Namun, mereka juga tidak menggemari pembangkang dan ada yang menyokong kerajaan. Sokongan terhadap mana-mana parti politik kini boleh dianggap sesuatu yang subjektif. Secara keseluruhan, daftar pengundi terbaharu menunjukkan sejumlah 14,622,640 orang layak mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ini berbanding cuma 13,291,385 pengundi dalam PRU-13. Daripada sudut perbandingan secara tradisional dan konservatif, pertambahan pengundi keseluruhan adalah 1,331,255 orang. Namun daripada analisis data, pertambahan pengundi sebenar adalah 2,179,572 dengan 1,965,813 adalah pengundi kali pertama yang bakal mengundi nanti.

Dalam membicarakan isu pengundi baharu, penulis terpanggil untuk menyentuh mengenai situasi politik di Johor dan Kedah yang beberapa minggu lalu menjadi tumpuan final Piala Malaysia memihak pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Di Johor, kajian data menyaksikan pertambahan pe­ngundi sebanyak 274,375. Daripada jumlah itu, 253,484 terdiri daripada mereka yang kali pertama berada dalam daftar pengundi. Daripadanya, 177,551 adalah pengundi bawah 29 tahun. Sementara 51,512 adalah pengundi yang berusia 30 hingga 39 tahun.

Terdapat sejumlah 20,891 pengundi telah berpindah masuk dari negeri lain ke Johor. Secara analisisnya, boleh dibuat telahan bahawa sebahagian besar pengundi baharu berusia di bawah 40 tahun - umur yang dikatakan paling skeptikal terhadap isu dan perkembangan semasa.

Majoriti kemenangan dalam PRU-13 memperlihatkan Barisan Nasional (BN) Johor memperoleh sekadar 135,094 kelebihan undi daripada pembangkang. Justeru, jika diguna pakai andaian bahawa sebahagian besar pengundi baharu tidak berminat dengan BN, maka analisis data ini memberi amaran kepada BN supaya perlu bekerja keras di Johor.

Sewajarnya tumpuan diberikan terhadap meningkatkan pengundi yang pro BN di kawasan tertentu. Ini kerana kelebihan satu undi pun dikira menang. Adalah malang jika BN menang dengan majoriti tinggi di Parlimen Johor Bahru tetapi tewas tipis di Parlimen Labis, Pasir Gudang dan Segamat. Perlu juga dikaji daripada 26 kerusi Parlimen di Johor dalam PRU ke-13, BN memperoleh kemenangan di 21 kerusi.

Daripada 21 kerusi ber­kenaan, enam kerusi BN menang di bawah 2,000 undi melibatkan Pasir Gudang, Tebrau, Labis, Segamat, Ledang dan Muar. Analisis data turut mendedahkan pengundi baharu yang berusia bawah 30 tahun di Parlimen Pasir Gudang adalah 13,936 orang, Tebrau (15,555), Labis (3,608), Segamat (5,161), Ledang (7,927) dan Muar, 5,302 orang. Jika BN mengekalkan sokongan bersifat status quo di enam kerusi Parlimen ini, maka ia akan menjadi genting untuk BN jika andaian secara relatif dibuat bahawa golongan muda adalah skeptikal sokongan mereka terhadap kerajaan.

Bagi pihak pembangkang pula, daripada lima kerusi yang dimenangi, cuma Batu Pahat diperoleh di bawah 2,000 undi. Kerana itu kajian secara mikro terhadap data pengundi perlu digerakkan dari sekarang oleh parti yang bertanding khususnya BN bagi mengekalkan kemenangan di Parlimen yang menang tipis dan menambah kerusi di Parlimen yang dimenangi tipis oleh pembangkang.

Perlu diingat, prinsip bahawa Johor adalah negeri tradisi Melayu dan sukar untuk pembangkang tembusi adalah sejarah. Ini terbukti berlaku dalam PRU lalu.

Kekalahan Menteri Besar Johor waktu itu, Tan Sri Abdul Ghani Othman Menteri Besar Johor di Gelang Patah perlu dijadikan iktibar. Sebagai Menteri Besar Johor yang berwibawa, jasa dan bakti beliau dalam membangunkan rakyat dan negeri tidak ternilai berbanding Lim Kit Siang dari DAP.

Namun Abdul Ghani tewas juga. Nasib sama menimpa Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd. Ali Rustam yang kalah di tangan calon PKR (yang amat terkejut tak menjangka menang).

Di Kedah pula, BN memperoleh kemenangan di 10 daripada 15 kerusi parlimen. Daripada 10 Parlimen itu, dua parlimen dimenangi di bawah 2,000 undi iaitu di Parlimen Kulim-Bandar Baharu dan Jerai. Daripada lima kerusi parlimen yang dimenangi pembangkang pula, satu Parlimen iaitu Alor Setar dimiliki bawah 2,000 undi.

Justeru, BN perlu berusaha gigih untuk mengembalikan semula Parlimen Alor Setar kerana peluang dan ruang adalah terbuka. Pun begitu BN perlu berhati-hati dengan Parlimen Jerlun yang calonnya sudah pasti akan berdepan dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir manakala dua Parlimen lain iaitu Sik dan Pendang memperoleh kemenangan dengan majoriti di bawah 3,000 undi.

Secara keseluruhan, BN menang di Kedah dengan purata majoriti 19,906 undi berkelebihan daripada pembangkang.

Bagi pengundi muka baharu di Kedah, sejumlah 148,148 telah mendaftar sebagai pengundi. Daripada jumlah itu, 115,338 pengundi di bawah 30 tahun. Pengundi muka baharu yang muda ini mencatat jumlah tertinggi di Parlimen Baling dengan 13,411 orang.

Sementara Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang menang tipis di bawah 2,000 undi pula mempunyai 6,523 pengundi baharu di bawah 30 tahun. Begitu juga dengan Parlimen Jerai terdapat 7,584 pengundi golongan ini.

Bagi Kedah, isu yang perlu diberi penekanan juga adalah faktor sentimen yang sering dibangkitkan bahawa kemenangan kembali dari Pakatan Harapan dalam PRU-13 selepas tewas dalam PRU ke-12 adalah atas faktor Mukhriz dan Dr. Mahathir.

Dalam PRU-14 nanti, BN akan berdepan dengan kedua-dua mereka sebagai pembangkang. Congakan yang tepat dengan strategi micro manage terhadap pengundi perlu digerakkan bagi memastikan BN terus berkuasa di Kedah.

Dalam menilai persaingan PRU ke 14, persaingan sengit pasti berlaku. Ada pihak berani menyatakan BN akan menang mudah dengan kembali memperoleh dua pertiga. Apa pun, BN perlu bersedia dan memahami permainan gerakan pre-conditioning mind pembangkang sebagai langkah untuk menguasai kecenderungan pengundi.

Perlu diingat, kemenangan dalam peperangan bukan hanya terletak kepada siapa yang kuat. Tetapi ia juga bergantung kepada siapa yang bijak menggunakan kekuatannya dan mengambil kesempatan di atas kelemahan musuhnya.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.