Tahun 2013 hanya mencatatkan tangkapan seramai empat orang, diikuti 2014 dengan 34 tangkapan. Statistik tangkapan pada 2015 pula menunjukkan 82 individu manakala 2016 mencatatkan jumlah tangkapan yang sangat ramai mencecah 292 individu. Walaupun 2017 baharu saja mengintai kita, tetapi ada tujuh tangkapan setakat 31 Januari lalu dengan tiga orang tempatan dan bakinya warga asing. Warga Filipina, Indonesia dan Bangladesh juga menyumbang kepada peningkatan statistik ini.

Satu isu yang seringkali dikaitkan dengan peningkatan jumlah tangkapan ini adalah kerana pendekatan PDRM yang mengambil sikap generalisasi dalam membasmi terrorisme. PDRM menangkap cukup ramai individu yang disyaki walaupun mereka itu hanya menyimpan atau memiliki objek dan bahan-bahan yang boleh dikaitkan dengan Daesh.

Keadaan ini menjadikan jumlah tangkapan semakin membesar dari semasa ke semasa. Walaupun perkara ini sering dipertikaikan, akan tetapi polis mempunyai sebab untuk mengambil pendekatan sebegini.

Konsep mencegah lebih baik daripada mengubati menjadi keutamaan pada masa kini. Maka disebabkan itulah tahanan di bawah Prevention of Terro­rism Act (POTA) dan Prevention of Criminal Act (POCA) mempunyai jumlah yang sangat ramai kerana lebih kepada langkah-langkah pencegahan awal di samping adanya juga tahanan di bawah Security Offences (Special Measurement Act) SOSMA yang diperkenalkan pada 2012 bagi menggantikan Akta ­Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kerajaan melihat bahawa menangkap mereka disyaki itu adalah le­bih penting tanpa mengira tahap penglibatan dalam gerakan Daesh. Adalah lebih baik menahan mereka berbanding mungkin kehilangan banyak nyawa dise­bab-
kan oleh perlakuan terroris.

Dalam pada itu, PDRM menu­buhkan unit khas yang memantau aktiviti berkaitan terrorisme di bawah unit E8. Unit ini juga dikenali sebagai Counter Terrorism Unit. Sebuah jabatan khas yang menjalankan semua aktiviti penyiasatan, pemantauan, pengintipan dan penangkapan dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri, Pusat Koreksional (Jabatan Penjara) dan lain-lain agensi lagi. Peranan PDRM dan agensi-agensi ini sangat signifikan dan secara tidak langsung menjadikan jumlah tangkapan semakin membesar kerana cakupan kerja dan pemantauan serta siasatan berlaku dalam skala yang besar.

Sejak terbongkarnya kegiatan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) pada 2001, tangkapan individu yang dikaitkan dengan terrorisme berlaku sepanjang tahun. Bermula dengan 63 dan 40 tangkapan pada 2001 dan 2002, jumlah ini semakin menurun hingga 2005.

Walau bagaimanapun, mulai 2006 berlaku kenaikan semula apabila sel-sel baharu al-Qaeda diwujudkan serta konflik agama yang berlaku di Indonesia, Thailand dan Filipina. Walaupun berlaku naik turun dalam tangkapan tersebut, tetapi tahun 2013 menunjukkan peningkatan yang signifikan daripada empat tangkapan pada tahun sebelumnya kepada 39 tangkapan. Jumlah ini terus meningkat hingga mencecah angka 292 pada 2016.

Trend peningkatan tangkapan berkaitan Daesh ini dijangka berterusan. Keadaan ini dipenga­ruhi oleh faktor politik dan ekonomi tempatan serta landskap politik global yang dilihat semakin menghimpit umat Islam.

Selain itu, pertindihan sempadan di antara negara-negara rantau ini dalam isu kepulauan Spratly, Sipadan dan Ligitan, Sabah dan Sulu serta lain-lainnya termasuklah kes terbaharu berkaitan Pulau Batu Puteh yang dipertikaikan di antara Malaysia dan Singapura boleh menyumbang kepada peningkatan radikalis. Ini kerana kelompok yang mempunyai ideologi radikal hanya menunggu waktu sesuai untuk mencipta medan jihad baharu.

Selain itu, sempadan yang poros dan amat luas di antara Sabah dan Mindanao serta kepulauan Jolo akan membuka jalan kepada keluar masuknya aktiviti berkaitan militan.

Keadaan politik dunia ditambah dengan dasar-dasar Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Donald Trump sedikit sebanyak akan meningkatkan jumlah penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti keganasan.

Desakan kuat yang dilakukan oleh parti politik tempatan dan forum perbincangan yang sangat berfokus kepada politik AS dan Islam memperlihatkan keseriusan perkara ini. Islamofobia semakin berkembang di Eropah selepas Trump menduduki Rumah Putih.

Kejadian tembakan di Masjid Quebec pada 30 Januari lalu telah membunuh enam orang Muslim yang sedang menunaikan solat isyak oleh seorang pelajar yang adalah penyokong tegar Trump. Masjid di Texas, Amerika juga dibakar pada hari yang sama di mana Trump mengisytiharkan sekatan kemasukan ke AS bagi warga tujuh negara yang diklasifikasikan sebagai terrorists hotbed.

Melalui data-data yang dibentangkan ini adalah didapati bahawa Malaysia mempunyai risiko yang besar dalam menghadapi ancaman berkaitan terrorisme. Trend peningkatan serangan dan ancaman oleh pihak militan Daesh bukanlah satu perkara yang boleh dipandang mudah. Pelbagai faktor dalaman dan luaran pastinya menyumbang kepada keadaan ini.

Yang menjadi kerisauan keba­nyakan negara di dunia ini adalah landskap politik di negara kuasa besar AS. Dasar luar Presiden Trump dijangka mempengaruhi peningkatan serangan ke atas pelbagai negara. Oleh itu, tindakan yang bijak dan bersederhana adalah ditagih daripada setiap pemimpin negara di dunia ini demi memastikan kestabilan dunia dan kelangsungan keamanan. Jika pemimpin yang dilantik gagal memahami kepentingan dan keperluan hidup berharmoni maka dunia akan berada di ambang perang dunia ketiga.

Untuk mengeluarkan terus konsep jihad dari kamus kehidupan umat Islam adalah suatu perkara mustahil akan tetapi untuk mengubah pemahaman dan kaedah pelaksanaan jihad, ia boleh dilakukan. Umat Islam perlu memahami dan mentafsirkan jihad melalui pelbagai kaedah, bukannya hanya tertumpu kepada jihad al-qital sahaja. Jika perkara ini tidak dilakukan de­ngan baik, status Malaysia sebagai negara Islam yang progresif dan moden bakal dilenyapkan oleh penduduknya sendiri.

PENULIS ialah Pengarah Institut Kajian Penyelidikan Strategik Malaysia (MyRISS) dan Rektor pertama Kolej Universiti Islam Perlis.