KETUA Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Dr. Noordin Ahmad, melihat alam cakerawala menggunakan teleskop di Planetarium Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini. GAMBAR HIASAN

Dari sudut sejarah pula, Ibnu Finas ialah orang terawal memperke­nalkan konsep penerbangan menggunakan prinsip kepak sayap seperti burung. Percubaan beliau yang pertama menggunakan alat ciptaannya pada tahun 852 di sebuah menara masjid di Cordoba.

Percubaan pertamanya ini gagal tetapi beliau terselamat kerana menggunakan baju keselamatan atau kini dikenali sebagai payung terjun. Usaha beliau tidak terhenti di situ. Ketika berusia 65 tahun iaitu sekitar tahun 875 beliau mela­kukan percubaan terakhir bagi mem­buktikan kebenaran teori pe­nerbangannya. Percubaan itu dilakukan di Jabal Al-Arus di Cordoba dengan disaksikan oleh segelintir pemerhati yang beranggapan Ibn Firnas kurang waras. Kali ini beliau gagal membuat pendaratan yang sempurna dan mengalami kecedera­an parah. Ibn Firnas me­ninggal dunia 12 tahun kemudian.

Seorang sejarawan Philip K.Hitti di dalam bukunya History of the Arabs telah mencatatkan, “Ibnu Firnas was the first man in history to make a scientific attempt at flying.” Sebagai penghormatan terhadap usaha-usaha Ibn Firnas, National Aeronautics and Space Administration (NASA) di Amerika Syarikat menamakan sebuah kawah di bulan - Ibnu Firnas Crater iaitu bersempena nama tokoh Islam ini. Sebuah lapangan terbang di utara Baghdad turut dinamakan Ibnu Firnas Airport.

Usaha-usaha penerokaan tekno­logi angkasa ini seterusnya dikembangkan dengan kejayaan Hezarfen Ahmad Celebi di Turki. Beliau berjaya menyeberangi selat Bosporus di Istanbul menggunakan pesawat buatannya sendiri sejauh kira-kira tiga kilometer dan berjaya mendarat dengan selamatnya.

Kini penerokaan teknologi aero­angkasa diteruskan melibatkan kewangan yang besar dan memakan masa yang panjang. Negara-negara maju mengambil masa sekurang-kurangnya 50 tahun untuk mencapai tahap sekarang ini.

Malaysia juga tidak mahu ke­tinggalan dalam penerokaan bidang ini. Sebagai langkah awal penerokaan bidang aeroangkasa mengikut acuan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri telah meletakkan batu asas dengan menganjurkan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang pertama pada 1994.

Pada mulanya pameran ini menjadi medan pameran pesawat-pesawat ringan tetapi kini telah berubah jauh menjadi platform terbaik bagi pengeluar dan industri berkaitan bidang aeroangkasa dan maritim mempromosikan teknologi terkini masing-masing.

Apa yang menariknya, LIMA ke-13 yang baru berlangsung dari 17 hingga 21 Mac lalu berjaya menarik perhatian antarabangsa yang sekali gus menggambarkan hala tuju dasar luar Malaysia. Sebagai Pengerusi ASEAN 2015, LIMA turut dijadikan venue bagi Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Forum Perniagaan ASEAN, Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN, Himpunan Belia ASEAN dan lain-lain lagi.

Dunia kini melihat kemampuan Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara industri aeroangkasa menerusi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Penganjuran LIMA telah melon­jakkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Sebuah negara yang kecil mampu menarik minat pemain-pemain industri aeroangkasa dan maritim untuk turut serta dalam pameran ini. Banyak perpindahan teknologi dalam bentuk usahasama yang berlaku sepanjang penganjurannya.

Tetapi apa yang lebih penting, LIMA memberi ruang kepada rakyat Malaysia khususnya generasi akan datang untuk mengenali apakah itu teknologi aeroangkasa.

Di sini akan bermulanya bibit-bibit minat belia dan pelajar mendalami ilmu cakerawala dan sete­rusnya menyokong hasrat negara melahirkan lebih ramai saintis dan pakar dalam bidang berkenaan.

Kehadiran belia dan pelajar sekolah seharusnya diberi keutamaan dan disusun atur cara yang menarik untuk mereka agar dapat memanfaatkan penganjuran acara yang cukup berprestij dan dinanti-nantikan saban tahun ini.

Penguasaan teknologi akan dapat mengangkat maruah sesebuah negara seterusnya menggetarkan musuh-musuh kita.

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang amu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfaal:60)

PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).