Gembira kerana inilah peluang untuk mendekati dan turut serta berkongsi pengalaman dengan anak-anak muda yang menjadi bakat masa hadapan untuk pembangunan negara dan bangsa.

Bimbang dengan usia yang ada, yang mungkin tidak berupaya bergerak cergas seiring dengan mahasiswa hari ini. Bimbang juga kerana terdapat banyak sekali cabaran yang ada dalam dunia pendidikan pada masa ini dan masa hadapan selaras de­ngan pembangunan teknologi dan ledakan Revolusi Industri 4.0, apatah lagi pemikiran anak-anak muda hari ini yang selalu­nya begitu kritikal terhadap apa sahaja yang berlegar sekelilingnya.

Kerana itu, langkah pertama penulis ialah bertemu dan mendengar citra dan aspirasi anak muda melalui pemimpin ter­tinggi Majlis Perwakilan Pelajar USM, menerusi Yang Dipertuan­ya, Mohd. Shafiq Ahmad Nassir yang dipilih melalui proses pemilihan beberapa bulan lalu.

Penulis mulanya berfikir kemungkinan terdapat nada sinis atau sedikit sebanyak pengaruh dalam media sosial atau maklumat-maklumat yang disebarkan melalui pelbagai mekanisme. Namun, ternyata pandangan awal itu meleset.

Sebaliknya, pemimpin muda ini banyak memuji usaha transformasi kerajaan yang dikatakan begitu berjaya dan kini dapat dilihat pencapaiannya dengan jelas oleh rakyat dan masyarakat.

“Memandang dari perspektif usaha yang telah dijalankan sepanjang memegang tampuk kepimpinan negara, tidak dapat dinafikan yang kerajaan sedia ada sangat prihatin dalam memastikan kesejahteraan rakyat seluruh dan setiap pelosok negara tanpa sebarang diskriminasi.

“Sejujurnya juga saya lihat kepemimpinan kerajaan sedia ada lebih relevan untuk mentadbir negara buat masa ini, malah dapat dilihat sentiasa berusaha me­ngorak langkah memajukan negara untuk melahirkan masyarakat dan rakyat yang sejahtera, tidak menjalankan sesuatu seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ kerana pasti ada penambahbaikan yang dilaksanakan secara berterusan,” kata beliau kepada penulis.

Menurutnya lagi, saban tahun dapat dilihat pelbagai inisiatif yang telah diwujudkan oleh pihak kerajaan dari segi pembangunan negara termasuk kesejahteraan rakyat yang berjaya dijalankan oleh badan-badan kerajaan.

“Meski pun negara terkesan dengan keadaan ekonomi negara yang tidak stabil bermula pada awal tahun, namun dapat kita saksikan kemudiannya nilai mata wang ringgit yang semakin stabil malah semakin meningkat.

“Saya percaya bahawa untuk membangunkan sesebuah negara akan mengambil satu tempoh panjang untuk membolehkan ki­ta melihat hasilnya kemudian,” ka­tanya kepada penulis.

Menariknya, menurut anak muda ini, inovasi yang diba­ngunkan dalam pelbagai usaha menunjukkan tahap keseriusan kerajaan yang sentiasa berusaha membantu meningkatkan pencapaian dalam merealisasikan makna ‘rakyat diutamakan’.

Kami berbual panjang terma­suk bagaimana anak muda melihat pelbagai kejayaan yang dicapai termasuk usaha soaring upwards yang dicetuskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi komitmen menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh selama ini.

Malah Mohd. Shafiq yakin, usaha mencapai Pelan Pemba­ngunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi terutamanya dalam menghasilkan siswazah yang holistik berjiwa keusahawanan serta seimbang akan tercapai dalam masa yang terdekat.

Penulis berasa teruja dengan pandangannya dan percaya bahawa usaha menghasilkan siswazah yang mempunyai nilai-nilai dan atribut HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balance, Articulate, Thinking) yang terdapat dalam Pelan Strategik USM sekarang ini, mampu untuk dicapai melalui anak-anak muda dan mahasiswa yang melihat masa hadapan yang positif, sedia melakukan perubahan, berfikiran terbuka serta tidak mudah dipengaruhi oleh lambakan maklumat yang ada di sekelilingnya tanpa membuat semakan kebenarannya.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM).