Saban hari kita menyaksikan orang korporat dan teknokrat meletak jawatan sama ada secara sukarela atau sebaliknya, tidak disambung kontrak atau sudah diisytiharkan dibeku perjawatan sementara menanti tarikh tamat perkhidmatan.

Ada orang juga mahu mententeramkan anda bahawa yang pergi itu adalah mereka yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) selama ini. "Jadi anda tiada apa hendak risau, sebab yang kena itu hanya pengurusan kanan. Kita kuli kerja macam biasa,’’ kata orang. Betulkah?

Nanti sekejap. Mohon anda semua berhenti sejenak dan renungkan apa yang berlaku di dalam negara kita sekarang. Apakah ini suatu bentuk 'pembersihan etnik' dalam kalangan peneraju GLC dan agensi kerajaan?

Bermakna wujud 'pemburuan' khusus, lalu dikumpul nama yang kemudiannya dihapuskan secara sistematik. Apa yang berlaku sekarang, mungkin diterima oleh sesetengah orang sebagai lumrah dan normal iaitu bila kerajaan baharu mengambil alih, maka mereka mahu orang pilihan mereka menduduki kerusi utama GLC.

1 Pembersihan etnik?

Perkara ini bukan tidak berlaku di zaman BN, tentunya yang tidak sehaluan akan ditukar. Bezanya, 'rombakan' yang berlaku sekarang dibuat secara cukup drastik dan besar-besaran, ke seluruh sektor. Hingga ke tahap Gabenor Bank Negara dan Ketua Hakim Negara!

Nampaknya, yang menang mahu menang semuanya dan menganggap yang kalah, kalah segala-galanya. Jika inilah pendirian kerajaan dan inilah hakikat yang rakyat saksikan, maka bahaya menanti negara.

Tindakan sebegini akan menjadi satu contoh teladan atau setting a precedent, yang akan diamalkan setiap kali berlaku perubahan, dan lebih tragis bila dilaksanakan semata-mata atas nama dendam.

2 Lantikan politik

Bagi kita golongan marhain, benarkah kita tidak terkena setitis pun daripada tindakan purge? Mustahil tidak. Rakan-rakan di GLC pun mengakui berdebar-debar dengan langkah seterusnya selepas pemergian ketua mereka.

Jika penggantinya dilantik dalam kalangan pengurusan sedia ada, kemungkinan akan ada kesinambungan daripada segi sistem dalaman yang menjadi nadi kepada jati diri korporat. Kalau orang luar syarikat, bagaimana? Ini tentunya menepati istilah 'lantikan politik'. Langkah terbaik ialah sebaik-baik sahaja sesuatu nama disebut sebagai pengganti, suatu bentuk siasatan terperinci dilakukan terhadap latar belakangnya sama ada benar-benar berkebolehan menerajui korporat atau tidak. Jika tidak, ia adalah 'lantikan politik' iaitu sesuatu yang cukup jijik kepada Pakatan Harapan.

3 Tempias kepada marhain

Mungkin bagi sesetengah GLC yang bersifat strategik, kedudukan mereka lebih terjamin. Paling teruk pun ditukar sahaja nama. Yang kurang strategik, akan mendapati diri sedikit resah.

Sementara pasrah dan reda dengan pemergian ketua mereka, kedudukan organisasi menjadi tidak menentu sementara menanti pengganti dan juga dasar-dasar yang bakal diisytiharkan.

Ada juga yang sudah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan, di peringkat jangka sederhana dan panjang, termasuk kemungkinan pemberhentian pekerja menerusi skim pemberhentian sukarela (VSS).

4 Kenapa perlu ada VSS?

Mengikut peruntukan Akta Kerja 1955, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menyediakan Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja iaitu, "Pemberhentian pekerja bermaksud penamatan kontrak perkhidmatan akibat keadaan berlebihan pekerja yang boleh timbul daripada beberapa sebab seperti penutupan syarikat, penyusunan semula syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi, pengambilalihan syarikat, kegawatan ekonomi dan lain-lain’’.

