Satu ketika dahulu, kita di­beritahu apabila bayaran dikenakan untuk setiap plastik ia akan dimasukkan dalam tabung khas untuk tujuan tertentu bukan sebagai pulangan kepada penjual atau pihak pasar raya. Malangnya hari ini, pasar raya menjual beg khas kitar semula dengan harga yang bukan murah tanpa menyediakan pilihan lain yang sebaliknya menyalahkan pengguna kerana tidak membawa beg sendiri.

Oleh itu, proses pendidikan penting dalam memastikan kelestarian masa hadapan, bukan sahaja dalam konteks alam sekitar tetapi juga dalam menjamin ­kesejahteraan masyarakat dan negara yang sekali gus akan mengingatkan peranan setiap individu terhadap usaha ini yang melibatkan segenap institusi pendidikan formal dan tidak formal.

Jika kedua-duanya dilihat secara bersekali dan saling bergantung, kita akan lebih memahami dan menghargai kepentingannya dalam konteks pendidikan yang dapat menjamin kelangsungan kelestarian dan kesejahteraan sosial yang perlu dibuat bukan hanya dengan ketegasan peraturan dan undang-undang tetapi juga dengan mengubah sikap, amalan dan tindakan setiap anggota masyarakat terhadap peranan dalam melakukan perubahan secara holistik.

Kerana itu, gesaan Penyandang Kursi UNESCO di York University Toronto, Kanada, Profesor Dr. Charles Hopkins yang memberi syarahan di Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini tentang peranan pendidik dan kepentingan proses pendidikan pada semua peringkat untuk memastikan kesejahteraan masyarakat terpelihara adalah amat penting untuk diberikan perhatian.

Tegas beliau, pendidikan pada abad ke-21 seharusnya menekankan kepada kepentingan menzahirkan aspek kesejahteraan umat manusia seluruhnya melalui u­saha-usaha menjayakan pembangunan yang mapan dan les­tari.

Berdasarkan pengalaman beliau di UNESCO yang memfokuskan kepada usaha pembangunan dan penyelarasan jaringan antarabangsa yang melibatkan pelbagai institusi pendidikan di lebih 70 buah negara untuk menjayakan Pendidikan 2030 (Education 2030) dan Sustainable Development Goals (SDG) yang masih baharu dilaksanakan, terdapat banyak usaha yang perlu dibuat untuk menjadikan proses pendidikan sebagai mekanisme ­penting mentransformasikan kehidupan yang lestari dan sejahtera demi masa hadapan.

Pertanyaan yang dilontarkan beliau tentang bagaimana untuk mewujudkan sistem ekonomi yang membolehkan individu dan komuniti maju ke hadapan serentak dengan keupayaan untuk melestarikan alam dan kesejahteraan sosial untuk generasi masa hadapan tentunya sangat relevan yang perlu difikirkan secara serius.

Peranan institusi pendidikan malah juga institusi masyarakat lain termasuk sektor perniagaan perlu mempunyai kerangka kerja dan tindakan yang jelas untuk melaksanakan hasrat ini secara bersungguh-bersungguh dengan memperkasakan setiap ­pemegang taruh serta menghakupayakan mereka dengan ilmu pengetahuan, sikap dan tindakan yang dapat membantu mencapai hasrat ini.

Kebanyakan negara maju terutamanya Jepun, mendidik anak-anak seawal mungkin de­ngan mendisiplinkan mereka untuk menghormati alam, manusia dan persekitarannya. Malah sejak lama dahulu, dalam proses pendidikan negara kita, sekolah terutamanya menjadi antara tempat penting membina dan membangunkan sikap cintakan alam sekitar dan menghormati orang lain melalui pelbagai kaedah pendidikan formal dan tidak formal termasuk amalan mengutip sampah dan mencuci tandas yang disalahtafsir sebagai satu mekanisme menghukum kesalahan disiplin oleh sesetengah pihak.

Suntikan nilai-nilai murni ini perlu dimulakan seawal usia dalam institusi pendidikan formal seperti tadika dengan menekankan kepentingan amalan-amalan murni ini dan menolak sikap tidak beradab, biadab malah ­melakukan tindakan-tindakan yang boleh mengganggu kesejahteraan dan keselamatan bumi mahu pun orang lain. Apatah lagi ditegaskan melalui kepercayaan dan amalan agama yang sama sekali menolak segala perbuatan yang bercanggah dengan fitrah kemanusiaan.

Contohnya, mendidik amalan membuang sampah dengan cara yang betul, menggunakan tandas dengan cara sewajarnya, menghormati hak orang lain, kasih ­sayang dengan menghargai kepelbagaian agama, budaya dan cara hidup, menolak perbuatan yang tidak bersesuaian dengan norma hidup bersama, adab dalam percakapan, mengelakkan pertelingkahan dan konflik, bertoleransi dalam tindakan, membangunkan nilai-nilai hidup yang murni dan banyak lagi yang boleh dilakukan tanpa melibatkan proses pendidikan yang terlalu formal dan bersifat menghukum atau negatif.

Sebaliknya seperti kata Hopkin dalam soal jawabnya, jadikan proses pendidikan sebagai sesuatu yang menarik, interaktif dan lebih bersifat memberikan maklumat yang realistik bersesuaian dengan pemikiran anak-anak mahu pun mereka yang berada dalam institusi pendidikan ber­kenaan.

Bagaimana misalnya, memahamkan anak-anak terhadap pentingnya menggunakan bahan berbahaya tidak terurai dan mengelakkan penggunaan polisterina dan plastik dengan memberikan pilihan lain serta kaedah yang dapat membantu dengan menjadikannya sebagai satu aktiviti yang sihat dan wajar.

Begitu juga mendidik anak-anak terhadap cara dan gaya hidup yang sihat dan sederhana, menolak tindakan yang mengancam kesejahteraan sosial, tidak melakukan amalan yang boleh memberi kesan buruk dalam jangka panjang terhadap manusia dan alam, mendidik untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal serta banyak aspek lain yang perlu dibangunkan dengan kefahaman yang jelas terhadap sebab akibatnya yang akhirnya mampu membolehkan seseorang memperkasakannya secara sukarela tanpa hanya menanti tindakan pihak berkuasa, peraturan dan undang-undang apatah lagi de­ngan menganggap itu bukan tanggungjawabnya.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Universiti Sains Malaysia.