Malah, pendapat Usman konsisten dengan pandangan Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas dalam bukunya bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun bahawa sesiapa sahaja yang tidak memiliki kelayakan akademik masih boleh menjadi intelektual. Beliau mengambil contoh ahli falsafah Inggeris, Herbert Spencer, seorang intelektual yang terkenal ketika eranya tetapi tidak memiliki kelulusan akademik.

Asasnya di sini, seorang intelektual mampu mengubah ma­syarakatnya dengan lebih baik dan memberi manfaat kepada ne­garanya. Seorang intelektual tidak wajar hanya memikirkan imbuhan atau ganjaran yang akan diperoleh atas sumbangan yang diberikan. Lebih teruk lagi mengharapkan ganjaran semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

Intelektual juga tidak wajar me­lihat sesuatu perkara berda­sarkan pandangan sempit dan tidak mendalam, walhal, mereka ini perlu melalui proses menganalisa secara mendalam, memahami sesuatu perkara atau isu dan memberi pandangan secara bebas dengan mengupasnya secara tuntas, menyeluruh dan kritis. Sudah tentulah, seorang intelektual perlu memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang yang ingin dikupasnya dan pada masa yang sama tidak terkongkong untuk menyatakan pandangannya ekoran tekanan yang dirasakan akan dikenakan terhadapnya.

Mereka ini berani untuk me­nya­takan sesuatu kebenaran mes­­­kipun pahit untuk ditelan oleh masyarakat. Mengutarakan pen­dapat secara konsisten, ber­pen­dirian dan tidak gentar akan sebarang bentuk tekanan. Idea-idea yang dikemukakan dapat dikembangkan untuk manfaat masyarakat, seterusnya meng­ubah masyarakat kepada lebih baik daripada sebelum itu.

Masyarakat amat dahagakan idea-idea yang dikemukakan ber­asaskan pengetahuan yang mendalam dan boleh dikembangkan untuk direalisasikan demi manfaat bersama.

Dalam hal ini, intelektual akan sentiasa menggunakan daya fi­kirannya dalam ruang lingkup ajaran agama Islam untuk melihat dan mengkaji apakah faktor perkara-perkara tersebut berlaku sehingga merencatkan sistem masyarakat yang ingin ke arah kemakmuran, keadilan dan kesaksamaan. Hal ini kerana ajaran agama tidak boleh sesekali dipisahkan dalam kehidupan seharian.

Pemikiran intelektual perlu ber­tunjangkan ajaran Islam yang menjadi teras perkembangan idea-idea yang memanfaatkan ma­syarakat. Idea yang menolak agama dalam melestarikan dan memakmurkan sistem kehidupan manusia hanya akan menghancurkan kebijaksanaan seseorang yang ingin menjadi intelektual.

Seorang intelektual tidak boleh sesekali taksub atas sesuatu fahaman sempit yang akhirnya tidak mampu mengutarakan pandangan secara kritis atas permasalahan asas dalam masyarakat. Ke­taksuban ini membatasi idea-idea yang sepatutnya dikemukakan kepada pemerintah dan masyarakat.

Merencatkan pandangan sen­diri hanya menggambarkan bahawa seseorang itu tidak mampu menjadi pejuang intelektual. Akhirnya, mereka ini hanya menuruti apa sahaja yang berlaku meskipun amat nyata silap dalam erti kata sebenar tanpa berusaha untuk mengubah haluan kepada kebenaran.

Seorang intelektual tidak wajar memikirkan diri sendiri semata-mata dan menyukai dirinya dipuji, dipuja ataupun memuji mereka yang memiliki kuasa tanpa asas yang kukuh. Hal ini cukup pen­ting kerana golongan intelektual lebih mengutamakan masyarakat dan negara bukan hanya ketika hayatnya tetapi menginginkan perubahan yang mungkin sahaja berlaku selepas tiada di dunia yang fana ini.

Intelektual tidak boleh me­nyim­pulkan sesuatu isu dengan mudah tanpa mengetahui asas ke­benaran sesuatu isu tersebut. Ma­na mungkin seorang intelektual menyatakan bahawa kemiskinan itu tidak mampu diubah dengan menggambarkan kemalasan itu berlaku dalam golongan tertentu semata-mata.

Dalam konteks ini, peranan intelektual perlu diperkasakan. Tidak wajar idea-idea yang dikemukakan oleh mereka dibatasi oleh fahaman sempit atau ketaksuban ideo­logi oleh golongan tertentu yang akhir­nya tidak dapat direalisasikan demi kebaikan bersama.

Mereka ini perlu diberikan ruang kebebasan mengikut kerangka ketanggungjawaban untuk me­lak­sanakan amanah sebagai kha­lifah di muka bumi ini dalam me­ngemukakan pandangan me­reka meskipun kritis mengenai sesuatu isu yang berlaku dalam masyarakat.

Sebagaimana kata-kata Usman, “peranan intelektual tidak ada jalan tengah”. Hal ini berlaku kerana jalan tengah boleh mendatangkan keburukan dan kebinasaan, walhal kebenaran itu sendiri tiada jalan tengah. Intelektual perlu berpihak atas kebenaran. Kebenaran menolak keburukan yang membinasakan masyarakat.

Dengan ini, dapat merealisasikan manfaat besar bersama buat negara dan masyarakat secara keseluruhannya. Justeru, perkasakan peranan intelektual demi melestarikan kesejahteraan kehidupan masyarakat dan kemakmuran Malaysia.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).