS dalam memerangi ideologi keganasan, pembabitan Australia, New Zealand, Perancis dan Britain adalah manifestasi bagaimana dunia sepatutnya berhadapan dengan isu yang kompleks seperti keganasan.

Penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Kuala Lumpur dan penglibatan Malaysia dalam Pusat Global bagi Memerangi Ideologi Ekstremis yang berpangkalan di Riyadh adalah contoh sebaiknya Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan.

Jika ada tanggapan bahawa pemimpin negara Islam yang hadir pada sidang kemuncak tersebut cuba mempengaruhi Trump bahawa musuh AS bukannya Islam tetapi golongan ekstremis serta pengganas maka strategi tersebut sedikit sebanyak nampaknya telah berjaya mewarnai naratif Trump. Memang benar Presiden AS ini terkenal dengan sikap menukar fikiran iaitu sering membuat keputusan pusingan U, tetapi setidak-tidaknya Trump sudah terikat de­ngan ucapan beliau di Riyadh.

Walaupun Malaysia dianggap sebagai sebuah negara Islam yang kecil tetapi hakikatnya adalah pengaruh negara dalam sidang kemuncak Riyadh adalah begitu menyerlah dan sebab itu juga Raja Salman mempunyai kepercayaan penuh dengan tanggungjawab yang digalas Malaysia.