Ia adalah harta yang mudah dimiliki oleh seseorang secara tetap. Dengan itu, harta adalah keperluan utama bagi setiap manusia di dunia ini bagi meneruskan kehidupan. Bagi seseorang yang memerlukan penambahan dalam harta pencarian, harta pelaburan adalah penting bagi mereka.

Pencarian atau pendapatan boleh diperoleh daripada hasil pelaburan yang dijana daripada aset-aset yang dimiliki. Institusi kewangan atau pelaburan di Malaysia dipantau oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang dilantik untuk mengawal selia segala aktiviti kewangan pelaburan atau kewangan.

Walaupun ada badan yang memantau tetapi masih ada syarikat dan individu yang menjalankan pelaburan secara tidak sah seperti skim cepat kaya. Terdapat ramai individu yang terlibat dalam pelaburan yang tidak sah. Pelaburan yang tidak sah ini termasuklah pelaburan mata wang asing (Forex), pelaburan emas dan dinar yang tidak berlesen dan semua pelaburan yang tidak berlesen dan tidak sah.

Penipuan pelaburan ini telah melibatkan kerugian ribuan malah puluhan jutaan ringgit. Sistem atau pelaburan emas dan dinar sangat dekat dengan orang Islam tetapi apabila instrumen emas dan dinar yang digunakan dalam pelaburan, ia boleh juga menyebabkan berlakunya penyelewengan.

Pelaburan adalah satu bentuk aset atau harta dengan harapan boleh menghasilkan atau meningkatkan pendapatan. Sebagai contoh apa yang dimiliki seseorang se­karang ini tidak menggunakannya tetapi digunakan untuk pada masa yang akan datang. Pasaran saham sangat sinonim dengan pelaburan. Dengan itu, aktiviti saham akan selalu dikaitkan dengan pelaburan. Tetapi sebenarnya pelaburan mempunyai beberapa jenis. Ini adalah pelaburan yang berbentuk kewangan dan pelaburan yang tidak berbentuk kewangan.

Pelaburan yang berbentuk kewangan adalah seperti pelaburan dalam unit amanah, saham, emas dan dinar dan lain-lain. Pelaburan yang berbentuk bukan kewa­ngan seperti tanah, rumah, barangan antik, lukisan, komik, buku-buku antik dan lain-lain. Dengan itu, kita perlu tahu cara pelaburan yang mengikut atau patuh syariah iaitu bebas daripada riba, gharar dan judi.

Kita tidak seharusnya melabur dengan syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak halal seperti berbentuk hiburan, tembakau, broker atau sekuriti yang tidak patuh syariah. Ataupun melabur dalam institusi kewangan secara konvensional dengan memperoleh faedah yang tinggi. Pelaburan seperti ini akan membolehkan seseorang itu memperoleh pendapatan yang tinggi tetapi pendapatannya adalah haram dan tidak sah di sisi Allah SWT.

Tidak semua bentuk pelaburan sesuai bagi setiap orang. Sifat tamak akan menjadikan seseorang pelabur itu kerugian dengan terjebak dalam prospektus yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat. Contohnya dengan pelaburan RM1,000 boleh memberikan pulangan RM10,000 dalam jangka masa singkat.

Kesimpulannya, kita boleh menyemak unit amanah atau unit pelaburan yang tidak patuh syariah melalui SC di laman web BNM. Unit amanah di Malaysia adalah terkawal kerana ia dipantau oleh badan penasihat syariah. Kita perlu memantau status syariah bagi setiap syarikat sebelum membuat sebarang pelaburan kerana ada syarikat yang mengalami perubahan terhadap statusnya. Ini adalah berdasarkan bentuk aktiviti syarikat yang berubah-berubah.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.