Kajian pemikiran Perdana Menteri ketujuh Malaysia ini merupakan bidang kajian penulis sejak 2008. Penulis mengumpul dan mempunyai koleksi berkaitan pemikiran beliau sama ada dalam bentuk media cetak atau media elektronik. Maka, penulis ingin kongsikan beberapa dapatan dalam artikel ini yang difokuskan kepada pemikiran Dr. Mahathir mengenai sains dan Islam.

Sains menurut beliau adalah alat yang dapat membangunkan sesebuah negara daripada negara membangun kepada negara maju melalui modenisasi.

Konsep modeniti yang berjaya membangunkan Barat menjadi contoh kepada Dr. Mahathir untuk membangunkan Malaysia. Sains juga menurut beliau selain mendapat ilmu, seharusnya mampu memberi impak terhadap ekonomi negara.

Sebagai contoh dapat menjana pendapatan negara, mewujudkan peluang pekerjaan, menambah bilangan tenaga mahir, penggunaan bahan watan dan lain-lain. Mekanisme tersebut adalah seperti pemindahan teknologi, pengindustrian, menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan lain-lain lagi. Malaysia tidak seharusnya bergantung kepada pertanian atau lain-lain sumber bumi untuk menjana pendapatan negara.

Antara misi beliau adalah mewujudkan masyarakat yang progresif dalam bidang sains, yang inovatif dan sentiasa memandang ke hadapan yang bukan menjadi pengguna teknologi tetapi penyumbang kepada tamadun.

Namun, untuk membangunkan sains dan teknologi bukanlah tugas mudah kerana beliau terpaksa berdepan dengan berbagai-bagai cabaran. Salah satu cabarannya adalah salah tafsir mengenai Islam atau Islam seharusnya diberikan tafsiran betul seperti mana yang dikehendaki Allah SWT.

Bila memperkatakan mengenai Islam, beliau dalam buku Dilema Melayu menyarankan agar kefahaman Islam diberi penekanan dan diperhalusi kerana pada waktu itu masyarakat Melayu tiada kesungguhan untuk bersaing dengan bangsa lain terutama dari aspek ekonomi.

Bangsa Melayu lebih mengutamakan aspek spiritual. Oleh itu, corak keislaman yang diamalkan oleh orang Melayu menurut beliau adalah hasil tafsiran dan kefahaman agama yang salah dan sempit dan tidak memahami mesej sebenar yang dikehendaki tuntutan agama.

Menurut beliau lagi, naik turun Islam itu sebenarnya ada kaitan dengan agama Islam yang mereka anuti. Dr. Mahathir memberikan beberapa contoh. Pertama, berkaitan persoalan me­ngapa Arab jahiliah apabila mereka menerima Islam mereka menjadi begitu dinamik.

Mereka berjaya mendirikan tamadun tinggi yang jauh lebih moden daripada tamadun Yunani dan Romawi sedangkan sebelum menerima Islam mereka mundur, tinggal di padang pasir yang berbudaya kolot sehingga sanggup menanam anak perempuan hidup-hidup serta taksub dengan kabilah masing-masing. Ini adalah contoh sekiranya Islam itu ditafsir dengan betul.

Tetapi semakin lama Islam itu berkembang, semakin banyak pula ajaran sesat yang tersasar daripada ajaran Islam. Semakin ramai pemimpin yang terlibat dengan perebutan kuasa dan masing-masing mendakwa mereka berjuang untuk Islam. Tafsiran berlainan berkaitan agama tidak henti-henti dibuat sama ada dari segi perbezaan mazhab, ijtihad dan ijmak yang kerap mengeluarkan fatwa.

Sebagai contoh jika kita lihat dari segi sejarah, apabila mesin cetak mula-mula diperkenalkan ramai ulama Islam mengeluarkan fatwa mengatakan haram menggunakan mesin cetak.

Kesan pengharaman fatwa ini yang berlaku berabad-abad lamanya menyebabkan umat Islam tidak dapat memiliki al-Quran ini.

Akhirnya, apabila orang Islam berfikiran secara terbuka serta mampu menggunakan ilmu Islam yang sebenar maka mereka memutuskan untuk mengatakan bahawa al-Quran itu tidak haram untuk dicetak.

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada Turki. Waktu itu, Turki menjadi kuasa dunia yang mampu menakluk sebahagian besar Eropah Timur tetapi pada masa itu timbul polemik daripada ahli-ahli agama yang mengeluarkan fatwa mengatakan haram hukumnya apabila askar memakai seluar untuk berperang. Perdebatan demi perdebatan berkaitan perkara ini telah mengambil masa yang panjang dan masing-masing ingin menyatakan bahawa merekalah yang lebih kuat pegangan Islamnya daripada golongan lain sehinggalah akhirnya Turki diserang oleh kuasa Barat.

Golongan agama tidak mampu untuk mempertahankan Empayar Turki ini. Akhirnya, golongan tentera muda bangkit dan menentang Barat serta berjaya menyelamatkan Turki.

Pegawai tentera yang muda-muda ini amat kecewa dengan apa yang berlaku dan mereka me­nyalahkan golongan agama. Akibat kemarahan ini, mereka telah me­nubuhkan ‘kerajaan sekular’.

Sekular yang mereka maksudkan ini adalah tidak tertakluk dengan golongan agama.

Perbuatan mereka ini dikecam hebat oleh pelbagai pihak tetapi yang mengecam tidak pernah siasat perkara sebenar. Ketika itu, Kerajaan Kesultanan Turki terlalu lemah kerana percayakan kepada golongan agama dan mengabaikan soal-soal lain seperti pertahanan.

Begitu juga dari bukti sejarah pemerintahan muslim Sepanyol yang hilang pada 1492 setelah menempuh zaman kegemilangan selama 500 tahun adalah kerana ahli agama menolak karya-karya bukan Islam yang dianggap tidak Islam.

Akhir sekali, menurut Dr. Mahathir apa yang penting adalah tafsiran yang betul terhadap Islam bagi membolehkan umatnya maju serta disegani di seluruh dunia serta dapat mengembalikan zaman kegemilangan Islam.

PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).