Satu impian yang pada mulanya dianggap mustahil oleh seorang wanita warganegara China, Mei Lin (bukan nama sebenar), 39, ia seperti satu keajaiban apabila disahkan hamil selepas mencuba kaedah persenyawaan in vitro (IVF) di Malaysia.

SHERENE AZLI
SHERENE AZLI 

Semuanya bermula apabila dia membuat pencarian di internet dan menemukan satu berita mengenai pasangan yang berjaya memiliki zuriat kembar melalui kaedah itu.

Ia seperti memberi sinar kepadanya sekali gus mengambil keputusan untuk terbang ke Malaysia dan menjalani rawatan berkenaan di salah sebuah pusat rawatan kesuburan di Kuala Lumpur.

“Pada lawatan pertama saya ke pusat rawatan itu, doktor memberikan penjelasan terperinci tentang segala prosedur rawatan dan beliau menyatakan kadar kejayaan saya untuk memperoleh bayi sangat tinggi.

“Saya seperti tidak percaya hanya dengan cubaan pertama, ia berjaya! Saya sangat teruja apabila buat pertama kali melihat double line pada kit ujian kehamilan. Saat itu air mata saya mengalir laju. Gembira tidak terkata.

“Saya rasa teknologi reproduksi (RT) di Malaysia sangat maju. Saya rasa menyesal pula tidak melakukan rawatan ini lebih awal,” katanya sebak ketika berkongsi pengalamannya dengan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), baru-baru ini.

Mei Lin merupakan antara 7,000 pesakit yang telah mencuba kaedah rawatan IVF di negara ini yang direkodkan sepanjang tahun 2017.

Malaysia menjadi ‘lokasi panas’ pesakit luar negara yang memilih untuk mendapat rawatan kesuburan di pusat-pusat rawatan berikutan kecemerlangan memberi sinar baharu kepada sekurang-kurang seorang daripada dua pesakit berjaya memperoleh ‘hasil’.

Atas sebab itulah, Malaysia dikunjungi pelancong kesihatan daripada pelbagai negara termasuk China yang merekodkan peningkatan sehingga 300% mengintai rawatan tersebut dalam tempoh 2011-2016.

Untuk itu, MHTC menjangkakan jumlah penawaran kaedah rawatan ini mampu mencapai 20,000 kitaran IVF dilaksanakan menjelang tahun depan. Angka tersebut tidak mustahil boleh dicapai memandangkan lima daripada 23 pusat kesuburan yang mendapat pengiktirafan Kod Amalan Antarabangsa oleh Jawatankuasa Akreditasi Teknologi Reproduksi (RTAC) seluruh dunia, boleh didapati di negara ini.

Selain menawarkan sistem penjagaan kesihatan yang sangat teratur daripada peringkat awal hingga selesai tempoh rawatan, kos rawatan ditawarkan pada harga mampu milik sekitar $AS4,000 hingga AS$5,000 atau sehingga 80% lebih rendah daripada kos perkhidmatan di negara lain.

Cekmek Molek amat kagum dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini. Mencapai standard berkelas dunia, dikawal ketat Kementerian Kesihatan menerusi Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Malah barisan profesional perubatan pula adalah terlatih yang telah mendapat kemahiran di pelbagai institusi perubatan terkenal dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli, “Malaysia Healthcare memberi harapan kepada pasangan yang ingin menimang cahaya mata. Malaysia dilengkapi dengan teknologi canggih dan terkini, kakitangan perubatan berpengalaman serta mendapat pengiktirafan akreditasi antarabangsa.

Kadar kejayaan untuk kehamilan klinikal adalah tinggi memandangkan pusat kesuburan swasta di sini adalah bertaraf dunia yang menawarkan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan dari mula hingga akhir. Ia tentunya memberikan ketenangan minda kepada pasangan-pasangan yang bakal menjadi ibu bapa,” katanya ketika berkongsi pendapat dengan Cekmek Molek, baru-baru ini.

Pilih sahaja perkhidmatan rawatan kesihatan di 200 hospital swasta yang mana 76 daripadanya adalah hospital terbaik yang diiktiraf ‘ahli MHTC’. Anda tidak perlu menunggu masa lama untuk mendapatkan temujanji rawatan dengan pakar perubatan.

Pelancong dari negara-negara Islam tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkan rawatan di sini.

Diiktiraf sebagai negara terbaik bagi pelancongan muslim 2011-2019, Malaysia menitikberatkan soal kehalalan termasuk kesemua produk perubatan sehingga menu makanan hospital tidak perlu diragui oleh pesakit muslim.

Cekmek Molek percaya ramai pelancong tertarik dengan tawaran perkhidmatan end-to-end apabila mereka akan diberi layanan bertaraf lima bintang sebaik sahaja tiba di lapangan terbang. Mereka juga disediakan penginapan dan pengangkutan terus ke hospital sepanjang tempoh rawatan sehingga selesai, di samping turut memastikan penjagaan kesihatan selepas pulang ke negara asal.

Pertumbuhan ekonomi bagi sektor penjagaan kesihatan di negara ini amat cepat apabila merekodkan sehingga 1.2 juta pelancong kesihatan pada tahun lalu berbanding 643,000 pada tahun 2011.

Dan sektor ini merekodkan hasil pendapatan mencecah RM1.5 bilion yang berupaya menyumbang RM5 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada semua sektor perkhidmatan perubatan seperti pergigian, kosmetik, wellness termasuk logisitik dan perkhidmatan hospital.

Selain tawaran perkhidmatan rawatan kesuburan, pelancongan penjagaan kesihatan daripada Indonesia, United Kingdom, India, Filipina, Indochina, Singapura, Australia, Jepun, AS atau Bangladesh turut memilih untuk rawatan ortopedik, kardiologi, onkologi, neorologi selain kosmetik.

Tahun 2020 akan diketengahkan sebagai tahun pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MYHT 2020). Penyediaan perkhidmatan yang baik tentunya akan memberikan ketenangan minda dan keselesaan buat para pelancong kesihatan.

MYHT 2020 sekali gus akan mendorong Malaysia ke pentas dunia sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan global terbaik.