“Kenalilah diri dan musuhmu, kau akan tidak diragukan lagi menang dalam 1,000 pertempuran.”

Sun Tzu menggariskan lima faktor prinsip yang digunakan untuk mempertimbangkan strategi perang - politik, cuaca, medan, kepemimpinan dan doktrin.

Jika diambil dari falsafah Sun Tzu, tidak dapat disangkal berdasarkan rekod dan pengalaman siri pilihan raya umum dan negeri yang lepas, pakatan pembangkang tidak berada dalam kelompok pemenang.

Sebutlah dan gariskanlah intipati manifesto atau janji yang indah-indah tetapi kalau tidak ada kesepakatan sesama sendiri sekalipun bergelar ‘pakatan’ atau Pakatan Harapan, hala tuju dan matlamat perjuangan tidak ke mana. Melaut.

Inilah bakal berulang sekali lagi kepada Pakatan Harapan yang dipercayai menyaksikan mereka akan berebut kerusi sesama sendiri meskipun pengagihan kerusi telah dibuat.

Hal ini tentu sekali berbeza de­ngan Barisan Nasional (BN) yang memiliki prinsip Sun Tzu - konsensus atau kesepakatan dalam kalangan parti komponennya.

Mengimbas pilihan raya umum ke-13, rakyat maklum bagaimana Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan Pas waktu itu tidak sekata dalam pembahagian kerusi apabila sebilangan calon mereka berlawan sesama sendiri di kerusi yang sama.

Senario ini berlaku di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Terengganu selain kerusi Parlimen di Sabah. Antaranya di Labuan, Tapah, Larut, Hulu Kinta, Kota Damansara, Panti, Sungai Acheh, Kota Putera, Bukit Besi dan Seberang Takir (sekadar menyebut beberapa nama).

Keadaan sama berulang tiga tahun kemudian dalam pilihan raya Sarawak Mei 2016 yang me­nyaksikan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri melibatkan pertembungan DAP dan PKR - Mu­lu, Senadin, Murun, Ngemah, Si­manggang, Bukit Semunja, Te­bedu dan Mambong.

Sementara Pas dan PAN bertembung di lima DUN, masing-masing di Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Semariang.

Inilah kecacatan kekal pembangkang - tidak kiralah gelaran apa pun (Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan atau pakatan apa sajalah) - yang sentiasa gagal me­mastikan hanya calon tunggal berdepan dengan BN.

Padahal kalau hendak diambil kira, mereka ada formula antaranya yang masih terlekat dalam kepala Tumpang lalu iaitu Buku Jingga, dilancarkan dalam satu majlis gemilang pada September 2010 yang kononnya merencanakan strategi menghadapi PRU-13.

Kalau diikutkan syarat dalam Buku Jingga, sudah dipecat DAP dan PKR kerana gagal mematuhi perjanjian pakatan tidak berlaga sesama sendiri terutama dalam pilihan raya Sarawak. Tapi tiada tindakan susulan. Kedua-duanya sehingga kini masih duduk semeja.

Hakikatnya bukan senang untuk meniru, mencedok atau menjadi pendua BN.

Cuma, jika berkehendakkan sangat, Pakatan Harapan perlu memiliki agenda dan naratif po­litik yang hebat bagi memikat ima­ginasi politik pe­ngundi dan rakyat. Kalau sekadar mengkritik kelemahan BN, amat sukar mereka pergi jauh.

Apatah lagi dengan soal peng­agihan kerusi bertan­ding dalam kalangan mereka yang tampak berat sebelah dari aspek peluang besar untuk menang.

Mana tidaknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diperuntukkan sejumlah kerusi paling banyak tetapi peluang untuk menang amat tipis di kubu-kubu kuat BN berkenaan. DAP licik, walaupun kerusinya kurang sedikit, tetapi sekurang-kurang­nya 32 kerusi mereka yakin sapu bersih. Nasib PKR pula di hujung tanduk selepas Pas disingkirkan. Nak mengharapkan PAN sebagai galang ganti, jawabnya hampas belaka selepas persembahan hambar serpihan Pas itu di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Waima apapun dalam mana-mana parti kerajaan dan parti pembangkang, kalau anda semua nak jadi orang nombor satu atau orang nombor dua, siapa pula yang nak buat kerja gurkha?

Dalam politik bukan hanya kebolehan yang ‘menjenterakan’ seseorang ke atas. Nasib pun main peranan.

Larry King, pengulas media Barat yang terkenal ada menyatakan: “Those who discard luck as a factor in their life attainment are not realists.”

Namun bagi kita terutamanya calon UMNO, ia bergantung ak­hirnya kepada rezeki dan ketentuan-Nya.

Tiada sesuatu dalam politik yang kekal.. Kawan boleh lawan dan lawan boleh jadi kawan.

Yang kekal hanya isu dan perjuangan. Yang dicari dan dipilih ialah perjuangan yang sentiasa mengenal diri. - UTUSAN ONLINE