Pengambilalihan sesebuah perusahaan adalah perkara biasa yang menjadi asam garam dunia korporat yang akan dan terus berlaku.

Namun masa berlalu. Sebagaimana manusia yang tidak akan kekal, sesuatu perusahaan yang dibina menurut model berpuluh-puluh tahun yang lalu tidak lagi relevan atau boleh dipertahankan sampai bila-bila.

Cabaran sentiasa mendepani perusahaan dan ia menuntut usaha dibuat untuk mengatasi setiap rintangan sepanjang masa.

Akhirnya, perusahaan tidak tertanggung lagi dengan badai yang melanda. Kerugian semakin membebankan dan buku akaun yang sentiasa ‘hitam’ bertukar ‘merah’, tahun demi tahun demi ta­hun.

Ibarat berada di atas padang pa­sir apabila ada sahaja yang akan menemui ajal, maka akan adalah yang pemangsa lain me­ninjau-ninjau, sama ada apa yang dilihat boleh menjadi habuannya.

Begitu juga halnya dalam dunia korporat, kitaran ganas ini tidak pernah terhenti kerana akan sentiasa ada yang menanti ruang dan peluang ‘menyambar’ apa juga yang terhidang untuk dijadikan santapan.

Bak kata pepatah Inggeris, one men’s trash is another men’s trea­sure, begitulah juga halnya dalam dunia korporat.

Sekadar memberi satu contoh yang mudah difahami, tanpa sebarang sentimen membabitkan sesiapa, realiti sektor korporat dalam mendayungi iklim ekonomi yang mencabar atau apa juga faktor yang tidak memungkinkan sesuatu perusahaan itu bertahan lebih lama.

Penulis menyentuh subjek ini kerana ada terbaca hasrat oleh syarikat tertentu untuk mengambil alih syarikat terkemuka yang berupaya menjana kewangan besar atau istilah korporatnya lembu kontan (cash cow).

Mengapa syarikat yang menjadi penjana keuntungan perlu dijual? Bukan menjana berpuluh juta ringgit setahun malah beratus juta ringgit setahun.

Begitu juga dengan laporan me­ngenai syarikat senaraian awam yang membawa nama besar dalam dunia korporat, secara tiba-tiba mengumumkan akan mengadakan skim perpisahan sukarela (VSS).

Perkembangan-perkembangan sebegini akan membuka mata kepada penceroboh korporat (corporate raider) mengintai peluang, baik untuk syarikat yang menjana keuntungan atau kepada si pemilik perusahaan yang belum lagi mengibar bendera putih, me­nyerah kalah.

Menanggung kerugian tahun demi tahun tidak bermakna perusahaan terbabit langsung tiada nilai kerana terdapat aset-aset yang boleh dicairkan.

Penceroboh korporat ini bia­sanya terdiri kalangan ahli perniagaan yang bijak menghidu kesempatan dengan melakukan usaha wajar (due diligence) dan membuat penilaian berhubung langkah seterusnya.

Mereka ini biasanya disokong oleh tokoh-tokoh berpengaruh dan kewangan yang kukuh.

Mereka akan bersaing sesama mereka dan memberikan tawaran terbaik kepada pemilik perusahaan untuk mengambil alih perniagaan yang dijalankan.

Sebaik sahaja perusahaan di tangan mereka, segala yang tersurat dan tersirat menjadi kenyataan.

Apa sahaja boleh berlaku.

Bagi pekerja yang telah bersama-sama membangunkan perusahaan yang diwakilinya, ia ada­lah umpama meniti saat getir. Emosi biasanya menguasai mereka ini kerana menganggap orga­nisasi yang dibangunkan adalah sebahagian daripada diri mereka.

Justeru, perasaan sentimental terhadap organisasi yang diwaki­li kerap menyelubungi sentimen pekerja yang akan mempertahankan apa yang dibina, daripada lenyap dan tersimpan dalam lipatan sejarah.

Bagi penceroboh korporat pula, keutamaan mereka ialah bagaimana memperoleh pulang­an lumayan daripada pengambilalihan yang dibuat dan apa juga yang bakal terjadi adalah kasualti atau collateral damage daripada operasi ‘menyelamat’ yang dibuat.

Sama ada perusahaan itu akan ‘dilapah’ atau usaha bertungkus lumus untuk mengembalikan perusahaan sebagai usaha yang mendatangkan semula keuntu­ngan terserahlah kepada budi bicara pemilik baharu.

Dalam sesetengah hal, ada sya­rikat yang kembali untung ekoran pemilikan baharu dan ada juga yang lenyap setelah apa juga yang bernilai, dijual satu demi satu.

Begitulah dunia korporat dan kitaran ganasnya yang adakala­nya nampak lembut tetapi tidak dapat dipastikan kesudahannya.

Pertukaran pemilikan, tentunya akan meninggalkan kesan calar kepada pendukung perusahaan dan tanggungannya.

Penulis teringat kepada filem Pretty Women lakonan Richard Gere dan Julia Roberts pada 1990.

Gere yang memegang watak Edward Lewis, seorang ahli perniagaan yang kaya, tiba di sebuah bandar di Amerika Syarikat ber­kenalan dengan Roberts, seorang pelacur jalanan yang memegang watak Vivian Ward.

Filem romantik komedi ini me­ngisahkan Lewis dan pasukan penceroboh korporatnya dalam misi mengambil alih sebuah perusahaan.

Matlamat asal Lewis ialah untuk mengambil alih dan ‘melapah’ syarikat yang mahu dibelinya de­ngan matlamat untuk mendapatkan keuntungan segera.

Dalam proses ini, peguam Le­wis mengesyaki Ward menjadi pe­ngintip kepada penceroboh kor­porat yang menjadi saingan mereka.

Akhirnya, konflik dan dibangkitkan dalam filem yang menarik ini terungkai dan Lewis memenangi persaingan mendapatkan perusahaan yang bermasalah itu.

Lewis berjanji untuk memulih­kan perusahaan yang baru diambil alihnya dan membatalkan hasrat untuk memecah-mecah dan menjualkan aset syarikat terbabit.

Itu filem Hollywood, tetapi dalam realitinya, penceroboh kor­porat atau corporate raider ini, penyelamat atau pemusnah?