Ini dibangkitkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Ahad lalu yang mendedahkan, kes terbaharu yang dikesan oleh pihaknya melibatkan penyebaran makanan dinamakan ‘mufin sunah’ dalam media sosial yang kononnya kuih itu pernah wujud ketika zaman Rasulullah SAW.

Pelabelan produk seperti ‘makanan sunah’ dan ‘minuman sunah’ walaupun tidak sampai menjejaskan akidah boleh mengelirukan selain memperdaya orang ramai. Masyarakat kita pula kelihatan amat mudah mempercayai dakyah tersebut tanpa merujuk kepada pihak berkuasa agama bagi menentukan kesahihannya. Menyebabkan kegiatan tersebut terus berleluasa sehingga hari ini.

Kalau ayat al-Quran, yang paling popular digantung di kedai-kedai adalah ayat 2 dan 3 surah at-Talaq yang juga dikenali Ayat 1,000 Dinar. Hampir semua premis makanan menggantung ayat tersebut. Harapannya, ia bukan sekadar jadi hiasan tetapi turut dibaca dan dihayati oleh pemilik premis tersebut.

Dalam bab berniaga makan ni, petua yang paling ber­kesan mahu menarik pelanggan adalah sajian yang enak dan bermutu pada harga berpatutan. Selain itu, kebersihan premis dan budi bahasa para petugas juga terbukti boleh memikat pelanggan. Sebab itu, kalau setakat gantung ayat al-Quran atau hadis penuh satu kedai pun jika aspek yang disebutkan diabaikan, pelanggan tidak akan makan di situ.

Pada asasnya, mengambil upah atas jampi dan rawatan yang dilakukan adalah diharuskan. Ia bersandarkan Rasulullah membenarkan seorang sahabat menerima upah atas pembacaan al-Fatihah terhadap orang sakit yang kemudiannya sembuh. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita juga memahami bahawa peniaga berkenaan mengeluarkan kos tertentu bagi menghasilkan barangan mereka. Oleh itu, tidak salah mereka meletakkan harga yang berpatutan ke atas produk tersebut. Cuma apakah kayu ukur untuk mereka mendakwa produk itu memenuhi ciri-ciri sunah?

Memetik kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, dalam Islam penghasilan produk yang memenuhi konsep halalan toyyiban (halal lagi baik) sudah jatuh dalam kategori sunah kerana mematuhi ajaran baginda SAW.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian adalah produk-produk yang didakwa dibacakan ayat ruqyah dan al-Quran sama 30 juzuk atau sebahagiannya. Ia bertentangan dengan konsep pengubatan Islam sebenar sebab memerlukan pertemuan antara pesakit dan perawat. Doa yang dibaca hendaklah didengar dan diaminkan bersama ­pesakit selain diberi nasihat dan amalan oleh perawat. Ringkas cakap, bukan setakat beli air yang ready made di pasaran. Dalam masa yang sama, adalah lebih baik pesakit turut berusaha merawat diri sendiri dengan membaca ayat-ayat ruqyah sebagaimana diajar atau diijazahkan oleh perawat. Selain itu banyakkan qiamullail dan berdoa kerana setiap penyakit itu yang menyembuhkannya adalah Allah. Bahan sama ada air jampi atau sebagainya itu hanyalah ikhtiar kita. Kita sembuh dengan izin Allah SWT.

Ulama juga menegah bacaan al-Quran dibuat secara terbuka di pasar-pasar jualan kerana ia menghilangkan fungsi sebenar al-Quran. Selain itu, ia mendedahkan kepada penghinaan daripada pesaing dan juga mendedahkan al-Quran kepada dikritik oleh pengguna atau pesakit apabila mereka masih tidak sembuh atau tidak memperolehi manfaat hebat yang dijanjikan penjual.

Sebagai Sadd az-Zarai’ kepada unsur-unsur penipuan dan penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan ­komersial, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada November 2015 memutuskan penggunaan ruqyah dan istilah ‘makanan sunah’ secara tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan perlu dihentikan. Semua ini dilakukan agar tidak mendatangkan fitnah kepada agama.