Sejak kejadian tersebut, hidup wanita itu berubah sepenuhnya apabila dia kini terpaksa bergantung kepada orang lain kerana dirinya tidak lagi mampu mengurus dirinya sendiri selain tahap kesihatan mentalnya yang semakin lemah.

Mengimbas kembali kejadian tersebut, remaja lelaki berusia 19 tahun itu pada awalnya berpura-pura ingin menjadi penjaga wanita itu sebelum bertindak menolak mangsa jatuh ke lantai dan menendang wanita tersebut yang dalam keadaan terbaring.

Penyerang terbabit kemudian mengangkat mangsa dan menutup mulut mangsa dengan tangannya bagi menghentikan wanita itu daripada menjerit meminta pertolongan.

Dia juga memberitahu wanita itu bahawa dia mahu melakukan seks lantas dengan rakus merentap pakaian mangsa yang dalam kesakitan dan ketakutan.

Akibat kejadian itu, wanita tua itu mengalami kecederaan di sebelah mata, lebam dan patah pada tulang bahunya yang memerlukan pembedahan.

Ekoran perbuatan kejamnya itu, pemuda tersebut, Ryan Liddell yang kini berusia 21 tahun telah dihukum penjara seumur hidup kerana melakukan serangan keganasan seksual terhadap warga emas itu dan meletakkan mangsa dalam keadaan berbahaya.

Liddell yang pernah terselamat dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai di Primary School Dunblane pada 1996 ketika berusia lima tahun, dijatuhi hukuman penjara itu setelah didapati bersalah oleh panel juri pada 21 Mac lalu.

Liddell diberitahu bahawa dia mesti menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya enam tahun.

Perintah itu bermakna, Liddell hanya boleh diberikan parol apabila dia didapati selamat dan tidak lagi merupakan satu ancaman kepada orang ramai.

Seorang hakim Mahkamah Tinggi Edinburgh memberitahu bahawa Liddell telah menghancurkan kehidupan mangsa yang sejak kejadian itu tidak mampu lagi hidup sendirian.

‘‘Adalah sesuatu yang mengejutkan bahawa seorang pemuda seperti kamu sanggup melakukan jenayah yang dahsyat sebegini terhadap seorang wanita tua yang lemah dan tidak berdaya dengan melakukan keganasan di dalam rumah mangsa sendiri di tengah malam buta,’’ kata hakim tersebut.

Liddell akan kekal diletakkan di bawah pengawasan sepanjang hayatnya. Namanya juga akan dimasukkan dalam Senarai Pesalah-Pesalah Seks.

Hukuman berat tersebut dijatuhkan ke atas Liddell ekoran daripada keterangan konsultan psikiatri forensik, Dr. Rahan Darjee, yang mempunyai pengalaman luas menangani pesalah-pesalah seks.

Darjee memberitahu mahkamah bahawa kejadian tembak-menembak Dunblane pada Mac 1996 yang menyebabkan 16 pelajar sekolah menengah dan guru, Gwen Mayor menemui ajal di tangan penembak Thomas Hamilton, tidak memainkan peranan dalam pembentukan personaliti Liddell.

Dalam kejadian di Dunblane, Liddell yang terkena tembakan di tangan dan dada, merupakan antara 12 pelajar dan dua guru yang cedera. Namun mereka terselamat.

Pada awal perbicaraan, peguam Jamie Gilchrist menyatakan Liddell tidak menggunakan tragedi itu sebagai alasan dalam kes yang dihadapinya.

Liddell sebelum ini menegaskan bahawa kecederaan warga emas itu adalah secara tidak sengaja dan dia tidak mempunyai motif seksual.

Bagaimanapun hakim terbabit memberitahu bahawa pihak juri menolak cerita lelaki itu dan penafiannya menunjukkan bahawa dia langsung tidak berasa kesal dengan kejadian tersebut.