Koordinat kapal angkasa serba canggih itu ditujukan ke Malaysia bagi mencari satu kaum bernama Melayu. Hasil carian melalui google iaitu rujukan utama kaum ­berkenaan didapati nama Melayu amat sinonim dengan Islam. Pemahaman makhluk asing itu ialah Melayu adalah Islam dan bukan sebaliknya.

Perjalanan yang memakan masa itu diisi dengan sedikit homework iaitu bagi mengkaji karakter Melayu-Islam. Ia penting bagi memastikan misi agung itu tidak menemui kegagalan. Maka dihalakan teleskop canggih mereka ke arah bumi dan secara kebetulannya terus terpapar di skrin canggih kapal angkasa mereka, satu pesta nyanyian bagi memilih siapa yang terbaik.

Semua makhluk asing itu terpinga-pinga kerana majoriti penonton dan peserta adalah Melayu-Islam. Ada juga yang memakai tudung litup tetapi terkinja-kinja atas pentas dan bawah pentas. Setelah diamati, rupa-rupanya banyak yang membalut aurat bukannya menutup aurat.

Seorang makhluk asing yang memegang portfolio pe­nerangan kemudiannya menarik perhatian dengan me­ngatakan mungkinkah mereka itu yang digambarkan da­lam sebuah hadis mengenai golongan berpakaian tetapi sebenarnya bertelanjang!.

Mereka mengucap panjang. Dialihkan teleskop ke arah lain, dilihat pula Melayu-Islam ketawa berguling-gu­ling melihat persembahan yang seperti membuat lawak. Makhluk asing itu was-was kerana Melayu-Islam itu seakan masih leka digeletek dengan hiburan melalaikan sedangkan saudara seagama lain di beberapa negara ber­dekatan sedang disembelih oleh segerombolan askar lengkap bersenjata.

Mereka mengeluh dalam hati, adakah ini ajaran Islam? Untuk menyedapkan hati dipindahkan teleskop ke kompleks kerajaan untuk melihat ketekunan Melayu-Islam bekerja. Malangnya terlihat pula segelintir sedang me­nerima duit yang dihulurkan bawah meja. Malah ada juga yang sedang mengular, sedangkan semasa depan ketua lagaknya macam malaikat!

Kerana tidak sanggup melihat adegan seterusnya, te­leskop itu dihalakan ke bangunan berkubah, sekali tengok seperti masjid tapi sebenarnya mahkamah. Didapati ramai lelaki seperti anak-beranak berpakaian ‘oren’ bergari. Te­leskop difokuskan hingga ternampak kertas pertuduhan, makhluk asing itu amat terkejut, rupa-rupanya kes sumbang mahram. Abang, adik, ayah dan datuk merogol darah daging sendiri, nama-nama dalam senarai orang kena tuduh pula ada bin!.

Selang beberapa bilik di mahkamah itu terdapat sekelompok Melayu-Islam melompat kegirangan kerana memenangi hak menggunakan nama Allah. Namun terdengar bebelan makhluk asing itu, apa gunanya dapat hak eksklusif tetapi pada masa sama terus menjuarai carta segala maksiat, perintah dan larangan Pemilik Nama itu diabaikan, malah ada yang hanya solat dua kali sahaja dalam setahun - Aidilfitri dan Aidiladha.

Kerana terlalu kecewa, hampir separuh daripada makhluk asing itu meminta supaya misi dibatalkan, namun separuh lagi mahu ia diteruskan dan berharap berlaku sesuatu yang positif. Alhamdulillah gajet canggih itu ternampak sesuatu yang menyejukkan mata iaitu sekumpulan Melayu-Islam berpakaian seperti hendak sembah­yang.

Malangnya, terdengar pula maki-hamun dan caci-maki segelintir agamawan terhadap lawan hanya kerana tidak sependapat dalam perkara ranting. Makhluk asing itu amat pelik kerana Rasulullah SAW amat hebat akhlaknya dan setiap teguran disampaikan dengan penuh hikmah. Maka terlintas dalam benak mereka, teknik maki-hamun itu diajar oleh siapa?

Akhirnya misi itu dibatalkan, kapal angkasa itu kembali semula ke planet mereka walaupun beberapa kali ditegur oleh seorang daripada mereka yang berfikiran positif de­ngan memberikan misalan:

“Kapal angkasa berguna untuk pengangkutan tetapi jika ia banyak terlibat dalam kemalangan maut, adakah kapal angkasa yang patut dipersalahkan atau pemandunya, sepatutnya pemandu yang cuai perlu dibaiki, bukan membakar terus kapal angkasa itu,”