"Hanya beberapa barang yang kita kawal iaitu gula, tepung, minyak masak dan gas memasak. selainnya perlu berdasar pasaran antarabangsa dan nilai pertukaran mata wang.

Itu luahan Menteri KPDNKK , DATUK SERI HAMZAH ZAINUDIN kepada wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMI ZI dalam pertemuan pada Khamis lalu.

Bagi beliau sikap keterlaluan pembangkang yang cuba menjadi 'hero' setiap kali isu harga barang naik tidak mencerminkan realiti sebenar.

Katanya, memang mudah menghentam kerajaan tetapi sebagai kerajaan yang bertanggunjawab kita telah membantu sehabis-habis baik melalui pelbagai akta demi masyarakat.

Namun rakyat juga perlu mengukur baju di pakaian sendiri kerana pengurusan kewangan yang berhemah adalah jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan tiada sesiapa terjerat dalam isu kenaikan harga barang mahupun kenaikan taraf hidup.
 

MINGGUAN: Rakyat dilihat sering merungut dengan kenaikan harga barang. Mereka mempersoalkan kenapa KPDNKK tidak kawal harga barang?

HAMZAH: Bila kita cakap tentang makanan, rakyat akan fikir ini adalah keperluan pengguna dan semua tanggungjawab pada KPDNKK. Walhal, makanan itu sendiri, harga yang kita kawal atau tetapkan hanyalah gula, tepung, minyak masak dan gas memasak. Tetapi persepsinya seolah-olah semua (dikawal oleh KPDNKK).

Harga ikan kembung naik pun dipersoalkan oleh media mengapa KPDNKK tidak kawal harga. Ini menyebabkan ada sedikit kekeliruan. Ambil ikan sebagai contoh, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tubuhkan agensi bernama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mengawal dari segi rantaian bekalan. Dahulu lagi teruk. Bila ada LKIM sekurang-kurangnya kita dapat memastikan membantu nelayan dan dalam masa yang sama kurangkan pemborong atau orang tengah. Sama ada LKIM mampu atau tidak, sepatutnya dipersoalkan kepada MOA dan tidak kepada KPDNKK.

Saya bagi contoh, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kos Sara Hidup yang dipengerusikan oleh saya semalam (Rabu), saya beritahu MOA supaya perkasakan semula LKIM. Buat strategi dengan baik supaya LKIM dapat memastikan bekalan mencukupi, sekurang-kurangnya melebihi 50 peratus atau 60 peratus pun cukup. Kalau kita ada 60 peratus bekalan, kita boleh kawal harga.

Jadi di mana letaknya peranan KPDNKK?

HAMZAH: Peranan KPDNKK adalah melalui akta antipencatutan apabila kita tahu sesuatu harga itu naik tidak mengikut kepatutan untuk naik, kita akan ambil tindakan. Kita ada formula iaitu perkiraan dari segi harga asal selepas setahun, berapa peratus sepatutnya naik. Sebab itu kita ada Indeks Harga Pengguna (IHP) dan bila buat formula, kita tahu keuntungan berapa peratus.

Kita juga ada Akta Kawalan Harga mengikut musim perayaan. Oleh kerana akta itu membenarkan kita (mengawal harga barang) dalam musim perayaan selama dua minggu. Dalam dua minggu itu sahajalah kita boleh. Kita perhatikan Menteri KPDNKK hanya turun pasar pada musim perayaan tapi (persepsi) seolah-olah Menteri KPDNKK mesti turun pasar setiap hari. Tidak betul. Sebab harga di pasaran tiap-tiap hari, kita tidak boleh kawal. Ini kerana kita pakai konsep pasaran ekonomi bebas serta bekalan dan permintaan.

Setelah lihat ini semua, kita perhalusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Kita perhalusi dan beri penekanan kepada dua perkara iaitu makanan dan barangan keperluan harian. Kita hendak pastikan barang-barang ini tidak boleh naik dengan sewenang-wenangnya.

Kenapa KPDNKK tidak lagi boleh tetapkan harga siling?

HAMZAH: Kita boleh letakkan harga siling apabila kita yang mengeluarkan sesuatu harga barang. Sebab kita tahu berapa kos dan keuntungan. Itu kita boleh buat tetapi kalau kebanyakan barang itu diimport, macam mana kita hendak letak satu kawalan harga kalau harganya berdasar pasaran antarabangsa dan nilai pertukaran mata wang. Sebab apabila kita tetapkan dan kalau harga barang itu sepatutnya naik, siapa yang hendak tanggung? Kerajaan tidak boleh tanggung.

Kalau rakyat memahami perkara ini, mereka tahu ini memang patut sebab barang itu diimport. Contohnya, daging dan sayur. Ada kita import dan ada dari dalam negara. Sayur-sayuran, kita guna 2.8 juta tan metrik. Kita keluar hanya 1.5 juta tan metrik dan kita import 1.8 tan metrik. Macam mana kita hendak kata kita boleh kawal harga sebab kita import lebih banyak daripada kita keluarkan.

Kita kena faham kos input untuk kita keluarkan pun sama juga. Contohnya, baja diimport. Macam mana kita hendak kawal? Takkan kita hendak suruh petani tanam sayur dengan harga yang merugikan mereka. Bila tidak cukup, kita import.

Bila kerajaan tidak mengawal harga barang, timbul persepsi bahawa kerajaan lebih membela golongan peniaga pula?

HAMZAH: Mana ada orang hendak berniaga kalau tidak untung. Kalau kamu import gula harganya RM2.50 (sekilogram) dan saya kata jual RM2.50, sudah tentu kamu kata baik tidak payah berniaga gula. Jadi saya kena pastikan harga gula naik, RM2.95. Ada 45 sen. Kamu kena fikir 45 sen itu untuk pemborong dan peruncit. Kita kena faham sebab kita adalah negara perdagangan. Semua perkara yang kita buat mengikut pasaran dunia baik dari segi komoditi dan makanan.

Ini bukan bermakna kerajaan hanya membela peniaga tetapi kita tidak boleh menganiaya mereka. Tanpa mereka, tidak ada perniagaan, bekalan dan di mana kita hendak dapat barang-barang? Kita perlu seimbangkan. Sebab itu kita ada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan serta Akta Perihal Dagangan. Sebab itu kita ada penguatkuasaan. Orang salah kita tangkap. Kita sudah lakukan untuk mengelakkan berlaku penganiayaan dalam kenaikan harga barang.

Orang selalu cakap dahulu gaji RM1,000 sebulan cukup tetapi sekarang tidak cukup.

HAMZAH: Dahulu RM1,000 kamu di mana tetapi sekarang berapa gaji kamu? Perbelanjaan kamu sudah berubah. Dahulu kamu makan nasi lemak tepi jalan tetapi sekarang makan nasi lemak di kafe. Bukankah kita bertambah senang. Yang ini tidak boleh dipersoalkan. Walaupun kita persoal kenapa sekarang mahal sangat tetapi kita tahu nilai kita lebih tinggi daripada 20 tahun lalu. Bandingkan nilai aset kamu sekarang dan 20 tahun lalu. Apakah sebab kerana kamu bijak atau kerana kerajaan mampu mempertingkat gaya hidup dalam negara. Ini kita tidak pernah fikir.

Kita kira RM1,000 dahulu banyak ini tetapi RM1,000 sekarang tidak cukup. Kita tidak kira dahulu kita tidak ada harta tetapi sekarang kita ada harta. Walaupun keluarga saya dahulu miskin tetapi ada rumah. Datuk saya beri rumah kepada ayah saya. Kalau saya jual rumah datuk saya itu sekarang nilainya lebih RM1 juta. Rumah yang sama yang dahulu saya duduk, saya kata saya miskin. Sebab apa? Tandasnya teruk. Pergi sungai dengan sampan. Tapi masa itu kita masih bersyukur sebab masih boleh makan. Tapi sekarang rumah itu sudah sedikit berbeza tapi nilainya lebih RM1 juta.

