Jika hidup mereka dalam kesusahan atau kegagalan, diterima semua perkara negatif itu sebagai ujian, dan tidak berfikiran negatif – menyalahkan, merungut dan berputus Asa. Orang yang positif akan sentiasa mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan sesuatu yang lebih besar dan jangan takut mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup kita.

Ketahuilah bahawa ujian Allah itu ibarat seorang guru: guru kalau hendak menilai pelajarnya, diadakan ujian. Pelajar menerima situasi itu sebagai lumrah kehidupan yang perlu dilalui sebagai seorang pelajar. Iaitu sentiasa bersedia untuk menghadapi ujian gurunya, kerana menyedari dengan kejayaannya menghadapi ujian itulah nanti, baru dia dapat menilai sejauh mana dia mampu dan memahami apa-apa yang dipelajarinya dan sebagai penentu masa hadapannya.

Demikian jugalah makna hubungan manusia dengan Allah. Tanda Allah sayang dan nilai hamba-Nya, Allah turunkan ujian dalam kehidupan kita: kesusahan, kegagalan, kehilangan dan seumpamanya. Oleh sebab itu, jika kita juga dapat menerima setiap perkara yang berlaku ke atas kita: sama ada perkara yang baik atau perkara yang buruk sebagai ujian. Keikhlasan hati menghadapi ujian Allah dengan sabar, reda dan bersyukur, itulah yang menjamin kebahagiaan dan ketenangan yang pasti menanti di hadapan kehidupan kita.

Yang penting, segala yang kita dapat dalam perjalanan hidup kita itu adalah sesuatu pengalaman yang berharga buat diri kita. Apa-apa yang kita simpan sebagai pengalaman kehidupan dalam memori kita, menjadi amat penting bagi diri kita. Kerana pengalaman itu satu perjalanan hidup yang amat berharga. Biarpun tidak mempunyai nilai, tidak memberi apa-apa makna dan kepentingan buat orang lain, tetapi itulah pengalaman kehidupan yang menentukan nilai dan harga diri kita.

Semua pengalaman itu masuk melalui mata, hidung, telinga, hati dan otak/minda seseorang. Maksudnya segala yang kita pandang, hidu, dengar, rasakan dengan hati dan fikirkan dengan minda serta yang kita lalui pada masa lalu akan kita simpan, dan suatu masa nanti barulah dilepaskan pengalaman itu. Sebab itu apabila kita melihat sikap, perangai atau imej diri seseorang, maka kita kena ambil tahu bagaimana kehidupan masa silamnya.

Segala pengalaman penting dan yang paling berkesan dalam hidup kita akan disimpan dalam minda bawah sedar/minda segar, berdasarkan status kehidupan kita. Bagi orang yang dilahirkan dalam keluarga yang senang, nilai imej dirinya juga turut berbeza dengan orang yang miskin. Oleh sebab itu kita tidak boleh mengutuk nilai diri seseorang, tetapi perlu menyesuaikan antara nilai diri kita dengan nilai diri orang lain.

Segala yang terlepas ke dalam minda bawah sedar/minda segar ia akan menjadi nilai diri. semua pengalaman dan kebolehan itu akan masuk ke dalam diri kecuali yang bertentangan dengan nilai diri kita. Apa-apa yang sudah ditapis (segala maklumat yang masuk) bergantung daripada tapisan yang berlaku dalam bahagian minda separa sedar (akal/mental).

Maklumat terlepas daripada tapisan itu akan masuk mengikut bentuknya; jika bentuk segi tiga, segi tigalah hasilnya – kalau cantik/baik maka akan cantik/baik juga imej yang tercipta. Berapa banyak maklumat boleh masuk, baik yang positif atau negatif akan di terima oleh minda sedar, tetapi apa-apa yang hendak masuk ke dalam minda bawah sedar/minda segar hanya perkara yang memberi nilai dalam hidup kita sahaja. Sebab itu saat yang paling penting dalam hidup kita adalah ketika membuat pilihan dan keputusan dalam hidup kita.

Buat pilihan

Cara kita membuat pilihan dan keputusan hidup kita menentukan kehidupan kita pada masa hadapan. Orang yang mempunyai nilai diri yang positif biasanya cepat membuat keputusan dan lambat menukarnya, kerana keyakinannya tinggi. Tetapi, orang yang nilai dirinya rendah lambat membuat keputusan dan cepat menukarnya, kerana sentiasa ragu-ragu dan teragak-agak dengan keputusannya. Demikianlah betapa pentingnya kita membuat pilihan dalam kehidupan untuk – membuat satu keputusan, bukan memberi banyak alasan. Orang yang berjaya yakin membuat pilihan. Orang yang gagal mencari alasan. Jom audit diri dan katakan selamat tinggal kepada alasan.

Semoga kita berjiwa dalam hidup ini, dan sangat penting kita fikirkan apa yang boleh kita beri, sebab Allah paling sayang orang yang boleh memberikan manfaat dan kebaikan kepada orang lain serta membantu memudahkan urusan orang lain. Hari ini, buat keputusan untuk menjadi orang yang baik dari segi pemikiran, perasaan dan perbuatan.

Jika setiap hari kita niat untuk menjadi baik, insya-Allah akan menjadi baik sepanjang hayat. Cari seberapa banyak kebaikan dalam nilai diri seseorang sebelum mencari keburukan mereka. Ingatlah, apa yang kita pandang itu yang kita nampak, dan apa yang kita cari itu yang akan kita jumpa. Kita hanya akan memperlihatkan apa yang ada dalam diri kita. Apa yang kita percaya itu yang kita akan lihat. Kalau kita banyak kebaikan dalam diri, kita akan dapat melihat kebaikan dalam diri orang lain.

Siapa pun diri kita: susah atau senang, kaya atau miskin, kecil atau besar, cantik atau hodoh, cerdik atau bodoh yang kita inginkan di dunia ini adalah kebebasan, ketenangan, dan kebahagiaan. Bagaimanakah caranya kita mendapatkan apa yang kita mahukan itu? Kalau kita mahukan ketenangan, kita tenangkan orang dan kalau hendak bahagia kita bahagiakan orang. Jika mahukan kebebasan, kita jangan mengongkong orang.

Jom setiap hari kita fikirkan perkara yang bermanfaat dan berniat untuk memberikan sebanyak mungkin manfaat kepada orang sekeliling kita. Ingat formula FIKIR BAIK – EMOSI BAIK – TINDAKAN BAIK – HASIL KEHIDUPAN BAIK. Hanya orang yang bernilai diri positif boleh memberi kepada orang lain perkara dan tindakan yang positif. Nilai diri positif tidak diukur pada zahir atau fizikal seseorang insan itu, tetapi diukur dari segi nilai dunia dalamannya, iaitu hati.

Tiga cara membina aura diri positif. Pertama, Untuk gembira dan bahagia, lahirkan perasaan dalaman yang gembira. Perasaan gembira itu akan terpancar di wajah dan memberikan aura diri yang positif. Bahagiakan orang dengan banyak memberi bukan banyak menerima.

Kedua, Jangan biarkan apa-apa yang berlaku semalam, mengganggu masa kita hari ini. Niat gunakan hari ini sebaik mungkin, untuk perbetulkan nilai diri yang buruk kepada nilai diri yang baik. Dekatkan diri dengan Allah dan sibukkan diri memburu kejayaan akhirat, usah tenggelam dalam kesibukan mencari kehidupan dunia semata-mata hingga terabai akhirat.

Ketiga, Usah fikirkan apa yang orang kata, tetapi banyakkan berfikir apa yang Allah mahu daripada kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Penulis adalah Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya.