Justeru, tidak hairan ramai yang sanggup membayar pada harga yang tinggi, selain sanggup menunggu lama untuk mendapatkan madu lebah Tualang asli yang diambil di sekitar hutan negara ini.

Bagi pemburu madu lebah Tualang, Nizarulazman Mohamed, 43, tugas mengambil madu lebah itu sudah sebati dengan dirinya. Katanya, ia dilakukan kerana minat mendalam terhadap hobi itu.

Walaupun pernah dihantui pengalaman pahit kehilangan seorang bapa saudaranya akibat terjatuh dari pokok Tualang ketika mengambil madu suatu ketika dahulu, ia bukanlah penyebab untuk dia berhenti meneruskan minatnya itu.

Katanya, sejak bersekolah rendah lagi, dia sudah mula mengikut beberapa penduduk kampungnya mengambil madu di sekitar Kampung Bukit Lada, Maran, Pahang.

“Namun ketika di tingkatan 3, saya mula memberanikan diri memanjat pokok Tualang. Tidak ramai sanggup panjat pokok yang tinggi ini kerana batang pokok yang licin, apatah lagi terpaksa ‘bertempur’ dengan lebah di dahan pokok.

“Itu belum dikira rasa gayat dan faktor keselamatan yang perlu dijaga,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Nizarulazman berkata, sejak dia menggunakan kamera video kompak yang dipakai di atas kepala untuk merakamkan detik-detik dia memotong dan mengambil madu lebah di pokok Tualang, ramai mula sedar betapa mencabar dan berisikonya kerja itu.

“Sebelum ini, saya hanya menggunakan telefon bimbit untuk mengambil video dan gambar yang terhad tetapi dengan teknologi terkini, saya menggunakan kamera video bagi merakamkan setiap saat ketika saya melakukan tugas mengambil madu lebah Tualang.

“Selain perasaan gayat, baru orang tahu dan faham bagaimana sukar dan mencabarnya untuk mengambil madu lebah Tualang yang asli,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah madu lebah Tualang asli yang dijual mencecah harga yang agak mahal, sepadan dengan usaha untuk mendapatkannya.

Menurut Nizarulazman yang sudah 30 tahun melakukan kerja-kerja memburu madu lebah tualang, jika dahulu dia memanjat pokok itu pada waktu malam untuk mengambil madu tetapi sejak 13 tahun lalu, dia menukar strategi dengan mengambil pada waktu siang.

“Waktu malam, penglihatan lebah agak lemah. Jadi, dapatlah kita mengelak daripada diserang. Tetapi sekarang, dengan aspek keselamatan yang dipertingkatkan, saya buat pada waktu siang supaya waktu mengambil dapat dipercepatkan.

“Ia juga bagi memastikan permintaan tinggi terhadap madu lebah Tualang dapat dipenuhi,” katanya yang tidak putus-putus menerima tempahan madu lebah Tualang.

Menurutnya, dia biasanya akan memungut hasil madu itu di sekitar kawasan Lepar dan Kuala Krau di Pahang. Tempohnya pula memakan masa sehari dan adakalanya dia perlu bermalam di kawasan pokok Tualang yang hendak dituai, bergantung kepada jumlah sarang lebah.

Tambahnya, setiap pokok Tualang memiliki sehingga 50 sarang lebah yang mampu menghasilkan maksimum 30 kilogram madu setiap satu.