Ini bukan bermakna kita tidak boleh mengambil manfaat daripada orang lain. Kita semacam kehilangan jati diri untuk memberi acuan kemajuan dan membina kecen­derungan mengagumi orang lain terutama sesuatu yang ­datang dari Barat tanpa melihat pemerkasaan jati diri sebagai sesuatu yang harus diutamakan.

Jiwa merdeka adalah jiwa mandiri berasaskan kekuatan daya juang untuk menghasilkan acuan kita sendiri dalam cara hidup, pemikiran, pembudayaan, pendidikan dan keagamaan supaya acuan kita tidak menolak faktor kemajuan dan perubahan. Hidup beretika, pemikiran yang maju dan berhemah, pembudayaan yang mengutamakan pembangunan akal budi, pendidikan sepadu yang holistik dan Islam sebagai suatu cara hidup yang sederhana seharusnya melatari pembangunan dan perubahan hari depan.

Dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu ramai yang masih apologetik seolah-olah bahasa itu boleh menyebabkan kita mundur dan tidak relevan bagi menghasilkan kemajuan. Dasar pendidikan kita tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa lain tetapi bahasa Melayu sepatutnya menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa hubungan warganegaranya.

Proses pembudayaan yang terjadi lebih banyak memberi fokus kepada acuan orang lain dan menyebabkan pola pembudayaan menjadi liberal dan asing manakala pola yang berlandaskan etika tinggi semakin cair.

Dari segi politik dan hubungan antarabangsa ada ketika kita agak kritikal dengan Barat dan ada ketika kita bersekongkol dengan mereka untuk merosakkan imej dan pencapaian kita seolah-olah kesayangan kepada negara sudah pupus dan hajat politik hanya akan tercapai sekiranya campur tangan pihak luar menjadi pilihan.

Baik pemimpin mahupun rakyat perlu ada tradisi membangun jati diri keMalaysiaan yang mementingkan tradisi muafakat dijadikan ikutan, rasa kekitaan dan kebersamaan dijadikan pedoman dan toleransi yang munasabah terjadi dan kesayangan kepada negara menjadi keutamaan.

Pemikiran yang terjajah adalah akibat hilang keyakinan terhadap upaya sendiri membangunkan negara. Model perubahan dan kemajuan orang lain yang belum tentu sesuai dengan acuan kita sendiri sering dijadikan rujukan sehingga makna negara merdeka terjejas.

Sesuatu yang bermanfaat dan sumber lain Barat atau Timur boleh diambil tetapi tidak harus bercanggah dengan resam perubahan dan kemajuan yang menjadikan etika dan akhlak sebagai pengimbang.

Bila pemikiran terbelenggu menunjukkan kemalasan berfikir terjadi. Pola pemikiran kita hanya merujuk kepada pemikiran orang lain seolah-olah dalam tradisi kita wujud kelompangan yang amat ketara. Dalam tradisi Islam umpamanya budaya fikir dan pemikiran amat digalakkan. Kebangkitan tamadun Islam suatu ketika dulu antara sebab­nya adalah keupayaan berfikir yang berkembang maju dalam kalangan ulama dan ilmuwannya.

Pemikiran manusia yang berkembang kini lebih banyak terarah kepada fahaman liberal dan sekular yang memisahkan agama dari pemikiran dan agama dari proses keilmuan. Ini menyebabkan ilmu kehilangan roh, pendidikan menjadi mekanistik, kebendaan jadi tunjangan dan nafsu nafsi jadi sembahan.

Malas berfikir, hilangnya jiwa tadabbur, memahami agama secara ikut-ikutan menyebabkan umat Islam tidak mampu meleraikan masalah, hilang upaya memahami strategi dan maslahah dan tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup menyebabkan kemunduran dan kecelaruan terjadi.

Orang Islam harus kembali kepada tradisi berfikir yang dikembangkan oleh ulama dan ilmuwan Islam terdahulu yang tidak saja berfikir dalam batas agama tetapi mampu menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan yang mengembangkan tradisi berfikir sains dan teknologi. Jika ini dapat dilakukan barulah pola berfikir yang segar dapat dibangunkan.

Prof. Datuk Dr. Sidek Baba ialah Dekan, Institut Antarabangsa Tamadun Melayu dan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).