Tujuan penubuhan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang ini seperti yang dilaporkan adalah untuk menumpukan kepada pengharmonian antara Undang-Undang Syariah dan Undang-Undang Sivil mengenai perkara-perkara perundangan yang melibatkan persoalan syariah yang berbangkit di peringkat Persekutuan dan antarabangsa.

Penubuhan bahagian ini diharap dapat memberikan penjelasan kepada polemik dan menyelesaikan konflik perundangan negara. Semakin panjang masa konflik, semakin banyak polemik. Banyak dan panjangnya masa polemik boleh menggugat ketenteraman negara. Ia perlu diselesaikan dan Jabatan Peguam Negara telah mengambil inisiatif terbaik.

Inisiatif penubuhan bahagian ini (atau penambahbaikan kepada Seksyen Syariah yang telah diwujudkan sebelum ini) adalah untuk membolehkan jabatan tersebut melaksanakan tanggungjawab atau kewajipan menasihati Yang di-Pertuan Agong dan juga Jemaah Menteri atau mana-mana menteri dalam hal berkaitan undang-undang atau tugas-tugas berkaitan perundangan sekiranya pejabat tersebut dirujuk atau ditugaskan sebagaimana dalam Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan dengan lebih berkesan.

Antaranya aspek-aspek utama yang memerlukan pengharmonian termasuklah hal-hal berkaitan penggubalan dan penyelarasan Undang-Undang Syariah, ratifikasi instrumen antarabangsa yang mempunyai kesan kepada syariah dan undang-undang yang berpotensi menyebabkan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Walaupun begitu, secara umumnya pengharmonian ini bukan mudah untuk dilaksanakan. Dua perkara yang perlu diambil perhatian; pertama, kerangka perundangan atau kerangka Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perundangan Syariah dan kedua, kepakaran Perundangan Syariah.

Perkara berkaitan kerangka perundangan ini melibatkan hal-hal berkaitan kuasa perundangan Islam yang rata-ratanya difahami sebagai suatu subjek di bawah bidang kuasa negeri. Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam lagi, adalah didapati bahawa Pejabat Peguam Negara juga boleh dan perlu memainkan peranan dalam Perundangan Syariah.

Rujukan

Sebagai contoh, dalam Senarai Persekutuan, Kerajaan Persekutuan juga mempunyai peranan tertentu berkaitan penentuan hukum syarak dan undang-undang diri bagi tujuan Undang-Undang Persekutuan. Perkara ini lebih jelas lagi bagi tujuan undang-undang yang digubal bagi aplikasi Wilayah-Wilayah Persekutuan, bahkan juga kepada undang-undang lain sekalipun.

Selain itu, apa jua nasihat perundangan yang disampaikan oleh Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah menepati hukum syarak. Walaupun Yang di-Pertuan Agong bukan Ketua Agama bagi keseluruhan Persekutuan, tetapi baginda menggalas tanggungjawab memelihara agama Islam, termasuk perundangan Islam.

Selain itu, baginda juga merupakan Ketua Agama bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan juga tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya (dan negeri baginda sendiri).

Pakar Perundangan Syariah juga perlu membentuk korum pengharmonian undang-undang. Mereka yang berkepakaran dalam Perundangan Syariah perlu digembleng dalam menentukan pemilihan pandangan hukum syarak yang terbaik bagi masyarakat Malaysia serta mampu memberikan justifikasi pemilihan tersebut.

Justeru, Komuniti Syariah yang pernah diaktifkan oleh Pejabat Peguam Negara pada masa lalu perlu diteruskan dan diperkemaskan proses engagement supaya komuniti ini dapat berfungsi lebih berkesan dalam membantu Pejabat Peguam Negara membuat pengharmonian undang-undang terbaik.

Sebelum ini, di peringkat Majlis Raja-Raja, menerusi penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia, sebuah Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah dan Sivil telah ditubuhkan. Jawatankuasa Teknikal ini berpangkalan di Jabatan Kemajuan Syariah Malaysia dan telah banyak melakukan kerja-kerja penambahbaikan dan membantu menyelaras atau menyeragamkan Undang-Undang Syariah di negeri-negeri. Tugasan jawatankuasa teknikal ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara.

Setakat ini tugas Jawatankuasa Teknikal ini merangkumi tugasan yang agak mikro, iaitu dalam hal-hal yang hanya melibatkan undang-undang yang diterima pakai di Mahkamah Syariah. Ini membezakan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara. Namun begitu, kedua-duanya tidak boleh bergerak terasing. Kedua-duanya perlu lengkap melengkapi.

Mengapa prinsip undang-undang Islam menjadi salah satu alternatif kepada pengharmonian undang-undang? Prinsip undang-undang Islam perlu menjadi rujukan dalam pengharmonian undang-undang kerana ia disebut dalam Perlembagaan. Dengan adanya peruntukan yang meletakkan Islam sebagai agama negara, ia sudah memadai untuk menyatakan justifikasi rujukan hukum syarak.

Seterusnya prinsip syariah, sekiranya disampaikan dan diterima secara keseluruhannya, mengandungi prinsip keadilan sejagat yang boleh diterima merentasi budaya dan agama.

Sementara itu, dari segi sejarah, prinsip syariah telah bertapak di negara ini sejak dari dahulu lagi dan kewujudannya itu tidak dipertikaikan lagi dan bukan menyusahkan. Penerimaan Islam dan prinsip-prinsip hukum syarak telah diiktiraf dalam aspek budaya dan masyarakat Malaysia. Budaya, termasuk juga tatasusila dan adat resam adalah antara aspek utama perlu diambil perhatian dalam proses pengharmonian undang-undang.

Walaupun begitu, mencari penyelesaian atau input pengharmonian undang-undang daripada prinsip Islam itu juga bukan perkara mudah. Ini kerana dalam undang-undang Islam itu sendiri terdapat kepelbagaian tafsiran dalam perkara yang tidak muktamad secara maksudnya atau harfiahnya.

Maka metodologi pengharmonian dalam perundangan Islam itu sendiri adalah dengan mengambil pendekatan menerima pandangan atau ijtihad yang lebih baik dan bersesuaian dengan masa dan massa, keadaan setempat dan keadaan sekitar. Ini memerlukan kepakaran yang tinggi.

Perlu juga dijelaskan bahawa, prinsip Islam yang menjadi rujukan dalam pengharmonian undang-undang bukan semata-mata bersifat atau berkaitan dengan 'akidah dan tauhid', atau the Islamic belief and faith. Masyarakat tidak perlu bimbang tentang paksaan untuk menerima hukum Islam. Prinsip-prinsip Islam diterima pakai dalam pengharmonian undang-undang ialah sifat undang-undang Islam yang universal, contemporary dan realistic; bersifat sejagat, mendepani masa dan menerima realiti.

Untuk menjelmakan undang-undang Malaysia yang mempunyai sifat keadilan sempurna, maka pengharmonian undang-undang perlu memberikan perhatian kepada tiga sifat perundangan Islam ini sepenuhnya. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, hasilnya nanti ialah, undang-undang Malaysia akan menjadi lebih adil daripada prinsip perundangan yang dianggap universal ketika ini dan seterusnya masyarakat Malaysia tidak lagi berasa alergik, takut, bimbang atau was-was dengan prinsip undang-undang Islam.

Penulis ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).