Pakatan Harapan menjangka pengundi India mampu menentukan keputusan PRU-14 di beberapa kerusi parlimen di seluruh negara. Pakatan itu menjangka sokongan pengundi India di 38 kawasan di seluruh negara akan membantu mereka mendahului BN dalam PRU-14.

Persoalannya, apakah pengun­di India menerima manifesto Pakatan Harapan PRU-14?

Secara umumnya, manifesto pakatan itu kali ini dilihat lebih membayangkan manifesto yang dikeluarkan oleh gabungan parti-parti politik DAP, PKR dan Pas (Pakatan Rakyat) pada PRU-13.

Misalnya air, tol percuma dan sebagainya. Kebanyakan janji Pakatan Rakyat dalam PRU-13 bagaimanapun gagal dilaksanakan terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang kerana mereka tidak mampu melaksanakannya. Perkara baharu yang dikesan dimasukkan dalam manifesto PRU-14 untuk menarik perhatian pe­ngundi India adalah janji membina sekolah menengah Tamil.

Sekiranya kita meneliti janji-janji dalam manifesto pakatan itu, ia didapati lebih bersifat populis dan tidak membayangkan realiti atau progresif. Malah, janji-janji yang dikeluarkan semata-mata untuk meraih sokongan pengundi dengan menyentuh emosi pe­ngundi dalam memenangi pilihan raya tanpa memperhitungkan masa depan negara.

Sebagai contoh, Pakatan Harapan berjanji menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya membentuk Kerajaan Pusat. Apa akan jadi kepada pe­ngurusan negara dan kebajikan rakyat sekiranya GST dibatalkan? GST adalah sumber hasil yang utama dan asas bagi kerajaan dalam membantu Kerajaan Pusat mentadbir negara khususnya dalam keadaan ekanomi global yang tidak menentu.

Tanpa hasil GST yang men­cecah RM42 bilion pada 2017, negara ini akan dilanda krisis kekurangan dana atau defisit. Apa impak defisit kepada negara dan rakyat? Kekurangan dana untuk menanggung memba­ngunkan negara secara berterusan akan tergendala. Malah kerajaan tidak akan mampu menanggung perbelanjaan bagi maksud pengurusan tadbiran dan menjaga kebajikan rakyat, yang meliputi membayar gaji dan elaun kepada anggota kerajaan termasuk pasukan polis dan angkatan tentera yang menjaga keselamatan dan keamanan negara, dana untuk membaikpulih dan membina sekolah baharu, menyediakan hospital, klinik malah menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mencukupi seperti ubat-ubatan, membina jalan dan kemudahan asas di luar bandar.

Tanpa dana yang mencukupi, kerajaan juga tidak akan mampu menyediakan subsidi melibatkan berbilion-bilion ringgit untuk membantu mengurangkan dan menstabilkan harga barang-barang keperluan asas di pasaran seperti gas masak, minyak masak, petrol, gula dan tepung supaya harga-barang-barang keperluan asas tidak naik melambung pada kadar luar kemampuan rakyat membeli khususnya golongan berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, kedudukan defisit yang berpanjangan akan menyebabkan kemerosotan ke­yakinan pelabur asing terhadap pengurusan ekonomi negara yang boleh mendorong mereka tidak melabur dalam negara kita. Kedudukan ini akan menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi negara. Sekiranya ekonomi negara merosot bagi tempoh masa panjang, maka negara akan dilanda krisis ekonomi yang boleh menyebabkan negara bankrap.

Apapun, pengundi India kelihatan lebih sedar kali ini bahawa manifesto pakatan berkenaan hanyalah janji-janji kosong. Mereka juga sedar pakatan pembangkang tidak mampu melaksanakan janji menyediakan sekolah menengah Tamil kerana ia bertentangan dengan Dasar Pelajaran Malaysia. Di sebaliknya kaum India secara amnya dan pengundi India secara khususnya lebih memihak dan menyokong BN kerana semua janji untuk memartabatkan kedudukan sosial-ekonomi kaum India yang disebut dalam manifesto Pakatan Harapan telah pun disediakan oleh kerajaan BN diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak dan dimaktubkan dalam ‘Pelan Tindakan Pembangunan Kaum India’ atau ‘Malaysian Indian Blue Print’ yang kini sedang dilaksanakan mulai tahun ini, 2018.

Apakah Pakatan Harapan ke­tandusan idea dan cuba meniru pelan tindakan pembangunan India yang disediakan oleh BN dalam usaha mereka mempe­ngaruhi pengundi India?

Yang ketara, manifesto Pakatan Harapan ditolak oleh pengundi India kerana ia tidak mendatangkan sebarang harapan baharu kepada kaum India.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan juga Pensyarah Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia.