Dilaporkan pada 2013, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta kepada lima buah universiti penyelidikan di negara ini. Jika dibandingkan dengan universiti-universiti penyelidikan di Amerika Syarikat, peruntukan AS$40 bilion (RM160 bilion) di­salurkan pada 2013 sahaja. Secara umum, universiti penyelidikan (tidak termasuk yang lain) bergantung hampir 60 peratus untuk perbelanjaan operasi daripada geran kerajaan.

Bagi dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) pula, kebanyakan universiti penyelidikan bergantung sehingga 90 peratus daripada geran kerajaan. Sepanjang 2006 hingga 2013, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bergantung sebanyak 89 peratus pada kerajaan manakala Universiti Malaya (UM) bergantung sebanyak 57 peratus. Bagi dana swasta seperti perkongsian pintar dan sebagainya, sepanjang tempoh itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima 33 peratus, UM hanya dua peratus, Universiti Sains Malaysia (USM) sebanyak 26 peratus dan UTM hanya lima peratus.

Persoalannya, adakah dengan kebergantungan pada peruntukan geran kerajaan membolehkan impak penyelidikan mencapai tahap kecemerlangan yang boleh dibanggakan di universiti penyelidikan kita?

Secara umum, pada 2015, negara membelanjakan 5.9 peratus daripada KDNK dalam pendidikan dan hanya 1.13 peratus untuk R&D. Ketika ini, Malaysia berada di tempat ke-33 menurut Badan Harta Intelek Sedunia (WIPO). Pada 2014 pula, tahap paten dan harta intelek adalah di tangga 
ke-44.

Permohonan untuk mendapat paten sebanyak 218 pada 1999 meningkat kepada 1,199 pada 2013 dengan kelulusan 39 pada 1999 dan naik menjadi 288 pada 2013. Pada 2012 pula, negara menghasilkan 29,815 kertas kerja yakni berada di tangga ke-45 dan ke-50 bagi bilangan sitasi manakala impak penyelidikan ber­ada di tangga ke-136 sedangkan Singapura berada di tangga ke-46, Thailand di tempat ke-75 dan Taiwan di tempat ke-84. Kedudukan negara adalah lebih rendah berbanding Indonesia, Viet­nam, ­Filipina dan Arab Saudi.

Daripada analisis di atas, jelas sekali impak daripada hasil ­penyelidikan kurang memberangsangkan. Dengan tahap yang rendah di peringkat antarabangsa, apakah pula impak penyelidikan di dalam negara? Adakah impak daripada hasil penyelidikan berkenaan mampu menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera? Sesungguhnya, rakyat masih dibelenggu kos sara hidup yang tinggi melebihi kemampuan mereka.

Ramai yang menghadapi masalah kesihatan seperti jantung, buah pinggang dan kencing manis. Masalah denggi masih belum reda. Kegiatan salah laku dan rasuah masih berleluasa. Rakyat belum pasti dengan jaminan makanan. Masalah bekalan air bersih masih belum selesai sepenuhnya. Harga barang-barang keperluan melambung tinggi. Harga rumah masih di luar jangkauan. Begitulah antara senario kehidupan rakyat yang dambakan kesejahteraan demi mengatasi masalah kehidupan yang sema­kin hari semakin mencabar.

Dengan impak penyelidikan yang ada, adakah bentuk penyelidikan yang dijalankan benar-benar menyumbang untuk kesejahteraan rakyat? Tidak dinafikan ramai penyelidik menjalankan berbagai-bagai bentuk penyelidikan. Ada yang mendapat geran penyelidikan jutaan ringgit. Ada pula yang menjalankan kajian empirikal hingga ke Kutub Utara. Tidak kurang juga yang mendapat berbagai-bagai bentuk pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Tidak kurang juga yang telah mendapat anugerah dan lantikan hingga ke tahap yang tertinggi di dalam dan luar negara. Malang­nya, impak hasil penyelidikan yang membawa ­kesejahteraan rakyat boleh di­bilang dengan jari.

Dalam banyak bidang kehidupan, negara masih bergantung pada kepakaran luar. Penyelidikan berkaitan air masih belum selesai tadbir urus sekalipun kita ada ramai penyelidik dan pakar dalam bidang air. Dalam bidang kesihatan pula, denggi masih belum dapat dihapuskan. Begitu juga dengan bekalan ubat-ubatan yang masih terlalu mahal kerana kita bergantung pada import dari luar negara.

Begitu juga dengan bekalan makanan yang masih lagi diimport dan tahap keterjaminan makanan masih rendah. Ra­suah masih berleluasa. Minda masyarakat masih pada tahap tradisional dan sukar berubah. Sesungguhnya, kita perlu berubah. Kita perlu lebih dinamik untuk mendepani masa hadapan yang semakin mencabar. Justeru, penyelidikan dengan impak yang positif kepada masyarakat perlu dilihat semula. Di sinilah, penyelidikan translational sangat perlu diberi perhatian serius.

Dalam usaha mencapai ­kesejahteraan rakyat, geran penyelidikan perlu diselaraskan semula bukan mengikut apa yang dipohon penyelidik semata-mata tetapi apa sebenarnya yang diperlukan rakyat. Sekiranya tiada kepakaran dalam bidang-bidang yang hasilnya diperlukan rakyat, maka kepakaran luar diperlukan.

Tidak seharusnya, penyelidikan diluluskan kepada profesor luar mengikut kepakarannya demi penarafan pihak luar semata-mata. Didapati ramai penyelidik luar yang menjalankan penyelidikan sekadar menambah bilangan profesor luar dan menerbitkan jurnal untuk maksud penarafan semata-mata. Bukannya demi kesejahteraan rakyat.

Ramai juga profesor luar yang hanya menjalankan kajian dan menulis artikel jurnal semata-mata tanpa melibatkan diri dalam pengajaran dan sebagainya. Bagaimanakah kepakaran mereka boleh dimanfaatkan sepenuhnya? Terdapat juga penyelidik tempatan yang hanya menjadi penumpang pada kepakaran luar tanpa melibatkan diri dalam pemindahan ilmu penge­tahuan sepenuhnya. Bukti­nya, ada penulis tempatan yang me­nempel beramai-ramai dalam sesebuah artikel jurnal. Ada pula yang terlalu ghairah mencari indeks dan terlupa kesejahteraan rakyat yang sepatutnya diberi keutamaan.

Justeru, kena pada masanya keutamaan sebenar diberikan dalam menjalankan penyelidikan. Demi kesejahteraan rakyat, impak hasil penyelidikan bukan sahaja mampu melonjak tangga penarafan malah membawa keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat. Sesungguhnya rak­yat dambakan kesejahteraan dalam kehidupan seharian sejak dahulu, sekarang dan selama-lamanya.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.