Inilah peristiwa penting dalam sejarah Islam kerana di gua itulah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertamanya iaitu Surah Al-Alaq ayat 1 sehingga 5, yang disampaikan melalui Malaikat Jibril.

Jabal Nur terletak sekitar tujuh kilometer sebelah barat Masjidilharam.

Tingginya 642 meter. Dinamakan Nur yang membawa maksud cahaya kerana di bukit ini terdapatnya Gua Hira’, tempat Nabi Muhammad SAW menyendiri beribadah sehingga terpancar nur atau cahaya ‘nubuwwah’.

Di bukit ini, baginda menerima wahyu pertama: ‘Iqra’ (Bacalah).
Menurut Ramli, untuk menaiki bu­­kit ini memerlukan masa antara satu hingga dua jam mengikut kelajuan sendiri.

“Kita hadir ke tempat sejarah ini untuk mendatangkan perasaan insaf daripada peristiwa yang dinyatakan. Kita lihat bagaimana Nabi Muhammad SAW berada di situ dalam peristiwa di gua ber­kenaan.

“Jadikan setiap pengkisahan itu sebagai penyuntik semangat untuk kita memperhebatkan ibadah dan pada masa sama melihat diri sendiri ada kekurangan yang perlu dibaiki,” katanya.

Antara pengajaran yang boleh dihayati melalui peristiwa ber­kenaan dan boleh diterjemahkan dalam perjalanan haji ini adalah keperluan kita untuk terus kekal tabah dan bersemangat waja dalam menempuh apa juga cabaran dan rintangan dalam menuntut ilmu ini.

Selain itu juga, jemaah haji wajar melengkapkan diri dengan belajar bersungguh-sungguh setiap Rukun Haji dan wajib haji serta ibadah lain semasa berada di Tanah Suci ini, daripada menghabiskan masa berbual kosong tanpa arah.

Dalam kunjungan ke Jabal Thur, telah disampaikan kisahnya oleh Ramli kepada wartawan Malaysia mengenai pe­ristiwa bersejarah yang pernah berlaku di Bukit Thursina yang juga dikenali sebagai Bukit Thur.

Katanya dalam penghayatan itu, ia ada hubung kait dengan kisah semasa penghijrahan umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah pada tahun ke-14 kenabian Rasulullah SAW.
Peristiwa bermula apabila ba­ginda telah dikecam oleh penduduk Qu­raisy Mekah yang bimbang akan pengaruh agama Islam yang semakin mendapat tempat di hati penduduk Arab.

Oleh itu pada suatu hari mereka telah bermesyuarat untuk mencari jalan bagaimana hendak menghentikan dakwah baginda dan dalam perbincangan tersebut, seorang lelaki tua yang merupakan jelmaan iblis telah bersetuju dengan cadangan Abu Jahal supaya Rasulullah SAW dibunuh.

Pada hari rancangan jahat itu ingin dilaksanakan, baginda telah bertemu Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan menyuarakan hasrat untuk berhijrah setelah mendapat perintah daripada Allah SWT.

Pada malam tersebut seramai 11 orang penjahat yang telah diupah berkumpul di sekeliling rumah ba­ginda dan merancang untuk membunuhnya pada waktu subuh iaitu sewaktu baginda pergi ke masjid.

Peristiwa ini telah disebut dalam Ayat 30, Surah Al-Anfal yang bermaksud: “dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu, mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik menggagalkan tipu daya.”

Ramli meneruskan kisah itu yang menarik perhatian wartawan dengan menyatakan, Rasulullah SAW telah meminta Saidina Ali Bin Abi Talib untuk menggantikannya dan tidurlah beliau  di si­tu dengan menggunakan selimut yang dipakai oleh baginda.

Sewaktu keluar dari rumah, baginda telah menggenggam pasir dan menabur ke arah 11 orang penjahat tersebut sambil membaca Ayat 9, Surah Yasin yang bermaksud: “dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula) dan kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.”

Sambung Ramli, dengan pertolongan Allah SWT, penglihatan penjahat itu ditutup dan baginda pun terselamat daripada an­caman bunuh. Setelah berjaya menye­lamatkan diri, baginda pergi me­nemui Abu Bakar dan bertolak ke Madinah. Sewaktu keluar dari Mekah mereka telah melalui Bukit Thur dan berhenti untuk mencari perlindungan.

Oleh kerana rancangan untuk membunuh baginda telah gagal, maka orang kafir Quraisy telah membuat tawaran 100 ekor unta bagi sesiapa yang berjaya menangkap Rasulullah SAW sama ada dalam keadaan hidup ataupun mati.

Mengenai Masjid Jin, ia antara lain mengisahkan bagaimana para jin yang memeluk Islam selepas mendengar lantunan al-Quran da­ri Nabi Muhammad SAW. Di­­n­yatakan, waktu itu jin mengadakan dialog dengan baginda dan memutuskan untuk memeluk Islam.

Di akhir lawatan itu, wartawan dibawa meninjau peninggalan Masjid Hudaibiyah - masjid tua yang bernama Masjid Bai’atur Ridhwan yang kini ha­nya dilihat tiang batu lama.
Lokasi masjid inilah yang menjadi lokasi tempat terjadinya Perjanjian Hudaibiyah antara kaum Muslim dan kaum Musyrikin Mekah.

Apa yang pasti, ziarah Mekah ini memberikan banyak pengajaran dalam peristiwa berkenaan dan memberikan kekuatan kepada pasukan media untuk lebih bersemangat dalam menjalankan tugas dan ibadah kerana Allah SWT.