Malah bagi yang masih menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih merunsingkan, apabila keputusannya nanti menentukan ke mana arah tuju pendidikan sete­rusnya selain bakal mencorakkan kerjaya masa depan.

Namun kegembiraan cuti panjang ini mungkin bertukar kepada kebimbangan sesetengah ibu bapa. Apatah lagi beberapa negeri ketika ini sedang menghadapi musim tengkujuh. Mungkin ada dalam kalangan anak-anak yang me­ngambil kesempatan ber­main di kawasan banjir di saat ibu bapa mereka tiada di rumah kerana sibuk de­ngan tugasan dan kerjaya masing-masing.

Justeru itu pelbagai aktiviti bermanfaat perlu di­rancang agar masa yang ada tidak berlalu sia-sia.

Antaranya dengan me­nghantar anak-anak ke ke­las pemantapan bahasa Ing­geris. Mereka juga boleh mempelajari bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Dengan cara ini juga anak-anak akan lebih mudah bergaul bersama rakan-rakan berlainan bangsa. Sekali gus mampu mewujudkan nilai toleransi dan keharmonian kaum dalam masyarakat majmuk mengikut acuan Malaysia.

Penulis juga ingin menyarankan kepada ibu bapa Muslim menghantar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dalam kursus-kursus pendek dianjurkan oleh masjid, surau, sekolah agama mahu pun pusat-pusat tahfiz. Pelbagai ilmu boleh dipelajari seperti tahsin al-Quran, tahfiz al-Quran dan kelas fardu ain.

Selain itu anak-anak boleh menghadirkan diri dalam program-program motivasi serta smart learning. Menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan utama juga adalah salah satu pilihan.

Bagi yang berkemampuan bolehlah memenuhkan masa lapang dengan menghantar anak-anak belajar memandu di pusat latihan memandu yang bertauliah. Ini akan memboleh­kan anak-anak mempunyai lesen memandu sah.

Penulis juga ingin menyarankan ibu bapa mengambil cuti tahun agar mereka dapat meluangkan lebih masa bersama dengan anak-anak. Mereka boleh pergi melancong sama ada dalam atau luar negara mengikut bajet masing-masing.

Ada juga yang membawa anak-anak mereka pulang ke kampung menjenguk datuk dan nenek. Di samping itu anak-anak ini boleh didedahkan dengan aktiviti-aktiviti seharian di kampung selain menikmati pemandangan menghijau desa.

Penulis turut mengingatkan kepada anak-anak agar tidak sesekali terlibat dengan aktiviti tidak bermoral sepanjang musim percutian ini. Ingatlah Allah, ingatlah Rasulullah dan ingat emak ayah kita. Cuti sekolah ini juga bukan lesen untuk anak-anak ‘menghadap’ gajet secara melampau.

Contohilah golongan pemuda Ashabul Kahfi yang sanggup meninggalkan keseronokan duniawi demi memelihara akidah dan keimanan agar terus utuh berpegang kepada ajaran Ilahi. Ambillah juga iktibar perjuangan Sultan Muhammad al-Fateh yang gigih mempertahankan maruah dan kedaulatan negara sehingga berjaya menawan kubu tentera Rom Timur di Konstantinopel ketika usianya baharu mencecah 17 tahun.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang Johor.