STRERAM

Mengucapkan tahniah kepada pihak yang menang di Barat adalah perkara biasa apabila berlaku pertembungan politik sesuatu parti.

Kejayaan Tok Mat sebenarnya berpunca banyak daripada gabungan UMNO-Pas kerana di Rantau majoriti 55 peratus pengundinya Melayu. Melihat 79.3 peratus keluar mengundi, harus diakui adalah perkara mudah bagi majoriti kaum (Melayu) di DUN berkenaan meraih kemenangan dari skop kerjasama dua parti Melayu terbesar itu.

Barisan Nasional (BN) dan Pas dek lantaran pengalaman yang berdekad-dekad, jentera mereka lebih tersusun dan bersemarak dalam kampung-kampung di Rantau berbanding susunan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ditambah akhir-akhir ini dari segi pembelaan terhadap PH, jentera penerangan kerajaan kelihatannya tidak begitu berkesan dan efektif. Padahal sudah ada 36 perkara besar dilaksanakan oleh PH. Tetapi malangnya jentera penerangan daripada kerajaan tidak nampak bergerak secara signifikan dan menyeluruh.

Hal ini menyebabkan masyarakat dan pengundi di Rantau tidak mendengar misalnya harga minyak RON97 berada pada tahap RM2.63-RM2.68 seliter. Sedangkan semasa pentadbiran BN, harganya terus melonjak daripada RM2.36 seliter ke RM2.62 seliter.

PRK berbeza daripada Pilihan Raya Umum (PRU). Justeru menyaksikan di Rantau, fokus untuk membantu kemenangan seorang Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas

MOHAMAD HASAN
MOHAMAD HASAN 

Presiden menjadi suatu usaha bertaraf nasional melibatkan semua badan perhubungan UMNO negeri. Ia membawa semua pemimpin utama UMNO turun berkempen sejajar pula perkara-perkara yang menyentuh degupan nadi perjuangan Pas.

DIKAWAL 
SIANG-SIANG

Dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) ke PDM yang lain, didapati rumah-rumah di kebanyakan kampung di Rantau semuanya telah dikawal siang-siang lagi oleh BN sehinggakan jentera pilihan raya PH tidak mampu menerobosnya. Barangkali atas taburan budi telah lama diberikan oleh UMNO secara setempat, maka sudah kena pasang lukahnya menyebabkan PH tidak dapat bermukim.

Pada masa sama terdapat beberapa janji PH yang ditafsirkan secara politik telah memberi gambaran orang Melayu terhimpit meskipun dikatakan ia pandangan subjektif. Ini lantas mencetuskan ketakutan dalam kalangan orang Melayu terhadap ‘kemaraan kaum tertentu’, sekali gus menerbitkan suatu naluri yang selamat daripada masyarakat di Rantau dengan memilih UMNO.

Dengan kedudukan pengundi Melayu sebagai majoriti di Rantau, maka dengan mudah Tok Mat mendapat sokongan seperti dahulu, sementelahan menjadi Menteri Besar selama tiga penggal, beliau banyak berjasa termasuk di Rantau. Isu-isu termasuk ‘RM10 juta beli rumah besar (apartment) di London’ yang dikaitkan dengan beliau dalam kempen di Rantau agak tenggelam dalam percaturan politik orang Melayu dan pengundi di sana.

Impak daripada undi penjawat awam amat besar dalam pengundian awal di Rantau. Ia bukan sahaja terlihat pada pengundian awal, bahkan ketua-ketua jabatan kerajaan kini lebih tertarik pada BN. Jika diperhatikan sebelum PRU-14 ketika menteri-menteri turun berkempen, mereka boleh buat komitmen ‘kami boleh bantu anda’ yang tidak ada had atau sekatan masa itu.

‘MENTERI TURUN TAK BOLEH TOLONG’?

Tetapi kali ini walaupun menteri-menteri turun padang, mereka tidak dapat menggarap penerimaan menyeluruh di Rantau. Ini sehingga ada ungkapan nakal berbunyi “menteri turun, menteri tak boleh tolong,” begitu kata pengundi kepada akhbar ini sambil merujuk ‘menteri pun sudah sama sahaja macam sesiapa’.

Ya, dari segi demokrasi, ia memang baik pada masa depan yang bererti ‘kuasa tidak boleh mengendalikan kemenangan.’ Atas prinsip sama ada datang atau tidak ke Rantau, hujahnya menteri tidak akan membawa kenaikan gelombang sokongan kepada parti kerajaan. Ini harus disedari semua, sama ada oleh pihak kerajaan atau pembangkang, sementelahan pula didapati menteri-menteri Kabinet yang turun berkempen, daya tarikan mereka tidak pula menampakkan gelombang besar.

