Antara yang terawal menguasai persembahan di tapak-tapak funfair di seluruh negara ketika itu termasuk Ella, Wings, SYJ, May, Iklim, Kristal dan banyak lagi.

Kumpulan rock terkemuka tanah air, XPDC misalnya antara contoh artis yang berjaya menempa nama dari pentas funfair dan bertahan sehingga hari ini.

Namun kejayaan kumpulan yang diberi jolokan 'Raja Funfair' itu tidak dicapai semudah yang disangkakan. Bayaran membuat persembahan di funfair pada awal penglibatan mereka tidak lebih daripada RM500.

Penampilan pertama XPDC di tapak funfair bermula di Seremban, Negeri Sembilan selepas kemunculan album pertama mereka, Darjah Satu pada 1990.

Gitaris XPDC, Mohd. Zulkifly Nik Hussin atau Izo berkata, sebelum diterima bermain di funfair, anggota kumpulan terpaksa merayu kepada pengusaha funfair supaya diberi peluang.

"Masih ingat betapa susahnya kami memujuk tauke funfair supaya memberi peluang kepada kami membuat persembahan.

"Ketika itu kami dijanjikan bayaran sebanyak RM500. Bila dikira kos pengangkutan dan makan minum, seorang dapat tak sampai RM100," katanya ketika ditemui di Kajang, Selangor.

Beliau memberitahu, pada malam itu XPDC bukan sahaja membuat persembahan dengan baik malah mengejutkan pengusaha funfair apabila jumlah penonton memenuhi tapak funfair.

Izo berkata, selepas persembahan pertama itu, mereka kerap menerima undangan sehingga menjadi rebutan pengusaha funfair di seluruh negara.

"Bukan kita nak bangga diri tapi pernah satu ketika populariti XPDC menyebabkan artis lain bengang sebab tak boleh cari makan di tapak funfair.

"Pada zaman kemuncak, kami 'dipaksa' bermain konsert lima hari seminggu dan dibawa menjelajah ke seluruh negara," katanya.

Saban tahun, populariti kumpulan yang telah melahirkan tujuh album itu melonjak sehingga dijemput ke funfair utama seperti di Pulau Pinang dan Port Dickson.

Tambah Izo, antara konsert funfair terbesar yang pernah digegarkan XPDC adalah di Shah Alam yang pernah menghimpunkan puluhan ribu peminatnya.

"Saya masih ingat ketika itu setiap anggota menerima RM20,000 seorang sebagai habuan persembahan dua malam berturut-turut.

"Biasanya bayaran konsert di funfair dibuat mengikut jumlah penonton, kalau funfair kecil kita kira kontrak," tambahnya.

Antara kenangan yang paling tidak dapat dilupakan Izo sepanjang mengadakan konsert adalah kejadian pintu gerbang funfair roboh di Alor Star akibat diasak peminat.

"Kalau main konsert di utara memang padat. Malam itu, sebanyak 12 kaunter laluan dibuka tetapi masih tidak dapat menampung kehadiran ribuan peminat," tambahnya.

Sementara itu, pengurus kumpulan, Mohd. Yazid Selamat berkata, XPDC sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan funfair kerana ia merupakan 'pentas pertama' kumpulan yang popular melalui lagu C.I.N.T.A itu.

"Selain menghiburkan peminat secara langsung, konsert funfair juga menjadi medium penting penjualan album ketika itu.

"Dulu, lagu XPDC kurang dimainkan di radio sebab terlalu brutal tetapi tiap kali selepas konsert, penjualan album mesti meningkat," ujarnya yang juga pemain dram kumpulan itu.

Tambah Mohd. Yazid, walaupun permintaan untuk mengadakan konsert funfair di bandar-bandar besar semakin berkurang, namun mereka masih menerima jemputan untuk membuat persembahan di pekan-pekan kecil.

"Kami masih main konsert di funfair kerana sambutan masih ada, cuma sekarang tidak sehebat dulu," katanya.

Bagi vokalis kumpulan May, Mustaffa Din atau Mus, peluang membuat persembahan di funfair menjadi platform bagi setiap anggota kumpulan meningkatkan keyakinan diri ketika berada di pentas.

"May mula bermain konsert pada 1986. Ketika itu, persembahan kami sekadar pengiring kepada kumpulan SYJ.

"Persembahan di funfair sebenarnya banyak mengajar kami cara untuk menghibur dan berinteraksi dengan peminat,'' katanya.

Mus berkata, kepuasan beraksi di pentas funfair mempunyai keistimewaan tersendiri dan amat berbeza dengan persembahan konsert di stadium.

"Walaupun bermain dengan kelengkapan yang agak terhad, kami tetap puas kerana berada dekat dengan penonton.

"Kami juga tidak menerima banyak tekanan daripada penganjur, semua berlangsung dalam keadaan santai. Persembahan kami pun lebih jujur,'' ujar penyanyi yang masih lagi mendominasi muzik rock tempatan.