Ketegasan kepemimpinan negara terhadap perkara berkaitan dengan kepentingan Israel itu sememangnya jelas tidak sealiran serta berlawanan dengan pendirian negara-negara lain khususnya Barat yang merupakan rakan sekutu negara haram berkenaan.

Berikutan itu, negara telah kehilangan hak penganjurannya yang diputuskan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC). Apakah sebab utama yang menyebabkan penarikan balik berkenaan?

Jika diteliti daripada kenya­taan diberikan Presiden IPC, Andrew Parsons, jelas cuba memberikan gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara tidak terbuka, tidak selamat dan mengamalkan diskriminasi berikutan larangan terhadap atlet Israel.

Parsons mungkin terlupa Malaysia bukanlah negara yang dikaitkan dengan jenayah perang, yang membunuh manusia sebagaimana Israel memperlakukannya terhadap penduduk Palestin khususnya kanak-kanak, wanita dan golongan tua.

Semuanya bukan rekaan tetapi adalah laporan dan aduan yang diperakui oleh Amnesty International serta Human Right Watch. Dunia secara beransur mula sedar kekejaman dan kezaliman dilakukan Israel.

MENYEDIHKAN

Walaupun terdapat kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) yang terus melindunginya, namun suara masyarakat dunia tidak mungkin dapat disepikan regim Zionis yang menerajui Israel. Ia adalah sebuah negara penjenayah yang terus-terusan melanggar undang-undang antarabangsa dan tanpa segan silu menidakkan suara masyarakat dunia.

Malaysia sememangnya tidak dapat menerima kedatangan atlet-atlet Israel kerana mereka adalah rakyat yang datang dari sebuah negara diterajui Benjamin Netanyahu yang jelas tidak pernah menghormati piagam hak asasi manusia.

Dalam konteks semasa melibatkan tindakan tegas Malaysia, adalah amat menyedihkan apabila terdapat pihak berhujah mengatakan mengapakah sukan diheret ke dalam kancah politik?

Ia adalah satu pandangan lurus bendul lagi tidak kritikal sifatnya. Kemungkinan kelompok ini tidak menyedari terdapatnya penulisan-penulisan tersebar dan telah menyedarkan masyarakat dunia tentang kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.

Antaranya penulisan oleh Ang Swee Chai, From Beirut To Jerusalem yang merupakan cerita benar seorang doktor yang menyaksikan sendiri kekejaman Israel pada September 1982, melibatkan pembunuhan kejam lebih 3,000 orang di kem Sabra Shatila.

Swee Chai yang dilahirkan di Pulau Pinang terlibat secara langsung dalam membantu mangsa pembunuhan di Sabra Shatila serta berkhidmat lebih 34 tahun di kawasan diduduki Israel iaitu wilayah Gaza dan Tebing Barat.

Israel dan sekutunya perlu disedarkan bahawa mereka bukanlah benar dalam segala tindakan. Jika apa yang mereka lakukan adalah salah maka menjadi tanggungjawab kita untuk mengatakannya.

Mereka tidak pernah lepas dalam membuat kesilapan sama ada melibatkan tadbir urus, krisis ekonomi hatta melibatkan krisis kemanusiaan sejagat.

Malaysia sebagai sebuah negara kecil sememangnya tidak memiliki kekuatan dalam menandingi negara kuasa besar dunia begitu juga untuk menandingi Israel dari sudut kekuatan ekonomi mahupun ketenteraan.

TIDAK TAKUT

Tetapi kita memiliki pemimpin yang tidak takut untuk menyuarakan pandangan dan pendirian. We have a voice!

Apabila sesuatu keputusan diambil dan ia bukanlah bersifat konvensional serta berlawanan dengan kehendak majoriti, sudah semestinya terdapat banyak kesan ataupun tindak balas yang tidak dijangka mengiringi keputusan berkenaan.

Keupayaan pimpinan negara meloloskan diri daripada cengkaman pemikiran dan kepimpinan Barat adalah satu kejayaan sebenarnya. Untuk tempoh waktu membabitkan lebih 400 tahun, kita terlalu berharap kepada Barat dan Eropah dalam membuat keputusan.

Jika Malaysia perlu memimpin dan memecah dogma Eurocentric yang selama ini mendominasi Asia maka benarkan kita memimpinnya. Kita tidak perlu lagi menunduk dan mengiyakan apa yang diperkatakan Barat.

