Pertama, apakah parti yang bercita-cita untuk me­nguasai Putrajaya mempunyai fahaman atau ideologi yang sekata dalam proses penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar negara. Yang dominan dalam kalangan mereka ingin menjadikan konsep Malaysian Malaysia suatu realiti, mengambil pendekatan sama rata dan sama rasa atas asas merit terhadap semua perkara yang bercanggah dengan semangat perlembagaan.

Yang ingin dominan berasal daripada parti yang memerintah suatu ketika dulu dan dulunya mencemuh parti dominan dalam pakatan mereka sebagai anti-Islam dan anti-Melayu. Perubahan pendirian yang diambil sejak 22 tahun lalu menyebabkan ramai keliru dan menganggap bahawa tokoh berusia itu mempunyai agenda peribadi.

Parti ditubuhkan akibat reformasi mengambil pendekatan sosialis demokrat dan fokus ketaksuban mereka terhadap tokoh yang terpenjara dan kini menjadi regu politik orang yang pernah menyebabkannya terpenjara dan dijanjikan bakal jadi Perdana Menteri apabila dapat pengampunan diraja nanti.

Parti yang suatu ketika bersama dalam parti Islam me­lakukan mufarakah dan menubuhkan parti baharu untuk menentang kelompok berkenaan dan mengharapkan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan da­tang. Umumnya mereka datang daripada kelompok gerakan Islam yang menerima pengaruh Ikhwanun Musliminin.

Kedua, bayangkan parti dominan anti-Islam dan Melayu dan dilatari dengan gerakan evangelis Kristian bersama berkongsi kuasa dengan kelompok latarnya nasio­nalisme Melayu untuk sekian lama, bersama-sama dengan kelompok sosialis demokrat melakukan reformasi dengan kumpulan Islamis yang dikatakan mendapat tarbiyyah Ikhwan Muslimin.

Penulis sukar membayangkan bagaimana empat aliran kefahaman atau ideologi ini boleh menjadi sebuah kerajaan yang boleh memelihara perlembagaan dan memberi fokus kepada pembangunan umat Melayu dan Islam.

Perjuangan politik yang tidak sekata dengan fahaman dan aliran perjuangan yang berbeza bakal berakhir dengan konflik. Politik berasaskan dendam dan benci bakal menghasilkan perpecahan dan mudah diperalatkan oleh pihak yang lebih dominan.

Namun terdapat wadah politik Malaysia walaupun berbeza aspirasi berasaskan kaum masih menerima asas-asas fundamental dalam perlembagaan dan mempunyai ruang untuk mengamalkan kepercayaan agama , bahasa dan budaya. Asas ini penting untuk perpaduan dan kerukunan nasional.

Teras politik Malaysia masih berpaksikan umat Melayu sebagai punca kuasa yang amat penting. Ia diimbangi oleh punca kuasa dari kelompok-kelompok lain yang memahami pentingnya keseimbangan terjadi dalam kalangan bangsa dan kaum supaya masalah ketidakseimbangan dapat diatasi.

Bagi kaum Melayu punca kuasa ini penting dipertahan dan diperkukuhkan supaya nasib generasi hari depan terbela. Pada masa lalu dasar-dasar pembangunan kaum Melayu dalam bidang pendidikan, pembangunan, ekonomi dan sosial memberi kesan yang positif.

Masih banyak usaha pembaikan dan perubahan sikap kaum Melayu perlu dilakukan kerana bermentaliti subsidi bukan jawapan terbaik untuk maju kerana usaha yang gigih dengan disiplin diri yang terarah boleh membantu orang Melayu menghadapi persaingan dan cabaran.

Malangnya, terdapat segelintir kelompok kelas menengah dan bekas penjawat awam yang menikmati hasil pembangunan negara lupa diri dan tidak bersyukur dan merasakan punca kuasa ini tidak penting dan mencari pilihan supaya pihak lain menjadi punca kuasa sebagai pilihan terbaik.

Lebih malang lagi ramai dalam kalangan orang kita ­beragama Islam asyik dengan maklumat di media sosial dan mudah mengambil keputusan menerima maklumat itu dan menyebarkan kepada yang lain.

Tidak berlaku tabayyun atau kaji selidik sama ada maklumat itu benar atau palsu. Kemudahan teknologi telah menyebabkan kita kehilangan arah tanpa etika yang baik dan mendedahkan diri terjebak dengan perbuatan dosa.

Satu analogi atau kiasan yang elok dijadikan renungan bagi setiap warga umat betapa sebatang pokok tidak tumbang semata-mata dengan beliung atau kapak yang tidak disendalkan dengan kayu. Peranan kayu pemegang amat penting untuk menumbangkan pokok.

Masyarakat Melayu boleh berperanan menumbangkan punca kuasa ini lantaran sikap taksub, dendam kesumat dan kebencian yang mendalam akibat ketagih dengan tularan maklumat yang belum tentu betul.

Analogi lain ialah menggunakan gergaji dua mata untuk menumbangkan pokok. Suatu sisi memang gergaji itu menumbangkan pokok. Di sisi lain, biar pokok itu tumbang supaya dapat digantikan dengan pokok lain yang belum tentu bakal rendang dan menaungi umat Melayu.

Justeru punca kuasa dukungan kaum Melayu terlalu amat penting supaya dasar negara ke arah memajukan mereka terjadi. Tanpa punca kuasa, orang Melayu bakal terpinggir dan ditentukan nasibnya oleh pihak lain.

Apa yang sedang berlaku di negara-negara umat Islam lain adalah contoh terbaik bagaimana kehilangan punca kuasa menyebabkan mereka menjadi pelarian, dizalimi dan dinafikan hak mereka.

Ini sepatutnya menjadi ibrah atau teladan supaya kesilapan itu tidak diulangi dan boleh menyebabkan masyarakat Melayu kehilangan punca kuasa kerana terdapat sebahagian dalam kalangan mereka yang menganut fahaman liberal atas nama hak asasi manusia cuba memperjuangkan maksud keadilan yang tidak bertempat dan menuduh pihak lain sebagai zalim.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).