Ini berikutan kebimbangan pelbagai pihak beliau tidak dapat memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Isu itu timbul kerana wujud kekeliruan mengenai fungsi sebenar Peguam Negara yang dianggap terlalu berkuasa sedangkan hakikatnya jawatan itu sama seperti penjawat awam lain yang tertakluk kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Idea mengenai Peguam Negara seharusnya dalam kalangan orang Melayu dan Islam supaya boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara berkaitan syariah sebenarnya adalah kurang tepat.

Ini kerana dalam Perlembagaan Persekutuan jelas tertulis bahawa Peguam Negara tidak boleh mencampuri urusan yang berkaitan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri dan mahkamah tentera.

Peranan Peguam Negara se­perti termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut fungsi utama adalah sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan dan pendakwa raya bagi pihak kerajaan Malaysia.

Walaupun tidak menyentuh secara langsung mengenai isu Peguam Negara baharu kerana diterbitkan sebelum kontroversi itu berlaku, buku ini tetap menarik untuk dibaca berikutan penjelasan mendalam oleh Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz mengenai siapakah yang benar-benar dapat memelihara kedudukan Islam di negara ini.

Menurut beliau, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan telah termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “Islam ialah agama bagi Persekutuan: tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Dengan adanya Perkara 3(1) ini Islam telah diiktiraf secara sah dan dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama bagi keseluruhan Persekutuan.

Penegasan yang sah ini tidak diberikan kepada agama-agama lain sebagaimana yang telah diberikan kepada agama Islam.

Malah agama-agama lain juga tidak di­sebut de­ngan nama dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau negeri walaupun kedudukan agama lain secara umumnya ada­lah dijamin oleh Perlembagaan dalam pelbagai peruntukan, termasuklah dalam Perkara 3(1) itu sendiri.

Kesan daripada pe­negasan itu adalah ­Islam bukan menjadi agama untuk upa­cara-upacara keraian atau acara rasmi sahaja, tetapi menjadi agama negara dan seterusnya hendaklah berpengaruh dalam membentuk polisi pentadbiran dan hala tuju negara.

Islam yang telah diletakkan pada kedudukan ditinggikan itu juga membawa implikasi bahawa agama itu mempunyai dominasi dan juga pengaruh kuat dalam hal ehwal pentadbiran, budaya, undang-undang, sosial dan politik.

Tegas Shamrahayu, kedudukan Islam yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa termasuk ahli akademik, bijak pandai dan Peguam Negara.

Hanya satu pihak yang boleh mengganggu-gugat kedudukan istimewa Islam iaitu para hakim di mahkamah.

Menurut beliau, walaupun ahli akademik dan bijak pandai perundangan boleh membuat tafsiran terhadap Perkara 3(1) itu tetapi tafsiran mereka tidak menjadi undang-undang dan sekadar pandangan sahaja. Sebaliknya, tafsiran yang dibuat mahkamah adalah mengikat dan membentuk undang-undang.

Oleh itu, mahkamah adalah harapan atau sandaran paling akhir yang boleh diharapkan untuk memberikan ‘kehidupan’ sebenar kepada segala peruntukan berkaitan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peranan itu hanya boleh dimainkan oleh hakim di mahkamah. Para hakim diharapkan dapat memahami dan menghayati kedudukan Islam dalam seluruh kerangka perundangan terutamanya Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

“Sehingga kini, pendekatan yang diambil oleh mahkamah, terutamanya Mahkamah Persekutuan, dalam hal berkaitan tafsiran peruntukan mengenai Islam agak konsisten yang dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai berpihak kepada agama Islam,” tulisnya.

Adakah amalan itu akan berterusan setelah berlakunya pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Banyak perubahan yang berlaku selepas PRU-14 termasuk dakwaan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin te­lah meletakkan jawatan selepas dikenakan tekanan oleh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Bolehkah para hakim membuat keputusan dengan bebas sekiranya terdapat campur ta­ngan pihak lain dalam institusi kehakiman negara sekali gus mencabul prinsip pengasingan kuasa di negara ini?

Satu lagi persoalan, yang belum lagi terjawab, adakah pelantikan Ketua Hakim Negara baharu, Tan Sri Richard Malanjum yang sebelum ini dikatakan se­ring membuat keputusan tidak berpihak kepada Islam akan ‘menggalakkan’ semua hakim membuat keputusan sama?

Sama-samalah kita tunggu dan lihat.