Walaupun tahu apa yang mereka katakan tidak betul tetapi sebagai Pakatan Harapan sememangnya ‘pakar’ dalam mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat supaya membenci UMNO dan BN. Apa sahaja yang berlaku UMNO dan BN akan menjadi sasaran serangan politik.

Namun begitu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), parti-parti dalam Pakatan Harapan semakin banyak ‘dihinggapi pelbagai penyakit’. Antara yang paling ketara ialah kemaruk kuasa seperti mana yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN pula dilihat ‘dijangkiti penyakit’ hasad dengki dan pelupa.

DAP dan PKR adalah kawan karib. Tidak kira siapapun yang bergabung dalam pakatan pembangkang, kedua-dua parti ini akan mengawal keadaan kerana mereka sudah kemaruk untuk berkuasa. DAP yang terus yakin mendapat sokongan padu daripada kaum Cina hanya memperalatkan PKR, PAN Dan PPBM untuk meraih sokongan Melayu.

PKR pula sudah tidak mempedulikan perkara lain. Selagi mana-mana parti bersedia bekerjasama dengan mereka, waima musuh ketat mereka sekali pun, parti itu sanggup membuka pintu rundingan. Atas faktor inilah PKR sanggup menjalinkan hubungan politik dengan PPBM walaupun yang menjadi Pengerusi parti itu ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad – individu yang paling mereka benci suatu ketika dahulu.

Sementara itu PAN bercita-cita tinggi untuk menggantikan Pas dalam memperjuangkan Islam. Biarpun hakikatnya PAN tidak mempunyai apa-apa kekuatan tetapi mereka tetap menaruh impian tersebut. Tetapi DAP dan PKR memahami keupayaan PAN, sebab itulah dalam pembahagian kerusi, PAN dilihat ‘teraniaya’. Banyak kerusi Pas yang sepatutnya ditandingi oleh PAN sebaliknya diserahkan kepada PKR atau PPBM.

Biarpun tidak berpuas hati, pemimpin-pemimpin PAN tidak ada upaya untuk membantah. Tindakan mereka memecahbelahkan Pas disebabkan terpengaruh dengan mainan politik DAP ternyata tidak mendatangkan apa-apa hasil. Namun PAN hanya mampu akur, walaupun di pe­ringkat akar umbi sudah ada suara-suara tidak berpuas hati dengan kepemimpinan parti.

Agenda politik PPBM pula tidak sukar untuk dibaca. Ia ditubuhkan disebabkan dendam politik Dr. Mahathir ter­hadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam usaha mencapai agenda itu, PPBM dihinggapi ‘penyakit’ mudah lupa.

Pemimpin-pemimpinnya bersedia bekerjasama dalam Pakatan Harapan walaupun mengetahui DAP merupakan parti paling berkuasa dan dominan. Akibat dihinggap ‘penyakit lupa’, pemimpin-pemimpin PPBM melakukan tindakan politik yang amat tidak konsisten sehingga ia mengelirukan rakyat.

Dr. Mahathir yang satu ketika dahulu menganggap DAP parti paling rasis di negara ini secara tiba-tiba boleh menjadi kawan akrab kepada pemimpin-pemimpin DAP. Di mana-mana sahaja bekas Perdana Menteri itu memuji DAP, tetapi yang anehnya dalam kalangan pemimpin DAP mereka tidaklah begitu teruja dengan kehadiran Dr. Mahathir dalam blok pembangkang.

Mereka mengetahui secara mendalam dan terperinci corak pendekatan politik Dr. Mahathir. Mereka sebenar­nya tidak percaya kepada Dr. Mahathir tetapi disebabkan mahu mencapai impian meraih sokongan orang Melayu khususnya di kawasan luar bandar, maka mereka terpaksa bersandiwara menerima bekas Perdana Menteri itu dan melupakan segala ‘dosa-dosa silam’ yang beliau lakukan ke atas pembangkang.

Rentetan daripada semua itu, ia menyebabkan rakyat negara ini dipaksa untuk memahami erti politik ‘matlamat menghalalkan cara’. Kalau dilihat kepada Pakatan Harapan, itulah ‘penyakit’ yang sedang mereka hinggapi.

‘Penyakit’ politik seumpama itu tidak ada ‘ubatnya’. Ia boleh memberi ancaman kepada kestabilan politik negara. Ini kerana mereka mahu bertarung dalam pilihan raya bukan kerana rakyat tetapi disebabkan mahu merebut kuasa semata-mata.

Seburuk-buruk BN mahupun UMNO  yang mereka anggap ‘sakit’ tidak akan mengamalkan politik seumpama itu. BN sememangnya mahu kekal berkuasa, tetapi pemimpin-pemimpin mempunyai prinsip dan maruah dalam mencapai cita-cita tersebut.

Track record BN sudah membuktikan perkara ini. Lagi pula kalau melihat corak pentadbiran Pakatan Harapan khususnya di Selangor dan Pulau Pinang, ia tidak sehebat mana. Malah mereka juga berhadapan dengan pelbagai skandal termasuklah salah guna kuasa dan rasuah.

Di Selangor, contohnya dari semasa ke semasa semakin banyak masalah rakyat gagal diselesaikan oleh pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Timbalan PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Bagaimanapun mereka berjaya menutup segala kelemahan itu dengan memburuk-burukkan kerajaan BN.

Oleh itu  penulis berharap rakyat akan menilai perilaku pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan. Yang sebenarnya ‘sakit’ bukan BN atau UMNO tetapi pakatan tersebut yang melihat PRU-14 platform ‘terdesak’ terakhir untuk mereka memerintah negara ini.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.