Ia dizahirkan menerusi penafian melibatkan kepentingan Israel walaupun membabitkan aspek sukan. Kita memiliki suara dan itu adalah melibatkan Asiacentrisme yang sewajarnya mengungguli dan menenggelamkan Eurocentric.

Kita tidak boleh mengatakan sukan adalah penyatuan kepada semua kerana sejarah telah membuktikan jika pemimpin itu tidak menghormati hak orang lain dan terus taksub kepada kehebatannya maka merujuk kegilaan Adolf Hitler.

Beliau terus taksub dengan kehebatan bangsa Jerman.

Dengan memberikan hak penganjuran Sukan Olimpik 1936, Jerman telah menggunakannya dalam memberikan mesej kehebatan dan sifat anti-Semitiknya.

Malaysia sebaliknya telah berulang kali menyatakan kita bukanlah anti-Semitik tetapi menetapkan pendirian mengutuk Israel yang tidak berperikemanusiaan dan menindas penduduk Palestin.

Apakah pemimpin-pemimpin Israel seperti Benjamin Netanyahu, Ariel Sharon, Shimon Peres, Yitzak Shamir serta Golda Mier menghormati pandangan masyarakat dan hak asasi sebagaimana termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)?

MENGUNGGULI

Malaysia perlu mengungguli perspektif Asiacentrisme dan terus mengetengahkan isu Palestin tanpa henti. Ini kerana di peringkat antarabangsa, masyarakat dunia terus membicarakan isu mahupun persoalan yang menyentuh tindakan Israel.

Mereka hanyalah mewakili 0.2 peratus atau 14 juta daripada penduduk dunia yang keseluruhannya berjumlah lebih enam bilion.

Jika dihitung tempoh waktu kewujudan bangsa Yahudi sejak 3,500 tahun dahulu, jumlah mereka ini sewajarnya tidak signifikan. Tetapi apa yang berlaku mereka mencipta kejutan dengan menempatkan diri dalam peta dunia.

Dari sudut pengisahan pensejarahan, keagamaan, holocaust, penubuhan negara haram Israel, krisis dan peperangan di Semenanjung Arab sehinggalah kepada pembersihan etnik Arab Palestin. Ini adalah susur galur sejarah moden Israel yang memerlukan penelitian mendalam dan didokong kesalahannya oleh Barat.

Dunia perlu disedarkan selama lebih dua dekad atau lebih tepat lagi pada 1997, Israel pernah mencabar kewibawaan dan kepimpinan negara-negara dunia dengan cubaan memindahkan ibu negaranya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Malaysia ketika itu menerusi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa masyarakat dunia agar bersatu dan menentang cubaan Israel kerana ia secara terang-terangan bercanggah dengan Resolusi 425 PBB yang menolak sebarang cubaan memiliki atau mengubah demografi asal Baitulmuqaddis, bandar suci bagi penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi.

Ketika itu Dr. Mahathir menegaskan peri pentingnya tekanan diberikan ke atas kuasa besar dunia terutamanya AS yang berjanji memulihkan keamanan di Asia Barat tetapi pada masa sama menyokong tindakan Israel yang cuba memindahkan ibu negaranya ke Baitulmuqaddis.

Ketika itu Benjamin Netanyahu adalah Perdana Menteri Israel dan pada 2017 sekali lagi Israel mengumumkan langkah menjadikan tempat suci bagi penganut agama Samawi sebagai ibu negaranya.

AS seperti biasa sebagai sekutu utama Israel mengumumkan sokongannya dan bakal memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Bailtulmuqaddis menerusi pengumuman dibuat Donald Trump pada 6 Disember 2017.

Jika rangkuman peristiwa dan tindak tanduk Israel yang terang-terangan membelakangi undang-undang antarabangsa diambil kira maka pendirian Malaysia yang bertegas terhadap apa juga berkaitan dengan Israel adalah tepat sebenarnya.

Kita tidak perlu bersifat apologetik kerana berada di landasan benar dan sedarlah bagi suara yang menyokong kehadiran atlet Israel hanyalah satu daripada isu-isu kemanusiaan yang seharusnya diangkat dan diperjuangkan.

Hakikatnya mereka diperlaku sewenang-wenangnya, diancam dengan pelbagai bentuk kezaliman dan penghapusan etnik dan ia melibatkan apa yang dilabel tradisi anti-Semitisme.

Malaysia bukanlah anti-Semitik tetapi Baratlah sebenarnya punca dan sumber pemula anti-Semitik!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).