Di sebalik itu, kempen PRK paling berkesan di Rantau adalah bergerak dari rumah ke rumah dan sejurus kemudian bersalaman. Realiti hari ini, kempen berceramah secara rally ‘tidak besarkan air’. Gelombangnya habis di situ dengan lawak dan retorikanya. Khalayak meramaikan ceramah, tetapi bukan pengundinya. Begitupun, dukungan perkhidmatan awam bersama gabungan UMNO-Pas tampak ketara di Rantau apabila keputusan pengundian awal berpihak kepada BN. Dan keputusan pengundian awal itu merebak ke pengundian umum Sabtu lepas.

Di Rantau, PH mencanangkan, “apa yang ada pada potensi Tok Mat? Apa yang beliau boleh buat untuk masyarakat Rantau sebab Tok Mat bukan calon kerajaan?” Kempen seperti ini tidak berkesan.

PH kurang bernasib baik di Rantau dengan tempiasnya terpalit pada Dr. S. Streram apabila pengundi Melayu faktanya masih tertakluk pada sentimen kaum dengan tidak menyokong beliau. Dalam jangka panjang menggambarkan politik perkauman masih berterusan.

Dengan sebahagian saluran 3 dan 4 di mana pengundi muda tidak berpihak kepada Streram, post mortem harus segera dilakukan PKR, oleh kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya sekadar membantu mereka.

POLITIK ‘PERIUK NASI’

Mengenai desas-desus kemenangan hatrik BN di Rantau, suatu petanda menguatkan hujah ‘PH kerajaan sepenggal’, ia agak sukar diramalkan secara tepat disebabkan PRK berbeza dengan PRU. Lagipun PH baru berkuasa 11 bulan. Masa panjang lagi. Ada empat tahun lagi. Namun jika PH tidak segera menggerakkan prestasinya dan mengatasi ‘politik periuk nasi’, kemelut membabitkan PH dengan rakyat pasti berterusan.

Apa pun diakui setiap menteri harus melakukan kerja rumah yang lebih untuk membuktikan kewibawaan kerajaan hari ini. Antaranya, bagaimana setiap kementerian dapat menyalurkan perkhidmatan seberapa segera dan tersiar luas kepada yang terkait. Antaranya, menggesa prinsip Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan isu tol dikira semula jika PH ingin bersuara dengan berkesan dan menyerlahkan komitmen mereka.

Dan walaupun ada andaian mengatakan keputusan PRK Rantau akan mencetuskan kemelut politik Melayu yang besar termasuk perebutan jawatan nombor satu kerajaan, pemerhati masih berpandangan, Dr. Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kedua-duanya setakat ini mengasaskan objektif yang lebih menuntut komitmen peralihan pucuk kepimpinan yang lancar nanti. Malah, dalam wawancara mutakhirnya, Dr. Mahathir mengulangi janjinya bahawa Anwar tetap pengganti beliau.

Zaman beredar pusaka bergilir. Akan berlaku peralihan kepimpinan bila tiba harinya. Hanya Allah yang tahu apa yang tersirat di sebalik kata-kata.

PH USAH LAGI SERTAI PRK?

Dalam keadaan keputusan di Rantau - hatrik diraih BN - adakah boleh dirumuskan jika ada PRK lagi selepas ini, maka PH seharusnya tidak perlu lagi bertanding? Ini bagi mengelakkan wujud perpecahan atau kemelut melanda PH terus berulang jika PH berterusan tewas.

Meskipun PH gagal menguasai Rantau, UMNO dan Pas tidak boleh alpa. Kedudukan dua parti itu di Kelantan dan Terengganu harus juga diuji. Jalinan dua parti ini baru peringkat babak percintaan pertama, lagipun bukan gabungan berdaftar. Ujian sebenar kerjasama UMNO-Pas ini adalah apabila tiba hari untuk urusan pengagihan kerusi PRU-15 - sama ada boleh dilalui secara berkesan dan objektif. Atau umpama cinta embun sehingga tengah hari.

Waima apa pun, masih terlalu awal untuk melabelkan tiga PRK (Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau) tahun (2019) ini telah mencalarkan PH secara spesifik. PH sebenarnya bernasib baik kerana masih ada empat tahun lagi untuk mengisi komitmen dan melunaskan rule of law yang lebih berkesan.

Dan dengan itu suatu cabaran pula pada sistem demokrasi, apakah dapat dibasmi jenayah rasuah? Ini semata-matanya nanti Malaysia dapat digolongkan pada sistem yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dalam kalangan negara-negara demokratik yang lain berasaskan keluhuran undang-undang.

Bagi PH khususnya PKR pula, kekalahan di Rantau menjadi pengajaran besar.

Demi demokrasi sihat yang berpegang pada prinsip, walau apa yang berlaku dalam percaturan pilihan raya, ukhuwah Islamiah yang diamalkan perlu lebih terkehadapan dari mana-mana PRK. Yakni, orang Melayu Islam waima apa parti pun tidak harus bermusuhan. Bahkan harus melihat pemupukan fokus nasional yang lebih besar.

Ya, ini senang disebut, tetapi tidak mudah untuk diimplementasikan.