Maknanya, bidang pembudayaan wujud sekadar seada-adanya saja. Ia menggambarkan seolah-olah elemen pembudayaan tidak pen-ting langsung dalam pembentukan negara bangsa. Apabila kerajaan setuju mewujudkan jawa­tan Penasihat Sosiobu­daya kepada Kerajaan Malaysia pun, inisiatif itu dianggap sebagai inisiatif berstatus ad hoc saja.

Kini Tan Sri Dr. Rais Yatim memperolehi kekuatan untuk bersuara dan mendapatkan sokongan banyak pihak untuk bersamanya mengangkat elemen pembudayaan sebagai pembentuk negara bangsa, untuk ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan lain-lain elemen pembentukan negara bangsa, terutamanya dengan elemen pendidikan.

Syabas kepada beliau dan terima kasih kepada mereka yang komited melusuri perjuangan ini bersama beliau. Bagi kami di MPM, usaha mengangkat elemen pembudayaan sama pentingnya dengan lain-lain elemen utama yang membentuk negara bangsa, adalah satu usaha yang amat murni dan sangat diperlukan ketika ini.

Masyarakat Malaysia hari ini, sehingga ke tahap strata masyarakat yang tinggi termasuk mereka yang bergelar wakil rakyat, sudah terjebak berlumuran dengan budaya-budaya jijik amat memualkan rakyat jelata.

Sering kita tonton di kaca tele­visyen betapa rendahnya nilai per­a­daban dan pembudayaan me­re­ka apabila mereka sudah hilang rasa hormat sesama wakil rakyat, ber­debat dengan bahasa-bahasa kurang sopan.

Kami terima hakikat mereka ini berbeza ideologi politik, tetapi kami tidak boleh terima kejijikan perangai mereka yang melambangkan bahawa nilai budaya mereka telah punah dek kegelojohan kuasa-kuasa politik.

Saya konsisten dengan kefahaman saya bahawa negara tercinta ini, sewajarnya memilih untuk menjadi negara makmur dan sejahtera, bukan sekadar negara maju yang lebih mementingkan aspek kebendaan dan fizikal tapi kita semakin meminggirkan sifat-sifat kemanusiaan.

Apatah lagi dalam ma­sya­rakat kita yang begitu maj­muk dalam banyak aspek kehidupan, aspek berkaitan kemanusiaan yang tergolong di dalamnya elemen pembu­dayaan, teramatlah penting untuk diimbangi. Saya tidak jemu dan bosan mengulangi rujukan saya kepada Legatum Index of Prosperity yang menggariskan sembilan petunjuk yang membentuk Indeks Kemakmuran.

Setanding

Bagi aplikasinya di Malaysia saya juga suka memadankannya dengan Indeks Syariah yang dibina oleh JAKIM dan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 10 Feb 2015. Petunjuk ke-vii - Kebebasan Individu, tidak sesuai dengan sistem nilai kita. Ia wajar kita ganti dengan nilai-nilai Ideologi.

Bagi penganut agama Islam di Malaysia, kita rujuk terus sebagai Petunjuk atas nama nilai-nilai Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Manakala Petunjuk ke-viii -Kemasyarakatan, amat bertepatan kita gantikan dengan Pembudayaan.

Dengan cara ini kita meletakkan elemen pembudayaan setanding dengan lain-lain elemen teras dalam pembentukan negara bangsa.

Untuk tidak terlalu banyak pe­tun­juk utama, bidang kualiti eko­­nomi dan bidang peluang bisnes & kesusahawanan di dalam Legatum Index of Prosperity itu boleh diga­bungkan menjadi satu. Maka, kon­sisten dengan Indeks Syariah, kita boleh bentuk paduan petunjuk Indeks Kemakmuran acuan kita sendiri, berteraskan lapan elemen utama ini:

(a) Nilai-nilai ASWJ

(b) Politik & Tadbir-urus

(c) Ekonomi

(d) Pendidikan

(e) Pembudayaan

(f) Keselamatan

(g) Kesihatan

(h) Alam sekitar

Malah saya ingin pergi setapak lebih jauh daripada itu, iaitu menyelitkan ciri-ciri penting pembudayaan sebagai enablers dalam lain-lain teras utama itu. Maksudnya, dalam setiap bidang teras itu ada tingkap untuk diselitkan ciri-ciri pembudayaan ke dalamnya. Maka, akan adalah sub-bidang ‘ciri-ciri pembudayaan’ dalam setiap bidang teras itu:

(a) Budaya ASWJ

(b) Budaya-e

(c) Budaya politik & tadbir-urus

(d) Budaya pendidikan

(termasuk bahasa)

(e) Budaya keselamatan & budaya

pertahanan

(f) Budaya kesihatan

(g) Budaya pengurusan &

pemuliharaan alam sekitar

Teras pembudayaan itu sendiri mengandungi beberapa cabang sosiobudaya, terutamanya kesenian, warisan dan banyak lagi.

Dengan pemetaan lengkap pa­du­an semua elemen pem­bentukan negara bangsa itu, kita boleh membayangkan betapa pentingnya proses atau usaha pembudayaan, apatah lagi bila kita berbicara mengenai proses pembudayaan tamadun tinggi, yang menjadi tema utama Kongres Budaya 2017.

Bagi kami di MPM dan UiTM yang diterima oleh Jawsatankuasa Induk Kongres ini untuk membicarakan aspek budaya dalam ekonomi, kami dapati begitu banyak aspek budaya dalam ekonomi yang wajar kami teliti dan kaji impaknya kepada proses pembudayaan itu.

Justeru, apabila elemen bidang pembudayaan ini dibedah dengan lebih mendalam dan dikaitkan pula peranan budaya sebagai enablers di dalam lain-lain teras utama, kami di MPM, UiTM dan semua mereka yang menyertai Bengkel Budaya Ekonomi 2017 di UiTM, pada 28 Mac 2017 hingga semalam sepakat menyatakan bahawa elemen pembudayaan tidak boleh lagi kita anggap satu bidang pinggiran dan terasing dengan elemen teras lain.

Ia sebaliknya wajib dijadikan the integral part dalam pembentukan negara bangsa. Dengan kecelaruan budaya semakin menjadi-jadi, dan kita dilihat semakin sukar menghampiri medan kemakmuran yang amat diidam-idamkan.

Tiba masanya para pejuang gerakan pembudayaan tamadun tinggi komited dan bertegas memastikan elemen ini akan diterima oleh kerajaan dan seluruh warga Malaysia, menjadi elemen teras dalam pembinaan negara bangsa.

Sekali gus ia juga akan menjadi sebahagian daripada usaha menjadikan negara ini makmur, sama seperti New Zealand atau Norway yang dianggap antara negara paling makmur dalam dunia.