Kakak kepada arwah Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, itu kemudiannya bergegas ke Hospital Serdang untuk mendapatkan pengesahan sendiri: “Benarkah berita yang aku baca itu libatkan adik kesayanganku”.

Biarpun sukar untuk menerima hakikat begitu cepat pemergian adiknya, namun Nur Atiqah Shaari, 28, reda dengan ketentuan Ilahi. Hayatnya berakhir dalam berbakti kepada masyarakat. Demi menyelamatkan nyawa orang lain.

Dalam kepasrahan itu, Nur Atiqah tetap ralat dengan bebelan arwah ketika bersama-sama dalam kereta malam kelmarin menuju ke Kuala Lumpur dari kampung halaman mereka, Kelantan. Perjalanan selama tujuh jam itu agak sunyi tanpa telatah arwah yang suka berceloteh. Kalau tidak berjenaka, arwah pasti akan bercerita tentang tugas-tugas menyelamat yang dilalui setiap hari. Raut wajahnya biasanya bercampur puas apabila setiap misi yang disertai berakhir dengan selamat.

Namun pada hari itu, Muhammad Hifdzul Malik yang mesra disapa sekadar Joe agak pendiam. Jarang benar dia berdiam diri. Mungkin dia agak rushing untuk masuk bertugas pukul 8 pagi. Pada ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 4 pagi sebaik sahaja mereka tiba di rumahnya di Shah Alam. Sesekali arwah asyik mengomel. Kata arwah, hatinya agak berdebar-debar dan rasa ‘tak sedap hati’.

“Saya menasihati arwah supaya jangan fikir banyak. Insya-Allah tiada apa-apa yang berlaku. Baca doa banyak-banyak. Tak sangka pula rasa berdebar arwah itu petanda dia akan pergi selama-lamanya,” ujarnya menahan sebak di hujung perbualan telefon ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Ketika berkongsi kisah sedih dengan penulis, Nur Atiqah dalam perjalanan mengikuti van jenazah arwah adiknya itu untuk dikebumikan di kampung halaman mereka di Kubang Terap, Pasir Mas. Nur Atiqah sempat memberitahu bahawa dia berasa bangga dengan komitmen adik bongsunya itu dalam menjalankan tugasnya walaupun baru lima tahun mengikuti Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Sebagai kakak yang agak rapat dengan arwah, dia sentiasa menjadi tempat untuk arwah berkongsi cerita keseronokannya apabila sering dipilih untuk tugas menyelamat. Segala aktiviti dan latihan menyelam tidak pernah ditinggalkan.

Kadang-kadang, arwah agak kecewa jika pada hari dia bertugas, tidak ada apa-apa kes yang berlaku untuk dia menyumbang tenaga membantu dalam kerja-kerja menyelamat. Tidak kisahlah jika hanya dapat panggilan kecemasan daripada orang ramai untuk menurunkan kucing yang terlekat di atas pokok atau kejadian ular masuk rumah.

Harapan mak ayah

“Arwah satu-satunya anak lelaki dalam tiga beradik. Arwah harapan mak ayah. Mereka sering berpesan kepada arwah supaya berhati-hati dalam melakukan tugas. Tetapi semangat arwah yang mahu bertugas sebagai anggota bomba tidak pernah dihalang kerana ia adalah minatnya sejak kecil. Sebab itu sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), arwah terus mengikuti pasukan bomba.

“Arwah sering berkata sebagai anggota bomba, dia sering meletakkan niat ikhlas untuk membantu orang lain. Andai nyawa sendiri menjadi pengganti, dia sanggup berbuat begitu agar insan lain dapat teruskan hidup. Akhirnya kata-kata arwah ini menjadi kenyataan. Semoga Allah memberi ganjaran syurga buatnya,” katanya.

Selain Muhammad Hifdzul Malik, lima lagi anggota bomba yang terkorban ialah Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Yahya Ali, 24; Mazlan Omarbaki, 25 dan Adnan Othman, 33.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, ke­semua anggota berkenaan dilaporkan lemas akibat dibawa arus deras.

Kesemua mangsa sebelum itu terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja berusia 17 tahun yang lemas selepas terjatuh ke dalam lombong tersebut yang terletak berhampiran perumahan La Cottage, Cyberjaya pada pukul 5.50 petang.

SOP SAR

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian menyayat hati itu, Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye mengakui ia suatu tragedi yang sukar untuk diterima memandangkan kesemua mangsa adalah mereka yang terlatih untuk tugas tersebut.

Tragedi pertama kali mengorbankan ramai mangsa melibatkan penyelam PPDA di dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu tegasnya, perlukan siasatan bebas bagi mengetahui punca sebenar kejadian selain sebagai langkah pencegahan.

“Adalah penting untuk menghentikan segala spekulasi dan Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan.
Terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang harus diikuti dalam semua operasi SAR dan mereka yang terlibat mestilah mengambil kira pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku di dalam jasad air terutamanya semasa atau selepas hujan lebat, di mana arus kuat dan pusaran air boleh berlaku.

“Panel penyiasatan juga harus menyiasat bagaimana mangsa pertama, iaitu remaja berusia 17 tahun, boleh jatuh ke dalam lombong dan melihat sama ada terdapat pagar atau papan tanda diletakkan bagi mengingatkan orang ramai mengenai bahaya di lombong berkenaan,” katanya.

Tragedi seumpama ini harus dijadikan iktibar. Semua pihak perlu berganding bahu untuk menanganinya agar ia tidak berulang lagi tanpa menuding jari kepada sesiapa.

Al-fatihah. Salam takziah kepada semua keluarga mangsa. Semoga roh-roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin.