Dalam konsep kepemimpinan Islam, seseorang yang dilantik menjadi pemimpin haruslah mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang baik. Pemimpin juga mestilah seorang yang dipercayai dan sentiasa menunjukkan perwatakan baik yang ingin dicontohi oleh orang bawahan dan sekelilingnya.

Setiap pemimpin diibaratkan se­bagai seorang imam di dalam solat kerana pelantikan atau pemilihan seorang imam itu perlu teliti. Imam yang dilantik haruslah mempunyai perwatakan yang baik, berilmu, disenangi masyarakat, tidak fasik, mempunyai bacaan al-Quran yang baik dan sebagainya.

Bermakna di dalam solat, imam adalah sebagai pemimpin dan mak­mumnya adalah sebagai pe­ngikut seperti seorang wakil rak­yat dan masyarakat setempat.

Oleh itu, setiap pemimpin Islam haruslah ditaati dan dihormati sehingga mana ia tidak mensyirikkan dan menyekutukan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kamu kepada Rasullah SAW dan kepada ‘ulil amr’ (orang yang berkuasa dalam kalangan kamu). Kemudian, jika kamu berbantah-bantah dan berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada kitab Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasulnya, Jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.”(N-Nisa’: 59). Begitulah peringatan yang dinyatakan oleh Allah SWT yang sering didengari di dalam khutbah Jumaat berkaitan ketaatan kepada setiap pemimpin.

Sebagai seorang imam, setiap pergerakan dan tingkah laku ha­rus diikuti dan dipatuhi oleh se­tiap makmum dalam sesuatu solat. Jika setiap makmum mendahului pergerakan imam, maka solat berjemaahnya tidak sah dan pahala ganjaran berjemaahnya tidak dikira.

Namun, jika setiap imam ada melakukan kesalahan di dalam solat, maka setiap makmum berhak menegur kesalahan imam dengan kaedah dan teguran yang betul.

Begitulah bagi seorang pe­mimpin, setiap tindak tanduk dan perkara yang dilakukan seharus­nya diterima oleh masyarakat dan orang di bawah pimpinannya. Jika kesilapan yang dilakukan, teguran yang diberi haruslah diterima dengan hati terbuka dan bersifat positif.

Melihat senario yang sering ber­laku, ketika solat berjemaah di sesuatu tempat selain masjid dan surau, kebanyakan orang yang tidak yakin pada diri sendiri atau merasakan ilmunya kurang berbanding orang lain pastinya tidak berani ke hadapan untuk menjadi imam.

Begitulah juga gambaran bagi se­seorang yang dipilih dan terpilih untuk menjadi seorang pemimpin, semestinya dia perlu bersedia untuk memikul tanggungjawab yang diberikan ke atas dirinya.

Tentunya pemimpin yang di­pilih itu mempunyai kelebihan, keistimewaan, kepakaran dan daya ta­rikannya tersendiri sehingga yang lain menaruh harapan serta memberi kepercayaan yang tinggi dalam kepimpinannya.

Dari Ibnu Umar, ia berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin dan setiap daripada kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin.”

Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya dan dia akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan akan diminta bertanggungjawab terhadap mereka.

Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga, suami dan anak-anaknya dan akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya dan dia juga akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang di­pimpinnya. Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta untuk bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin,” (Hadis riwa­yat al-Buk­hari dan Muslim)

Sebagai kesimpulan, pemim­pin adil dan harus dicontohi adalah pemimpin yang dipilih untuk di­taati serta dihormati. Pemim­pin juga harus mempunyai sifat-sifat yang ada pada Rasulullah SAW iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatonah dalam urusan pentadbiran khususnya serta kehidupan amnya.

Selagi mana seorang pemimpin tidak melanggar hukum Allah SWT serta tidak menolak Al-Quran dan as-sunnah, mereka wajib ditaati oleh kita sebagai manusia biasa di bawah kepemimpinannya.

Begitulah cara Islam menganjurkan umatnya dalam menghor­mati dan mentaati pemimpin ma­hupun ketua dalam sesuatu per­kara itu demi mencapai kemaslahatan dan kesejahteraan umat sejagat.

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.