Yang banyak mengeluh sekarang adalah golongan muda. Kata mereka serba-serbi mahal dan gaji tidak cukup?

HAMZAH: Yang mengeluh ramai budak-budak muda sebab mereka tidak tahu berapa susah kita hendak membangunkan semua ini. Mereka kira apa yang mereka mahu mesti dapat. Mereka belanjakan lebih RM1,400 untuk sebuah telefon pintar. Dahulu kita ada telefon harga RM100 dan RM300. Hidup dan bersyukur juga. Dahulu budak-budak tunduk hormat bila lalu depan orang tua tetapi sekarang mereka langgar sahaja sebab nilai kita sudah berubah.

Kita tengok segala nilai-nilai Barat dalam televisyen yang menyebabkan kita hendak sama dengan mereka. Tetapi pendapatan mereka berbeza. Walaupun dia bergaji RM10,000 tetapi dalam negara mereka kumpulan yang susah sebab gaji mereka lebih kurang AS$2,500.

Jangan bandingkan nilai dalam televisyen. Berapa ramai rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menjadi gelandangan. Kalau pergi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), berapa ramai anak muda Melayu pergi melancong? Saya tengok hujung minggu sahaja, ramai beratur hendak ke luar negara. Walaupun pergi dekat sahaja, itulah gaya hidup. Kita tidak pernah terfikir kenapa gaji tidak cukup. Memanglah RM1,000 tidak cukup kalau belanja RM1,300.

Benda-benda macam ini kita tidak ambil kira. Sepatutnya apabila kita lebih senang, kita tahu apa yang lebih penting. Bila cukup semua makan, kita simpan (lebihan pendapatan). Bila pendapatan meningkat, simpanan kita naik dan kita beli aset. Saya selalu beritahu kepada rakyat, apabila negara kita lebih maju, kebanyakan harga barangan akan naik. Sebab kos pembangunan, ia akan bertambah.

Setiap kali berlaku kenaikan harga minyak, ramai akan ‘naik minyak’ terutama di laman media sosial. Komen Datuk Seri?

HAMZAH: Tidak boleh salahkan kerajaan kalau rakyat mempunyai gaya hidup yang berbeza. Contohnya, kalau ada sebuah kereta, kamu tahu berapa pendapatan boleh guna dan pastikan mencukupi untuk menggunakan kereta. Kalau dia hendak guna kereta kedua, tiba-tiba marahkan kerajaan kerana tidak cukup duit untuk bubuh petrol kerana petrol naik harga, itu bukan salah kerajaan.

Kalau kamu kurangkan dua kereta tadi, mungkin kosnya turun balik. Sepatutnya kita bersyukur sebab kita mampu untuk memenuhi keperluan. Kalau tidak mampu, kita tidak akan beli. Jadi, tidak perlulah merungut sebab kita mampu beli kereta. Maknanya, kita sudah bertambah senang.

Mungkin faktor sistem pengangkutan awam yang masih belum efisien menyebabkan rakyat memiliki banyak kereta?

HAMZAH: Saya ingat masa saya muda-muda dahulu, kita naik bas berpeluh. Selepas itu, kita mengadu naik bas susah dan lambat. Tapi hari ini saya tengok anak-anak kita tidak mahu naik bas. Walaupun kamu kata pengangkutan tidak berapa efisien tetapi ia sudah bertambah baik. Kita ada Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT). Kalau macam itu pun sudah mengeluh, kalau bertambah maju nanti kita akan lebih mengeluh sebab gaya hidup.

Kalau sudah selesa memiliki kereta, kita akan tetap ada kereta. Walaupun kamu kata itu keperluan, tetapi ada anak-anak muda tidak mahu naik LRT walaupun kemudahan itu dekat dengan rumah. Sekarang, ramai budak-budak muda bankrap. Dalam kumpulan bankrap sudah ada 40 peratus budak-budak muda. Kenapa? Ini disebabkan pemahaman dari segi gaya hidup.

Jika ramai rakyat lemah dari segi pengurusan kewangan, apakah usaha KPDNKK bagi memberikan pemahaman kepada mereka?

