Remaja dalam lingkungan umur 20-an sepatutnya sudah baligh dan mempunyai akal waras untuk menilai sesuatu yang baik dan buruk. Sebagai remaja Islam yang dibesarkan dalam negara yang prihatin terhadap pendidikan agama maka kejadian mencederakan rakan sehingga menyebabkan kematian adalah satu perbuatan amat kejam. Bulan Ramadan adalah satu bulan di mana kekuatan syaitan dan jin-jin yang degil dilemahkan oleh Allah SWT dengan tujuan memberi peluang kepada umat Islam supaya memperbaiki diri secara mematuhi disiplin berpuasa.

Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: “ Apabila masuk malam pertama bulan Ramadan, maka syaitan-syaitan dan jin-jin yang degil (kuat) dirantai dan diikat.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan lain-lain).

Jika perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan dilakukan oleh umat Islam dalam bulan yang mulia ini maka perbuatan tersebut adalah berkaitan dengan akhlak dan tingkah laku yang sudah sebati dalam jiwa mereka. Individu yang gemar membuli dan mencederakan rakan-rakan sudah dipengaruhi oleh nafsu al-ammarah di mana nafsu ini membentuk keperibadian ganas dan tidak berperikemanusiaan. Apabila nafsu ini sudah sebati dalam sanubari mereka maka men­cederakan rakan-rakan adalah satu kegemaran dan kepuasan pada diri mereka. Jika graduan universiti mempunyai ciri-ciri begini maka hancurlah masyarakat dan negara.

Pelajar universiti adalah individu yang dipilih berdasarkan kepada pencapaian akademik, kematangan dan keperibadian mulia. Kerajaan melaksanakan pelbagai perancangan berkaitan masa hadapan rakyat dan negara. Para pelajar dari universiti yang menekankan aspek pertahanan dan keselamatan negara sepatutnya mempunyai keperibadian dan tingkah laku yang dihormati kerana mereka dilatih dan diasuh dengan disiplin tinggi dan sanggup mengorbankan diri demi ­keselamatan negara.

Individu-individu yang dilatih dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara sepatutnya mempunyai semangat setiakawan yang tinggi kerana matlamat perjuangan mereka adalah sama. Perbuatan mendera dan mencederakan rakan seperjuangan sehingga mati adalah perbuatan kejam yang tidak sepatutnya berlaku dalam institusi pertahanan nasional dalam negara ini. Sejauh manakah keberkesanan latihan dan didikan di institusi tersebut menjadi persoalan masyarakat dalam negara ini kini? Sepatutnya latihan kerohanian dan jati diri dijadikan pelengkap kepada kursus yang ditawarkan kepada pelajar. Jika mata pelajaran agama dan latihan kerohanian sudah dilaksanakan di institusi berikut maka persoalannya sejauh manakah ilmu dan latihan itu dapat memberi kesan terhadap pembentukan keperibadian dan jati diri pelajar?

Sifat belas kasihan dan rasa bertanggungjawab antara satu lain perlu dipupuk di peringkat persekolahan dan institusi pengajian tinggi supaya pelajar dapat merasai bahawa hubungan sesama manusia adalah penting dalam kehidupan. Perasan dan sifat begini hanya dapat dipupuk apabila sekolah dan institusi pengajian tinggi menekankan aspek keagamaan dan kerohanian dalam sistem pendidikan mereka.

Apabila wujud kelompok pelajar yang gemar membuli rakan-rakan sehingga ke tahap men­cederakan dan maut maka situasi di sekolah atau institusi pengajian tersebut adalah tidak sihat. Oleh itu, sistem pembelajaran dan pentadbirannya perlu dikaji dan disemak semula. Penekanan terhadap pendidikan kerohanian dan sivik perlu diper­kukuhkan supaya setiap pelajar dapat menghayati ajaran agama secara sempurna.

Permasalahan ini hanya dapat ditangani melalui latihan disiplin diri yang tegas disertai dengan pengisian ilmu agama dan kerohanian. Ini adalah tugas utama golongan pensyarah agama yang ditugaskan di institusi tersebut kerana mereka ialah individu-individu diamanahkan oleh Allah dan negara mendidik dan mengasuh pelajar mengenai konsep kehidupan di dunia dan di akhirat sepertimana Firman Allah dalam Surah 9 (al-Taubah): 122 yang bermaksud: “Tidak sepatutnya bagi orang yang mukmin itu semua­nya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalamkan pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”.

Didikan agama bukan sekadar memberi ilmu sahaja malah ­merangkumi aspek praktikal dalam pelbagai perancangan yang boleh menarik minat pelajar menceburi program agama dan membangkitkan hati nurani dan pemikiran mereka agar menjadi orang yang beriman dan menghayati ajaran Islam.

Konsep kemanusiaan dan kasih sayang sesama insan adalah salah satu intisari pengajian Islam yang perlu disemarakkan dalam sistem pendidikan negara sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Allah menciptakan rasa kasih sayang itu menjadi seratus bahagian. Sembilan puluh sembilan daripadanya disimpan di sisi-Nya, sedangkan satu bahagian diturunkan ke bumi. Dengan kasih sayang yang satu bahagian itulah para makhluk saling berkasih ­sayang, sehingga kuda pun mengangkat kakinya kerana takut anaknya terinjak.” (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan kepada pelbagai kejadian kekejaman dan tidak berperikemanusiaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja maka sistem pendidikan negara perlu menyeimbangkan kepentingan pendidikan keagamaan dan sivik seiring dengan pendidikan konvensional supaya generasi muda dapat menjadi pemangkin negara dan masyarakat yang berwibawa dan dihormati.

 

Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.