Begitulah ‘azimatnya’ hubu­ngan erat berkenaan dengan Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan kepada pelaksanaan strategi untuk mengekang dan menangani konflik yang sememangnya banyak berlaku di Laut China Selatan.

Konflik yang menjurus kepada pertikaian wilayah maritim di perairan berkenaan, sebagai contoh, sememangnya memerlukan satu pendekatan penyelesaian terbaik dan profesional.

Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak.

Itu pepatah terbaik untuk difikir bersama bagi memastikan Laut China Selatan ‘menghasilkan’ situasi ‘menang-menang’ dan makmur. Namun, silap langkah, Laut China Selatan pastinya mengundang parah serta ‘sisi gelap’ yang berpanjangan.

Memang bukan mudah meleraikan pertikaian, tetapi itulah yang perlu dihadapi dalam hendak memastikan Laut China Selatan terus mencipta keamanan dan kemakmuran, seperti yang diungkapkan oleh Ahmad Zahid.

Untuk itu, WCES yang dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) mampu menjadi platform terbaik, apatah lagi matlamat penganjurannya adalah untuk meningkatkan hubungan selain lapangan bisnes membabitkan China dan ASEAN termasuk Eropah.

WCES juga merupakan dasar yang menggalakkan dialog sesama rantau dan global terhadap kemunculan serta peranan China selaku antara ‘pemegang’ kuasa ekonomi dunia.

Ini bertepatan dengan dasar Satu Jajaran, Satu Laluan (One Belt, One Road) atau OBOR, satu inisiatif yang diumumkan oleh Presiden China, Xi Jinping dalam menjayakan strategi pentadbiran Beijing ke arah menerajui kepemimpinan dunia dari segi ekonomi dan diplomatik.

Tak terkecuali Malaysia, OBOR yang melangkaui sempadan antara benua adalah satu bentuk lakaran semula peta perdagangan dan geopolitik dunia de­ngan menjadikan China sebagai pemacu globalisasi zaman serba canggih ini.

Sudah tentu China menyasarkan untuk membentuk rangkaian kerjasama baharu dengan negara-negara lain termasuk di Asia, Afrika dan Eropah khususnya dari segi pelaburan infrastruktur.

Memetik ucapan Jinping, dunia hari ini perlu mencipta suasana yang boleh mempromosikan pembangunan secara terbuka selain menggalakkan penubuhan sistem yang lebih ‘adil, munasabah dan telus untuk perdagangan antarabangsa’.

Selama lebih 2000 tahun, laluan sutera telah menghubungkan China ke Asia Tenggara dan China dengan Barat. Oleh yang demikian, OBOR pastinya akan menyusun semula pautan bersejarah itu.

Atas sebab itu, WCES diletakkan pada tempat yang terbaik untuk menjadi acara utama membincangkan potensi-potensi inisiatif berkenaan. WCES 2017 bermula hari ini selama dua hari (13 dan 14 November) di Island Shangri-La Hotel, Hong Kong.

Ahmad Zahid sekali lagi dijangka memberikan ucaptama dalam perjalanan Malaysia mengejar negara maju di bawah aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Baru-baru ini, dalam sesi Dialog TN50 bersama lebih 1,000 peserta terdiri daripada usahawan muda sempena penganjuran program Daya E-Usahawan 2017, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyentuh China sebagai satu kuasa ekonomi yang perlu diberikan perhatian.

Malah beliau menegaskan pelancaran platform Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang turut membabitkan kerjasama syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba Group, merupakan antara manifestasi kerajaan menyediakan persekitaran yang dapat membantu rakyat Malaysia khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Platform itu membolehkan peniaga-peniaga tempatan menerokai pasaran China yang dianggap sebagai antara pengguna terbesar dunia dan Najib mengambil contoh durian jenis Musang King yang dijual pada harga RM800 sebiji di China.

“Ini menggambarkan betapa besar potensi pasaran di China yang boleh diterokai oleh PKS tempatan termasuk yang berada di luar bandar,” katanya.

Sempena Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia (WCES) 2017 hari ini