Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 97 yang memberi maksud bahawa ibadah haji itu merupakan kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang berkemampuan melakukan perjalanan ke Baitullah.

Allah SWT juga menegaskan, mana-mana individu yang sengaja mengingkarinya, Allah tidak sedikit pun terkesan dengan sikap orang sebegini kerana Allah itu Tuhan Yang Maha Kaya, Yang tidak memerlukan sesuatu dari seluruh alam.

Antara tujuan haji, adalah memperbaharui ikrar beriman terhadap Allah SWT. Iaitu, pembaharuan terhadap semangat dalam membina rangsangan dan ketekalan seseorang untuk berperanan sebagai hamba kepada Penciptanya; tunduk, taat dan patuh terhadap-Nya dengan sepenuh hati.

Ibadah haji yang dilakukan dengan sempurna dan ikhlas akan menghapuskan dosa-dosa kecil. Ia turut menaikkan darjat keimanan individu itu. Selain itu, ia juga sebagai tanda kesyukuran seorang hamba pada Tuhannya terhadap anugerah harta dan kesihatan yang baik. Ini kerana ibadah ini melibatkan perbelanjaan yang agak besar dan memerlukan kesihatan yang baik kerana tugas dalam ibadah ini memerlukan kekuatan tenaga dan emosi yang sihat.

Haji juga merupakan latihan yang cukup baik bagi meningkatkan kesabaran serta ketabahan seseorang. Dan kesabaran mula teruji ketika wang sedang dikumpulkan sehingga mencukupi.

Demi kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya, ibadah ini akan memberikan pulangan yang amat menguntungkan kepada pelaksananya; keuntungan yang bersifat kerohanian, jiwa yang kukuh dan hati yang lebih yakin untuk bergantung pada Allah SWT sebagai tempat pergantungan mutlak. Tidak pernah pun kita dengar khabar tentang seseorang yang selepas pulangnya dari mengerjakan haji, ataupun umrah mengalami kerugian atau muflis. Namun, sekiranya ada sekalipun tentunya ia kafarah yang bertujuan menyucikan harta dan hati individu berkenaan. Keuntungan yang didapati di dunia kerana mengerjakan haji adalah keuntungan yang bergerak tanpa henti menuju ke akhirat.

Disiplin ibadah haji, sebenarnya bukan bermula pada ketika kaki menginjak di al-Haramain atau tatkala kapal terbang yang membawa rombongan haji mendarat di Jeddah, tetapi pada saat ia memahami bahawa haji itu rukun Islam yang kelima. Dalam erti kata memahami pensyariatan dan falsafahnya, juga justifikasi syarat-syarat dan hukum-hakam tentangnya.

Pahala yang diberi bukan dinilai pada perbuatan tertentu semata-mata seperti tawaf, wukuf atau bertahallul, malahan turut dinilai pada keikhlasan hati. Sumber wang yang digunakan turut diambil kira bagi mendapatkan haji yang mabrur.

Disiplin dalam haji ini juga mengenai kesabaran seseorang ketika membuat urusan tadbir urus sebelum ia bertolak ke tanah suci dan mengenakan ihram. Harus diingat apabila secara konsepsinya ia merupakan 'kunjungan', maka ia bersifat tindakan bersaling kerana ia juga merupakan 'jemputan' daripada Allah SWT.

Membuktikan kepada Allah menurut kudrat dan kemampuannya, bahawa ia berhasrat untuk melakukannya. Maka harus difahami bahawa kemampuan itu juga berada dalam lingkungan kekangan-kekangan lain yang melibatkan prosedur dan dasar-dasar pihak berkuasa. Contohnya, seseorang yang sudah mempunyai modal yang cukup dan telah mendaftar untuk mengerjakan haji masih perlu menunggu giliran sebelum ia pergi bersama- sama jemaah yang lain ke al-haramain.

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini ibadah haji merupakan perjalanan kerohanian, maka ia menggambarkan proses mendekatkan diri kepada Allah sebagai penguasa alam dan penyucian jiwa (tazkiyyah) seorang hamba. Dan proses ini berada dalam hubungan dua hala-hamba dan Penciptanya, tetapi perlu juga difahami bahawa ia turut melibatkan hamba-hamba Allah yang lain. Yang juga sama-sama menuju ke matlamat yang satu.

Maka, ibadah ini sama ada secara langsung ataupun tidak turut melibatkan orang lain. Contohnya, penglibatan muhrim bagi bakal haji dalam kalangan wanita. Sehubungan ini, agama Islam tidak mengajar umatnya untuk menzalimi orang lain walaupun dalam keadaan darurat. Agama yang mulia ini juga tidak memberi ruang kepada umatnya mencari pahala dengan cara menganiaya orang lain.

Begitu jugalah halnya dalam ibadah haji. Untuk menghasilkan haji yang mabrur, ia harus bersih daripada unsur-unsur dosa dan maksiat. Reda Allah terhadap kehidupan hamba-Nya adalah apabila ia menjaga hubungannya dengan Tuhannya dan sesama manusia.

Sekiranya terdapat bakal haji yang sanggup terlibat dalam rasuah bagi mendapatkan peluang mengerjakan haji lebih awal, ia sebenarnya membuat pencabulan terhadap proses tazkiyyah hati dan jiwa. Ini kerana mencuri modal orang lain dalam bentuk masa yang hakikatnya lebih berhak mengerjakan haji terlebih dahulu.

Pepatah Cina mengatakan, 'masa itu emas, tetapi emas tidak dapat membeli masa', menunjukkan bahawa masa merupakan modal yang amat berharga malah ada ketikanya ia lebih berharga berbanding harta dan wang ringgit. Mereka yang tidak menunaikan haji, tetapi turut bersubahat dalam rasuah untuk mengerjakan ibadah haji, juga boleh dikategorikan sebagai pencuri modal orang lain yang sabar mengikut peraturan dengan menunggu giliran.

Melalui Hadis yang diriwayatkan oleh at- Tarmizi, Rasulullah SAW telah memberi amaran kepada pemberi dan penerima rasuah bahawa kedua-dua golongan ini akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan selain itu, Rasulullah SAW juga menerusi Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad amat melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan yang menjadi perantara.

Tentunya kita tidak terbayang bagaimana Allah SWT memandang seseorang yang menginjakkan kakinya ke Baitullah untuk melakukan proses penyucian jiwa sedangkan ia sedang dilaknat oleh Rasulullah SAW. Dia cuba 'bermuamalah' dengan Allah sedangkan pada masa sama, berkaitan muamalah itu, urusannya dengan orang lain masih tergantung.