Apabila sejarah dikaji, banyak kisah tamadun terdahulu dapat dirungkai dan seterusnya meningkatkan jati diri kita sebagai penduduk tempatan.

Itulah diperkatakan oleh Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam yang memberitahu tentang signifikan Sungai Perak dalam sejarah negeri tersebut.

“Perak merupakan bumi bertuah. Sejarah di Perak sangat luas, panjang dan hebat yang perlu digali untuk merungkai banyak rahsia termasuklah kehilangan kesan-kesan tamadun terdahulu.

“Sebagai contoh Sungai Perak, ia merupakan tunjang utama pengangkutan orang Melayu dahulu yang menggunakan sampan atau perahu untuk bergerak.

“Malah di sepanjang sungai itu terdapat kampung-kampung yang masih wujud hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui S2.

Tambahnya, masalah yang timbul sekarang adalah tidak ramai pihak berminat untuk menjaga dan memartabatkan sejarah Perak.

“Sebagai contoh di Sungai Perak, selain menjadi saksi kepada kewujudan kesultanan Perak, banyak lagi peristiwa yang pernah berlaku di sana.

“Sungai Perak dahulu dikatakan bersambung dengan Sungai Mekong. Justeru, kita kena kaji mengenai kesahihan itu sebab ada juga pendapat mengatakan ia boleh tembus sampai ke Laut China Selatan.

“Jadi, kita kena cari dan pelajari tentang ketamadunan terdahulu kerana itu adalah warisan kita. Warisan itu adalah tanda tamadun kita,” jelasnya.