Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

THERESA May (kiri) menyambut ketibaan pemimpin Parti Kesatuan
THERESA MAY (kiri) menyambut ketibaan pemimpin Parti Kesatuan Demokratik Ireland Utara (DUP), Arlene Foster (dua dari kanan) di luar pejabatnya di 10 Downing Street, London, Britain pada 26 Jun lalu. REUTERS

DALAM kekalutan keputusan menyokong Brexit (Britain keluar dari Kesatuan Eropah) dan kemenangan Donald Trump dalam perebutan jawatan Presiden Amerika Syarikat serta tindakan memutuskan hubungan dengan Qatar oleh Arab Saudi dan beberapa negara teluk lain, kita dikejutkan dengan keputusan pilihan raya United Kingdom (UK).

Apakah yang berlaku sehinggakan Perdana Menteri, Theresa May dan Parti Konservatif seolah-olah ‘tewas dalam menang’. Walaupun menang 318 kerusi tetapi masih kurang daripada 326 kerusi yang diperlukan untuk ­menubuhkan kerajaan majoriti mudah. Lebih buruk lagi, lapan menteri kalah.

Ketika May mengumumkan pembubaran Parlimen Britain, beliau yakin akan mendapat mandat besar untuk mengetuai kerajaan selepas mewarisi Kabinet daripada David Cameron. Selepas mendahului selesa hampir semua bacaan kaji selidik dan dapatan maklum balas umum oleh pihak berwajib, beliau membuat keputusan mengadakan pilihan raya tiga tahun lebih awal.

Akhirnya daripada hendak mendapat mandat besar, wujud keadaan ‘parlimen tergantung’.

Tujuh minggu kempen menunjukkan May di hadapan dalam hampir semua dapatan kaji selidik termasuk yang dilakukan oleh media Parti Buruh sekitar 11 mata, tertinggi berbanding beberapa Perdana Menteri sebelum ini. Pesaing beliau, Jeremy Corbyn pula di kedudukan paling rendah iaitu -40 mata.

Mengapakah dengan keyakinan seperti itu, akhirnya May tersungkur walaupun masih memiliki majoriti? Parti Konservatif terpaksa menagih talian hayat parti lain khususnya Democratic Unionist Party dari Ireland Utara. Antara sebabnya:-

* Piagam strategi beliau dianggap songsang dengan matlamat asal. Ini kerana undi bersifat tidak tetap walaupun dalam referendum Brexit dan pilihan raya kecil sebelumnya berpihak kepada parti pimpinan beliau khususnya di kawasan kubu kuat Parti Buruh kerana tumpuan berlebihan ke atas kelas pekerja dan warga emas. Mengambil mudah reaksi pengundi dan bersifat selesa memakan diri. Warga muda menggunakan platform ini untuk membalas dendam ke atas ‘Brexit’ manakala warga emas kecewa dengan manifesto yang tidak berkebajikan.

* Beliau membuat banyak keputusan bersifat tidak menentu atau pusingan U yang mencabar kewibawaan dan keabsahan politik kerana bercanggah dengan aspirasi untuk membantu kelas bawahan manakala kelas pertengahan tergugat dengan dasar ke atas warga emas, kelompok paling besar daripada 52% yang menyokong Brexit sebelum ini.

* Serangan pengganas di Manchester menyebabkan ramai pertikaikan keputusan ketika beliau berkhidmat di Pejabat Dalam Negeri apatah lagi ada sebilangan yang membandingkan beliau dengan ‘wanita besi’, Margaret Thatcher. Semakin mereka mula mengenali May semakin merudum popularitinya.

* Di pertengahan tempoh masa tujuh minggu kempen, parti May mula berhadapan kemelut kewibawaan. Sebagai ketua parti. May dianggap tidak mampu mengagihkan tanggungjawab bahkan cetek pengalaman memandangkan sebelum ini hanya bertanding di kawasan beliau.

Cobryn yang pada awal dikatakan lemah mengubah strategi dengan mengadakan kempen tidak formal dan bercakap secara langsung dengan pengundi.

* Manifesto yang tidak ­menyenangkan pengundi. Slogan May ‘strong and capable leadership’ bertembung dengan slogan Corbyn ‘for the many, not the few’. Wujud andaian bahawa staf May mahukan undian dilakukan segera untuk mendapatkan mandat.

Timothy, co-chief of staff dikatakan cuba memain peranan signifikan tetapi kesannya dirasai oleh parti dan pemimpin lain, khususnya dasar jaringan sosial termasuk isu pemilikan rumah.

* Kesan pengundi warga emas - Apabila tanggungjawab atas kebajikan mereka dipersoal, menyebabkan Parti Buruh mendapat kelebihan apatah lagi apabila Corbyn berjaya mendekati pengundi muda dengan peratusan keluar mengundi mencecah 69% berbanding 43% pada 2015.

* Dasar populis Parti Buruh - Corbyn menukar arah dengan cuba memperkenalkan dasar cukai lebih besar ke atas kelompok kaya dan perniagaan besar; termasuk pengenalan elemen sosial di sebalik amalan pendemokrasian negara berbanding fokus May kepada ekonomi nasionalis, keselamatan dan imigrasi.

* Media sosial - Corbyn menggunakan platform media baru untuk mendekati pengundi yang tidak dicapai sebelum ini. Ini dirungkai dengan perincian isu dan kaedah serta metodologi yang digemari pengundi muda khususnya. Isu seperti pendidikan percuma amat senang dalam kalangan mereka.

Pada masa sama, sogokan maklumat palsu kepada Parti Konservatif oleh media sendiri dengan informasi yang menyebabkan mereka selesa turut dipertikai kerana maklumat ini digunakan sepenuhnya para strategis untuk memberi keyakinan mereka telah menang sebelum pilihan raya diadakan. Sokong membawa rebah akhirnya.

* Peranan pakar data - Kepakaran menghasilkan mesej ringkas yang dekat di hati; dan penjenamaan serta pemasaran dianggap penting. Kempen Corbyn berpusat kepada apa yang dikehendaki oleh pengundi dan bukan parti.

Teknik kempen baharu untuk mendekati pengundi spesifik dan mempengaruhi pengundi yang cenderung mengundi Parti Buruh tidak dilakukan oleh May.

Sokongan tradisional ke atas dasar neoliberal tidak diimbangi dengan keberkesanan menggunakan media sosial.

* Strategi agresif May memakan diri dengan tumpuan berlebihan di kerusi Parti Buruh dan hanya satu perlima di kerusi marginal walhal Corbyn menghabiskan lebih banyak masa berkempen di kerusi yang dimenangi oleh Parti Buruh dengan margin kecil.

Dalam jangka masa tiga tahun, pengundi Britain keluar mengundi tiga kali dan menampakkan bagaimana mereka memberikan majoriti yang tidak diduga kepada Cameron namun dalam masa sama pada 2015 menyokong Brexit yang turut membawa kepada berakhirnya zaman Cameron.

Barangkali jika tarikh pilihan raya umum ini dilewatkan, May akan kalah lebih banyak kerusi memandangkan keupayaan pihak lawan memanipulasi isu, calon dan jentera mereka sepenuhnya dalam permainan persepsi pengundi pelbagai latar kelas ini.

Pengundi adalah raja dan bersifat volatile iaitu berubah-ubah walaupun ada sebilangan yang kekal setia. Ini mesej jelas daripada keputusan pilihan raya UK kali ini; bagaimana pola pengundian dalam kalangan pengundi adalah sesuatu yang bersifat tidak tetap dan berubah-ubah, khususnya kesan referendum Brexit sendiri serta manifesto parti masing-masing.

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain