Pokemon sebelum ini merupakan rancangan kartun bersiri popular mengisahkan sekumpulan pengembara mencari dan mengumpul koleksi haiwan unik yang dipanggil sebagai Pokemon.

Selain siri kartun, Pokemon turut diperkenalkan melalui siri game yang dahulu cukup terkenal dalam kalangan pemilik Gameboy dan Nintendo seperti Pokemon Red, Green, Blue, Yellow, Ruby, Sapphire dan Emerald.

Permainan yang mula diperkenalkan pada 1996 itu hari ini telah mencetuskan sebuah fenomena apabila syarikat The Pokemon mengeluarkan aplikasi permainan terbaharu iaitu Pokemon Go.

Tarikan terbaharu dalam game Pokemon kali ini adalah, pengguna tidak lagi memerlukan sebarang konsol khusus untuk bermain, cukup sekadar memiliki telefon pintar dan sambungan internet untuk bermain.

Oleh yang demikian, para peminat tegar Pokemon tanpa mengira peringkat umur tidak melepaskan peluang untuk memuat turun aplikasi permainan Pokemon Go ke dalam telefon bimbit masing-masing.

Cara bermain permainan tersebut masih sama seperti sebelum ini iaitu pemain bertindak sebagai pengembara. Pemain akan keluar mencari Pokemon untuk berlawan ataupun menangkapnya.

Menariknya, game tersebut turut menggunakan platform peta sebenar, menyebabkan sesetengah kawasan di AS dikerumuni ramai orang yang hendak menangkap Pokemon di tempat itu.

Di New York, orang ramai kelihatan mundar-mandir sambil memegang telefon bimbit sementara fon kepala melekat di telinga masing-masing seperti sedang memburu.

Walaupun baharu dua minggu diperkenalkan, populariti game tersebut meningkat begitu mendadak apabila ramai 
orang memuat naik video 
dan gambar di media sosial mengenai lokasi terdapat Pokemon terkuat serta cara menangkap Pokemon yang sukar ditangkap.

Berikutan itu, pada Isnin minggu lalu, aplikasi permainan Pokemon Go telah menduduki carta teratas sebagai aplikasi percuma popular di Apple Store dan Google Play.

Walau bagaimanapun, Pokemon Go masih belum diterbitkan buat peminat Pokemon di negara Asia Tenggara.

Bagaimana agaknya fenomena Pokemon Go di Malaysia nanti, kalau di AS pun, banyak perkara pelik berlaku termasuklah penemuan mayat, kemalangan dan sebagainya. Kini, Pokemon Go baharu boleh diakses di 26 buah negara termasuk Australia dan New Zealand.