Biarpun menjadi amalan Malaysia bahawa jawatan Perdana Menteri dilantik daripada kala­ngan pemimpin parti yang menang majoriti kerusi parlimen, namun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan perkara 43 (2) iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri seterusnya jemaah menteri dalam kalangan ahli parlimen. Maka, wajarlah penjawat awam yang sinonim dengan “Saya Yang Menurut Perintah”, perlu patuh kepada Perdana Menteri serta jemaah menteri lantikan secara sah mengikut saluran undang-undang ditetapkan.

Penjawat awam perlu bersikap profesional dalam menggalas tanggungjawab sebagai kaki dan tangan kepada kerajaan sedia ada. Apa jua polisi yang diputuskan oleh jemaah menteri, seharusnya disampaikan oleh rakyat dengan sebaik mungkin. Masalah perbezaan ideologi kepartian yang melibatkan pemimpin dengan penjawat awam tidak harus wujud dalam sistem pentadbiran sehingga menjadi penghalang kepada kejayaan sesebuah dasar negara.

Kecenderungan masyarakat untuk menyalahkan pemimpin negara sangatlah tinggi apabila ­gagalnya sesuatu polisi itu, walhal kita juga sedar bahawa sebarang polisi itu tidak memberi apa-apa makna andainya berlaku kelemahan di pe­ringkat pelaksana iaitu peranan yang sepatutnya digalas oleh penjawat awam. Mungkin pada kaca mata orang awam, kegagalan pe­nyampaian sebarang dasar adalah terletak di bawah tanggungjawab pemimpin kerajaan semata-mata. Selaku penjawat awam yang prihatin, sepatutnya kita turut terkesan sekiranya dasar kerajaan gagal mencapai objektif yang ditetapkan.

Memilih pekerjaan dalam sektor awam demi jaminan masa depan semata-mata adalah satu tindakan kurang tepat, sebalik­nya individu yang mahu berkhid­mat dalam sektor ini perlu memiliki iltizam untuk membangunkan negara serta membantu rakyat. Peluang keemasan yang diberikan untuk menjawat jawatan dalam sektor kerajaan perlu digunakan sebaik mungkin bagi menabur bakti pada rakyat dan negara.

Pelbagai kemudahan dan insentif diperkenalkan oleh pemimpin dalam memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa diutamakan. Imbuhan demi imbuhan diperkenalkan bagi menghargai segala jasa kakitangan awam kepada rakyat dan negara. Antaranya, merangkumi kenaikan gaji tahunan, kemudahan pelbagai cuti, skim perumahan untuk penjawat awam, kemudahan kesihatan, bantuan pendidikan dan pelbagai lagi. Insentif ini barangkali mampu menjadi suntikan moral kepada penjawat awam untuk menjadikan mereka lebih produktif dan berkualiti.

Berucap ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu bahawa penjawat awam adalah tulang belakang kepada negara. Beliau turut menyeru agar penjawat awam terus membantu rakyat sama ada dari segi kebajikan mahupun kesejahteraan hidup mereka. Dalam pada itu, beliau juga berharap agar penjawat awam menjaga prestasi dengan baik ter­utama dalam konteks menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Jumlah 1.6 juta penjawat awam adalah satu angka sangat besar dan jika kesemuanya bergerak secara sederap dengan satu matlamat iaitu menjayakan agenda nasional, usaha meletakkan Malaysia di kedudukan 20 negara teratas dunia menjelang tahun 2050 bukanlah suatu yang mustahil. Dalam merealisasikan impian besar itu, kepimpinan negara sudah pasti memerlukan dukungan penuh rakyat khususnya penjawat awam yang dilihat barisan utama dalam pentadbiran negara.

Memilih menjadi penjawat awam, sebenarnya kita telah memilih untuk berbakti kepada rakyat. Hal demikian, kaedah terbaik perlu dicari dalam memastikan pelanggan mendapat perkhid­matan yang efisien setiap masa. Ia selari dengan harapan Perdana Menteri pada tahun 2011 iaitu mahukan penjawat awam menerapkan budaya kreatif se­perti tuntutan “Strategi Lautan Biru” termasuk mengurangkan birokrasi, menghapuskan ketirisan, menambah mutu perkhidmatan dan mewujudkan pelbagai peluang baharu.

Penjawat awam adalah individu yang paling bertuah jika mahu dibandingkan dengan orang lain, apatah lagi sejak 2013 hingga 2017 sebanyak 7.9 juta permohonan telah dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Peluang ini adalah satu amanah besar dan tidak boleh dikhianati apatah lagi gaji yang diterima adalah hasil daripada bayaran cukai oleh rakyat.

Cabaran semasa yang dihadapi negara harus ditangani secara bersama-sama antara pemimpin dan penjawat awam. Langkah berpeluk tubuh atau tunggu dan lihat serta hanya bekerja mengikut rutin jam 8 pagi dan pulang jam 5 petang tidak lagi sesuai di zaman yang semakin mencabar.

Jika keadaan memaksa untuk kita bekerja 24 jam tanpa henti, penjawat awam perlu akur kerana itu adalah tanggungjawab bukan kerjaya semata-mata. Kejayaan negara adalah kejayaan penjawat awam, maka kegagalan negara juga tidak boleh dikatakan tidak ia turut berpunca daripada penjawat awam.

PENULIS ialah Penolong Pengarah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri Negeri Perak.