Pengalaman beliau melihat sendiri mangsa peperangan yang begitu menyayat hati ketika bertugas di Yemen beberapa tahun lalu memberi motivasi kepada Azize untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada umat Islam di rantau Asia Tenggara yang masih aman.

“Pernah semasa saya melawat produk kilang di pelabuhan Eden di Yemen dan kemudian turun ke Sanaa berlaku peperangan di sana. Depan mata saya sendiri sebuah kereta Toyota diletupkan berkecai dan enam penumpangnya maut serta-merta. Kami lari dan bersembunyi dalam sel di bawah tanah.

“Insiden kedua, berlaku semasa bertugas di Pakistan. Ketika itu saya baru keluar dari Hotel Marriott di Islamabad. Letupan berlaku depan mata saya. Seramai 15 orang maut. Saya bersyukur terselamat,” cerita Azize lagi yang pernah bertugas sebagai Pengurus Besar Pemasaran Timur Tengah sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Dubai.

Justeru, apabila diberi peluang mengetuai operasi ATS Global Travel, syarikat catar (sewa khas) penerbangan umrah, Azize berazam mahu menjadikannya sebuah syarikat terbaik di Asia Tenggara bagi kemudahan dan keselesaan umat Islam.

“Saya bersyukur bila balik ke Malaysia negara kita aman. Tiada peperangan, rakyat hidup mewah dan bekalan makanan mencukupi. Tidak seperti di negara lain yang sedang bergelut dengan peperangan seperti berlaku di Timur Tengah,” jelas Azize.

ATS Global Travel & Charter yang ditubuhkan sejak 2015 merupakan syarikat bumiputera yang menyediakan perkhidmatan catar penerbangan umrah bagi kemudahan kira-kira 40 syarikat pelancongan di negara ini termasuk Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Antara syarikat dan ejen pelancongan yang menggunakan perkhidmatan ATS Travel ialah Felda Travel, Mohibbin Travel, Iman Travel, Pt. Penjuru, Pt. Riau Wisata, Pt. Luandry, Jom Kembara, Kembara Umrah, CS Holiday, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan agensi kerajaan.

“Alhamdulillah memasuki tahun keempat musim 2017 dan 2018, seramai 20,000 jemaah telah menggunakan perkhidmatan catar (sewa khas) pesawat Airbus A380 MAB untuk menunaikan umrah,” jelas Azize.

Menurut Azize perkhidmatan catar pesawat yang ditawarkan ATS berbeza dengan pihak lain yang menyediakan perkhidmatan yang sama termasuk pakej umrah.

“Apa yang membezakan, pihak ATS tidak menawarkan pakej umrah tetapi hanya menjual tempat duduk dalam pesawat untuk sewa khas kepada syarikat dan ejen pelancongan,” terangnya.

Pesawat Airbus A380 disewa khas oleh ATS Travel melalui perjanjian yang dimeterai bersama Malaysia Airlines Bhd. (MAB) pada tahun 2015.

Mulai 26 Oktober 2017, ATS Global Travel & Charter menyediakan empat kali penerbangan dalam seminggu (Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu) membawa jemaah mengunakan pesawat Airbus A380 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah dan Jeddah ,” katanya.

Menurut Azize, pesawat Airbus A380 mampu membawa 483 jemaah iaitu 374 orang bagi kelas ekonomi, 63 orang kelas perniagaan dan lapan penumpang kelas pertama bagi laluan Kuala Lumpur – Jeddah – Kuala Lumpur serta Kuala Lumpur – Madinah – Kuala Lumpur.

Pihak ATS Global Travel turut menyediakan wakil bagi mengendalikan urusan pelepasan penerbangan untuk jemaah semasa berada di Madinah dan Jeddah.

Selain itu perkhidmatan disediakan juga mesra Orang Kurang Upaya (OKU), pakej smart kid, kemudahan wuduk (spray) untuk bersolat dalam pesawat dan sapuan krim untuk jemaah dalam penerbangan.