Jerry Chun Shing Lee, pemegang kewarganegaraan AS yang berkhidmat untuk CIA dari tahun 1994 hingga 2007, akan dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan berkomplot untuk melakukan pengintipan dan dua tuduhan menyimpan maklumat sulit secara tidak sah.

Jerry, 53, yang sebelum ini menetap di Hong Kong tampil untuk menghadapi pertuduhan di sebuah mahkamah persekutuan di Alexandria, Virginia baru-baru ini dalam keadaan “tidak terurus dalam jumpsuit hijau dan memakai cermin mata,” menurut CNN.

Hakim Thomas Selby Ellis III menetapkan perbicaraan terhadapnya bermula pada 12 Februari 2019.

Peguam, Edward MacMahon, yang mewakili Jerry, sebelum itu memberitahu akhbar The Post:

“Lee menafikan dia merupakan seorang pengintip, dan kami akan membuktikan dia bukan seorang pengintip semasa perbicaraan kelak.”

Kebanyakan pegawai dalam kerajaan AS percaya Jerry yang juga dikenali sebagai Zhen Cheng Li, merupakan ‘musuh dalam selimut’ yang membantu China merungkai rangkaian pengintip AS di negara Asia. Menurut The New York Times, sekurang-kurangnya 18 hingga 20 pemberi maklumat telah terbunuh atau dipenjarakan di China, dengan isyarat pertama masalah itu timbul pada tahun 2010.

Walau bagaimanapun, semasa prosiding pendakwaan tersebut, tidak ditunjukkan kaitan secara langsung antara Jerry dengan apa yang disifatkan sebagai salah satu daripada cawangan perisikan AS yang paling teruk dalam beberapa dekad.

Sewaktu Jerry ditangkap pada Januari lalu selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John. F. Kennedy di New York, dia telah didakwa dengan satu pertuduhan sahaja iaitu secara salah memiliki maklumat sulit, namun kemudian, dia turut dituduh terlibat dalam konspirasi untuk melakukan intipan iaitu kesalahan yang jauh lebih berat yang memungkinkan dia dihukum penjara seumur hidup.

Pihak pendakwaan berkata, selepas meninggalkan CIA, Jerry mengekalkan hubungannya dengan perisik-perisik China dan menyalurkan maklumat kepada mereka sebagai tukaran mendapatkan wang, walaupun dia telah menandatangani beberapa perjanjian kerahsiaan.

Berdasarkan pendakwaan, dua pegawai perisik dari Kementerian Keselamatan Negara China bertemu dengan Shing Lee di Shenzhen, sebuah bandar berdekatan Hong Kong, pada April 2010, dan memberi jaminan ‘mereka akan menjaga Lee (Jerry) sepanjang hayatnya’.

Pada masa yang sama, bekas pegawai CIA itu didakwa menerima hadiah wang tunai AS$100,000 (RM397,879) sebagai ganjaran bagi kerjasamanya”.

Pihak pendakwa berkata, Jerry telah mendepositkan beberapa ratus ribu dolar ke dalam akaun peribadinya di HSBC di Hong Kong dalam keadaan mencurigakan.

Mereka turut menyatakan e-mel, satu dokumen yang dihasilkan melalui komputer riba Jerry, seunit pemacu jari (thumb drive) dan dua buku nota yang mengandungi maklumat rahsia tentang ejen-ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang ditemukan antara barang-barang kepunyaan bekas pegawai CIA itu pada tahun 2012 sebagai bukti.

Jerry juga pernah dituduh menipu pihak berkuasa AS.

Di mahkamah, Penolong Pendakwa AS, Neil Hammerstrom berkata, maklumat sulit yang terlibat dalam kes itu adalah ‘lebih kompleks’ daripada perbicaraan terhadap Kevin Mallory, seorang lagi bekas pegawai CIA yang didakwa menjadi pengintip bagi China, lapor The Washington Post.

Mallory, yang dipercayai menjual maklumat sulit kepada pegawai perisik China, dibicarakan pada Mei lalu.

Selepas meninggalkan CIA, Jerry menyertai syarikat Japan Tobacco International di Hong Kong, tetapi dia dipecat setelah disyaki memberi maklumat kepada pihak berkuasa China tentang operasi syarikat terbabit. Semasa ditangkap, Jerry merupakan ketua bahagian keselamatan bagi rumah lelong antarabangsa, Christie di Hong Kong.

Walaupun dilahirkan di Hong Kong, Jerry membesar di Hawaii dan berkhidmat dalam pasukan tentera AS sebelum memperoleh ijazah sarjana dan menyertai CIA. – South China Morning Post