Secara ringkas, VSS adalah langkah terakhir untuk memastikan kesinambungan hayat syarikat yang berdepan masalah kewangan. Jika tidak dilakukan VSS, syarikat akan terus terjunam dan tutup mendadak, dengan para pekerja tersadai tanpa mendapat apa-apa pampasan. Atas sebab itu, VSS adalah satu kaedah yang wajar diterima oleh para pekerja.

Dalam kebanyakan masa, organisasi memilih untuk tidak melakukan pemberhentian kerja kerana ia membawa reputasi negatif terhadap syarikat. Tetapi terpaksa dilakukan bila sudah tiada pilihan lain.

Ini bukan soal sentimental iaitu sayangkan syarikat atau sudah bekerja berpuluh tahun di syarikat, tetapi keadaan sudah mendesak untuk syarikat melakukan pemulihan. Dan cara pemulihan ialah mengurangkan kos operasi menerusi penurunan bilangan pekerja.

5 Sebelum VSS, syarikat kena patuh

Mengikut Garis Panduan JTK, sesebuah syarikat tidak boleh sewenang-wenangnya mengadakan VSS tetapi harus mematuhi 10 perkara terlebih dahulu. Antaranya ialah mengehadkan kerja lebih masa (OT) dan mengurangkan gaji pekerja (pay cut).

Hanya selepas semua kriteria ini dilaksanakan, baharulah cadangan VSS diluluskan kerajaan. Selain Akta Kerja 1955, peraturan am iaitu LIFO (Terakhir Masuk, Terawal Keluar) turut diguna pakai.

6 Di pihak majikan

Selain mematuhi peraturan JTK tersebut, majikan hendaklah menyediakan formula VSS yang adil dan saksama ke semua peringkat, agar diterima oleh pekerja. Ini memerlukan syarikat menyediakan dana yang mencukupi. Suatu proses VSS secara umumnya, memerlukan minimum RM30 juta, bergantung kepada bilangan pekerja yang hendak dicapai.

7 Formula VSS

Tidak ada formula kiraan yang khusus kerana ia bergantung kepada syarikat masing-masing. JTK menggariskan kiraan faedah penamatan kerja seperti berikut:

i. 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat melebihi 12 bulan tetapi kurang daripada 2 tahun;

ii. 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat selama 2 tahun tetapi kurang daripada 5 tahun; atau

iii. 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan jika pekerja telah berkhidmat 5 tahun atau lebih.Dan dikira pro-rata bagi tempoh perkhidmatan yang tidak genap setahun, mengikut genap bulan yang hampir sekali.

8 Perlukah anda menentang VSS?

Tidak. Ini kerana jika VSS dibatalkan, syarikat akan beroperasi dalam keadaan negatif dan boleh bankrap tanpa mampu memberi anda sebarang pampasan. Ada kelompok yang akan suka kerana menyangka akan mendapat hasil yang besar, sebelum mencari kerja baharu. Ramai sebegini.

9 Jangan takut VSS

Tetapi VSS ini tidak akan berbentuk 'tebar jala’ atau 100 peratus. Katakan sasaran VSS ialah 30 peratus daripada tenaga kerja sedia ada. Dalam jabatan anda ada 30 orang. Mungkin lima atau enam orang akan terkena. Dicampur lagi dengan orang lain dari jabatan lain untuk membentuk 30 peratus itu.

10 Apa perlu anda buat?

Bersiap sedia. Bacalah dokumen dan akta pekerja yang boleh dimuat turun di laman rasmi JTK. Jangan jadi pak turut. Anda kena faham situasi semasa syarikat dan ke mana hala tujunya.

Ini kerana jika anda tidak terkena VSS, anda perlu tahu apa akan jadi kepada pekerja yang kekal dengan syarikat. Apakah ada duit selepas itu? Cari peluang kerja lain, walaupun anda rasa usia anda menyulitkan peluang. Tetapi tidak salah mencuba. Jajakan kemahiran anda, bukan kerana keterdesakan hidup disebabkan VSS.