HAMZAH: Sejak jadi menteri, saya letakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semua pengarah KPDNKK negeri kena turun beri ceramah di 15 sekolah setahun. Kita buat program dan beri ilmu kepenggunaan supaya rakyat faham dari peringkat awal. Kalau kita tidak buat, saya takut 10, 15 tahun dari sekarang, kita akan ada masalah.

Bercakap tentang pengumuman harga minyak secara mingguan, bagaimana boleh timbul idea ini?

HAMZAH: Saya selalu duduk berbincang dengan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Kami berkawan dan selalu berjumpa. Disebabkan harga minyak naik terlalu mendadak kalau kenaikan dibuat setiap bulan, kenapa tidak kita buat secara mingguan? Jadi, kita minta pegawai-pegawai buat analisis.

Kita tengok trend kenaikan pada tahun lalu. Kalau buat secara mingguan, habis kuat naik 7 sen. Jadi, kita buat secara mingguan. Saya buat kertas kerja, bentang kepada jemaah Menteri dan diluluskan pada 22 Februari lalu.

Ada orang skeptikal kata hari ini turun 17 sen tapi minggu depan naik pula 21 sen.

HAMZAH: Masa harga naik, kenapa tidak kata hari ini naik 17 sen tapi minggu depan turun balik? Semalam kita turunkan harga minyak 17 sen. Kalau saya naikkan 17 sen, hari ini sudah ada orang tular hentam saya. Tapi hari ini, orang yang hentam saya dahulu tidak ada pun berterima kasih.

Sekarang kita gunakan sistem apungan terkawal. Maknanya, kita beri harga yang patut. Ada waktu-waktu dalam dua bulan awal, kita beri subsidi. Kalau tidak harga lebih tinggi. Tetapi orang tidak sedar. Kita masih mengawal harga minyak. Kita wartakan setiap minggu supaya orang tidak boleh jual harga lebih tinggi daripada diumumkan. Mereka boleh jual harga lebih rendah daripada itu.

 

Mungkin kerajaan perlu memberikan subsidi jika harga minyak dunia naik bagi mengawal kenaikan harga barangan?

HAMZAH: Ada kemungkinan sebab kita kena tengok IHP. Kalau terlampau tinggi harga petrol, kos pengangkutan akan jadi sangat tinggi dan akan memberi kesan kepada harga barangan lain. Jadi kita kena tengok keseluruhan untuk seimbangkan. Kita kena terima hakikat bahawa harga minyak dunia akan naik. Dalam waktu sama, kita kena ingat nilai mata wang disebabkan pendapatan negara. Kalau harga minyak naik, nilai mata wang akan lebih kukuh.

Apakah KPDNKK akan memperkenalkan akta-akta baharu dalam masa terdekat?

HAMZAH: Ya, kami akan bentangkan, yang pertama, Akta Jualan Kredit. Kemudian, kita akan buat penambahbaikan kepada Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dari segi akta antipencatutan dan Akta Perihal Dagangan 2011. Kita akan perkenalkan juga Akta Jualan Kredit untuk pastikan kadar faedah tidak naik dan kita tetapkan kadar faedah. Akta Perihal Dagangan 2011 akan ditambah baik supaya pengguna membayar harga barangan seperti yang dipamerkan.

Kalau mereka tengok iklan barang berharga RM100, mereka akan bayar RM100. Semua caj termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai perkhidmatan sudah termasuk dan tidak ada lagi caj tersembunyi. Ia dipanggil harga terangkum bagi memberi keadilan kepada rakyat.

Dengan ini, peniaga tidak boleh mempermainkan pengguna dengan mengenakan caj tambahan yang tidak terdapat pada harga dipamerkan. Kita beri kepada dua sektor dahulu iaitu hotel dan restoran. Kita akan tambah dari semasa ke semasa. Bagi sektor lain yang sudah ada akta masing-masing, kita akan bincang dan laksanakan kemudian. Akta ini sudah di peringkat Jabatan Peguam Negara. Akta Jualan Kredit serta Akta Timbang dan Sukat sudah masuk pada sesi ini.