Pada saya, di saat inilah part yang paling dibenci kerana pengembaraan saya ketika ini sudah sampai ke penghujung dan bermakna kami juga perlu berpisah.

Dalam pada itu, saya meneruskan perjalanan berikutnya dari satu tempat ke satu tempat dinyatakan dengan mengambil masa begitu singkat iaitu antara tiga sehingga tujuh hari sahaja.

Tidak banyak yang boleh saya lakukan dan hanya bergerak sebagai seorang pelancong semata-mata untuk melihat pemandangan tempat-tempat yang disinggahi.

Sebenarnya ada banyak lagi tempat menarik yang saya lawati sepanjang tempoh berada di Vancouver sehingga ke Air Terjun Niagara, Toronto dan Grand Canyon, AS.

Tetapi, saya lebih berminat untuk menceritakan secara terperinci di sebalik perjalanan yang saya tempuhi. Mungkin saya hanya cerita dan kongsi jika ada yang bertanya berkenaan cara atau tip sesuatu tempat yang pernah saya lawati.

Secara peribadi, banyak perkara saya pelajari, daripada sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar perkara yang saya tidak nyatakan sebelum ini. Ada yang dikongsi dan ada juga yang tidak perlu saya ceritakan di sini.

Sebagai contoh, saya dapat melihat bagaimana sikap dan mentaliti kelas pertama serta keterbukaan rakyat Kanada yang begitu baik dalam kebebasan beragama (majoritinya).

Namun, sebaliknya, ada juga keterbukaan yang boleh disifatkan melampaui nilai kemanusiaan seperti gejala gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengembaraan kali ini juga benar-benar berbeza kerana saya dapat menyelami kehidupan sebenar pelajar Malaysia dan kejayaan golongan imigran yang secara tidak langsung banyak mengajar saya untuk terus berusaha.

Di samping itu, peluang kepada saya untuk berkenalan dan beramah mesra dengan kakitangan Konsular Malaysia di Vancouver turut memberikan gambaran tentang tugas serta peranan mereka.

Kesemua pengalaman yang dinyatakan itu penting pada saya sebagai wartawan dan sebagai manusia biasa untuk meluaskan skop perhubungan serta terus mempelajari ilmu kehidupan.

Dalam pada itu, satu lagi perkara yang saya masih ingat adalah sikap masyarakat dari Asia Barat yang menetap di Calgary, iaitu sebuah bandar dalam wilayah Alberta dan pernah menjadi tempat berlangsungnya Sukan Olimpik Musim Sejuk pada tahun 1988.

Semasa berada di bandar ini, saya dapat perhatikan imigran yang datang dari pelbagai negara seperti Yemen, Iraq, Palestin dan Mesir begitu ramai, terasa seperti berada di negara mereka sendiri.

Apa yang menarik mereka begitu menonjol dengan mempamerkan budaya masing-masing melalui festival yang diadakan secara besar-besaran. Ia secara tidak langsung mengubah persepsi terhadap Islam di Kanada.

Mereka juga tanpa segan silu dan bangga turut mendekati rakyat negara tersebut secara halus melalui hiburan dan tarian. Ini seterusnya mengingatkan saya bagaimana pendekatan untuk memenangi fikiran dan jiwa serta cara terbaik untuk bercampur dengan masyarakat yang menjadi golongan majoriti.

Walau apapun, sebagai penulis dalam ruangan ini, segala cerita yang ditulis merupakan pengalaman dan peribadi saya sendiri. Saya masih belum puas untuk terus meneroka dan mengembara.

Saya juga percaya ada ramai di luar sana yang mempunyai pengalaman dan cerita tersendiri di sebalik perjalanan mereka. Cuma terpulang kepada individu terbabit bagaimana mahu ‘mencorakkannya,’.