Beberapa Presiden AS yang terdahulu turut berhadapan dengan masalah kesihatan mental termasuk keresahan sosial, kecelaruan bipolar malah ada yang mengalami masalah psikopati iaitu gangguan mental.

Presiden pertama AS, George Washington pernah cuba membunuh diri dengan membiarkan dirinya dibunuh oleh tentera British akibat kekalahan teruk pasukan tentera yang dipimpin semasa Perang Revolusi Amerika pada musim panas 1776 di Kip’s Bay, Manhattan.

Menurut penulis biografi, Ron Chernow yang dilaporkan portal BBC, ketika itu Washington, 44, yang berpangkat Komander Tertinggi, belum lagi bergelar Presiden berjaya diselamatkan pembantunya.

Salah seorang Jeneral pasukan berkenaan, Nathanael Greene berkata, Washington `terlalu sedih dengan sikap anggota tenteranya sehingga beliau rela mati’.

Gangguan emosi yang dialami Washington menunjukkan walau sehebat mana sekalipun pemimpin itu memerintah, mereka tidak terlepas daripada mengalami gangguan mental.

Selepas dua abad, penggan­tinya, Trump juga tidak terlepas daripada masalah berkenaan sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke White House.

Pelbagai kenyataan dan buku tentang persoalan kesihatan mental Trump diterbitkan antaranya The Dangerous Case of Donald Trump: 27 Psychiatrists and Mental Health Experts Assess a President; Rocket Man: Nuclear Madness and the Mind of Donald Trump; A Clear and Present Danger: Narcissism in the Era of Donald Trump dan Twilight of American Sanity; A Psychiatrist Analyzes the Age of Trump.

Presiden kedua AS, John Adams disifatkan oleh musuhnya, Thomas Jefferson (Presiden AS ke-3) sebagai `lelaki yang tidak mempunyai perasaan’ walaupun kajian mendapati Jefferson turut mengalami masalah mental manakala Presiden ke-26, Theodore Roosevelt pula disenaraikan sebagai `contoh individu yang mempunyai gangguan mental teruk.’

Semasa Roosevelt berkempen untuk meraih kembali jawatan Presiden pada 1912, pakar sejarah terkenal AS, Henry Adams berkata: “Fikiran pemimpin itu semakin tidak betul dan kemungkinan kebimbangannya akan membawa kepada gangguan mental atau kegilaan teruk.”

Presiden AS ke-28, Woodrow Wilson yang mengalami angin ahmar pula mendakwa, White House telah bertukar menjadi penempatan orang gila hanya kerana beberapa tingkap di bahagian bawah rumah agam eksekutif dipasang jeriji besi.

Kata penulis, John Milton Cooper melalui biografi Wilson, jeriji itu sebenarnya telah dipasang semasa pemerintahan Teddy Roosevelt bagi mengelak tingkap kaca pecah ketika anak-anak lelakinya bermain bola lisut.

Bagaimanapun menurut analisis psiaktri tentang 37 pemimpin pertama AS, Adams, Roosevelt dan Wilson sememangnya mengalami masalah kesihatan mental.

Kajian pada 2006 menganggarkan 49 peratus Presiden AS mengalami penyakit otak ketika melalui fasa umur masing-masing dan 27 peratus daripadanya didapati mengalami penyakit itu semasa bertugas sebagai Presiden.

Seorang daripada empat Presiden berkenaan memenuhi kriteria diagnostik kemurungan termasuk Woodrow Wilson dan James Madison (Presiden AS ke-4), lapor pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Duke, North Carolina.

Mereka juga merumuskan Roosevelt dan Adams mempunyai gangguan bipolar sementara Jefferson dan Ulysses Grant (Presiden AS ke-18) bergelut dengan penyakit keresahan sosial.

Wilson diserang angin ahmar ketika berjuang untuk mendapatkan kelulusan Perjanjian Versailles pada 1919.

Isterinya, Lady Edith Wilson terpaksa bertindak sebagai pembantunya di White House iaitu ketika beliau bertarung dengan kemurungan dan gangguan mental sehinggalah tamat tempoh pentadbirannya pada 1921.

Dua lagi Presiden AS, Calvin Coolidge (Presiden ke-30) dan Franklin Pierce (Presiden ke-14) gagal berfungsi sebagai pemimpin kerana mengalami kemurungan selepas kematian anak lelaki masing-masing.

Presiden AS ke-16, Abraham Lincoln pula cenderung mengalami kemurungan sepanjang hayatnya, kata penulis biografi, David Herbert Donald.

Pada 1841 semasa bertugas sebagai pentadbir undang-undang, Lincoln yang digelar Abe memutuskan pertunangan dengan Mary Todd (namun kemudian menjadi isterinya) lantas dibelenggu dengan kemurungan.

Seorang rakannya terpaksa memantau perkembangan dirinya kerana bimbang beliau membunuh diri malah dia terpaksa membuang semua pisau dan pisau cukur dalam bilik pemimpin itu.

Kajian yang dilakukan oleh pakar psikologi Universiti Emory di Georgia mendapati beberapa pemimpin AS telah memperlihatkan ciri-ciri psikopati (gangguan mental) termasuk Bill Clinton (Presiden AS ke-42).

Namun dua Presiden AS yang jelas mempunyai masalah gangguan mental ialah Lyndon Baines Johnson (LBJ-Presiden AS ke-36) dan Andrew Jackson (Presiden AS ke-7), kedua-duanya adalah idola Trump.

Antara ciri-ciri personaliti psikopati yang dikesan wujud pada pemimpin-pemimpin itu termasuklah peribadi yang tidak ikhlas, mementingkan diri, tidak jujur, kejam, sanggup menanggung risiko, kurang kawalan gerak hati dan terlalu berani.

Kajian itu meliputi setiap Presiden AS kecuali Trump dan Barack Obama (Presiden AS ke-44).

Presiden AS ke-37, Richard Nixon semasa menjawat jawatan Naib Presiden terpaksa diberi ubat murung selain pil tidur yang ditelan bersama-sama minuman keras.

Diplomat kanannya, Henry Kissinger pernah berkata, Nixon tidak dapat menjawab panggilan telefon daripada Perdana Menteri Britain semasa berlakunya krisis Asia Barat kerana terlalu mabuk.